Bergedil

Showing posts with label Bergedil. Show all posts
Showing posts with label Bergedil. Show all posts

Tuesday, 19 September 2023

Tauhu Bergedil Ayam Dengan Sambal Kicap Pekat




Tauhu bergedil ialah antara menu yang pernah viral suatu ketika dahulu kerana keunikan bentuk dan rasanya.  Apa yang membuatkan ramai yang tergila-gilakan tauhu bergedil ni ya?  Selain rasa keenakan rasa tauhu bergedil yang biasanya berintikan bergedil ayam atau daging ini, tauhu bergedil ini disajikan bersama sambal kicap yang pekat, pedas dan padu. Makan seketul pun tak cukup!

Beberapa tahun lepas saya pernah kongsikan resepi tauhu bergedil daging.  

Klik sini untuk resepinya : Tauhu Bergedil Daging


Resepi tauhu bergedil kali ini saya menggunakan ayam kisar sebagai rencah utamanya kerana kebetulan stok daging kisar di rumah telah habis.  Resepinya lebih kurang sama, cuma bezanya kali ini tauhu bergedil ayam saya tambahkan dengan bawang goreng sebagai penambah rasa.  Seperti biasa, kenapa saya kata tauhu bergedil saya lain dari yang lain kerana saya menggunakan ketumbar dan jintan manis yang telah saya rendam terlebih dahulu kemudian ditumbuk halus untuk ditumis bersama daging atau ayam kisar tadi.  Kalau anda biasa membuat tauhu bergedil yang hanya menggunakan rencah bawang merah/bawang besar, bawang putih dan daging atau ayam ksiar sahaja, apa kata kali ini anda cuba resepi tauhu bergedil yang menggunakan ketumbar dan jintan manis pula, pasti anda akan sukakan rasanya!  

Jintan manis sebaiknya jangan digantikan dengan jintan putih ya kerana rasanya tidak sama.  Jintan manis rasanya lebih lembut manakala jintan putih rasanya lebih kuat berbau rempah.  Kalau tiada stok jintan manis, boleh gunakan ketumbar sahaja ya. 


Tonton Video Tutorial di Sini :



Tauhu bergedil ayam ini biasanya dinikmati bersama sambal kicap dan dihias dengan hirisan cili merah dan daun sup.  Saya takde daun sup waktu saya membuat video tutorial untuk tuahu bergedil ini, jadi saya hanya gantikan dengan hirisan daun bawang dan daun parsley.  Resepi sambal kicap saya kali ini agak istimewa kerana lebih pekat dan likat, dengan rasa manis pedas dan lemak dari bijan.


Cara Menyimpan Tauhu Bergedil :

  • Tauhu bergedil yang telah digoreng boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh bertahan sehingga tiga hari.
  • Untuk memanaskan semula tauhu bergedil yang telah digoreng ialah dengan cara memanggang sebentar pada suhu 150℃ menggunakan air fryer atau ketuhar selama 5 minit.  Boleh juga menggunakan microwave selama 1 minit sehingga tauhu bergedil hangat.
  • Tauhu bergedil yang belum digoreng boleh disimpan di dalam freezer sehingga satu bulan.  Simpan di dalam bekas bertutup supaya permukaan tidak kering.
  • Untuk menggoreng tauhu bergedil frozen, keluarkan tauhu bergedil dari freezer dan boleh terus digoreng menggunakan api sederhana rendah sehingga keemasan warnanya.  Jangan gunakan api tinggi kerana bimbang bahagian luar telah garing sementara bahagian dalam masih lagi beku.



Tauhu bergedil ayam ini sangat sesuai dijadikan sebagai snek untuk pelbagai jamuan atau pun sebagai sajian untuk minum petang.  Tauhu bergedil ini memang versi bambam kerana saya keluarkan isi tauhunya untuk dicampur ke dalam adunan bergedil.  Makan seketul pun dah terasa puas kerana isinya banyak, tambahan pula dengan rasa rempah dari ketumbar dan jintan manis tadi, lagilah enak rasanya.



Tips Untuk Frozenkan Tauhu Bergedil dan Supaya Tauhu Bergedil Tahan Lama :

  • Jangan masukkan hirisan cili, daun sup atau daun bawang ke dalam adunan bergedil jika anda buat tauhu bergedil untuk difrozenkan supaya tauhu bergedil tahan lama dan tidak cepat basi.  Tambahan pula, hirisan cili, daun sup dan daun bawang ini tidak akan lagi fresh kalau telah difrozenkan dan bimbang akan menjejaskan rasa tauhu bergedil frozen.
  • Kentang perlu digoreng sehingga sedikit garing (anda akan nampak ada tompok-tompok coklat pada permukaan kentang) untuk elak kentang goreng dari berair.
  • Jangan rebus atau kukus kentang untuk membuat bergedil, sebaliknya kentang perlu digoreng supaya tidak berair.  
  • Pastikan ayam cincang yang ditumis bersama bawang dan rempah benar-benar garing ya (tiada jus ayam yang kelihatan) supaya adunan bergedil tidak berair.
  • Tambahkan sedikit tepung jagung pada adunan bergedilnya supaya tauhu bergedil tidak menjadi lembik dan berderai setelah digoreng.  Ini kerana, ais akan terbentuk dalam tauhu bergedil yang difrozenkan.  Apabila tauhu bergedil frozen digoreng atau di de-frostkan, ais yang terbentuk akan menjadi cair menjadikannya berair.  Tepung jagung akan meresap lebihan cecair dalam tauhu bergedil.


Saya selalu buat tauhu bergedil untuk difrozenkan sebab keluarga saya sangat sukakannya.  Sedap buat makan-makan dikala menonton drama.  Hehe..Selamat mencuba!




Tauhu Bergedil Ayam





Kategori : Bergedil, Snack

Masa Penyediaan : 20 minit

Masa Memasak : 25 minit

Jumlah Hidangan : Anggaran 23 biji




BAHAN-BAHAN




Tauhu Bergedil Ayam 



Bahan Tumbuk :


2-3 ulas bawang putih

1 sudu besar penuh biji ketumbar (rendam 5-10 minit, kemudian toskan)

1/2 sudu besar jintan manis (rendam 5-10 minit, kemudian toskan)


4 biji kentang bersaiz sederhana besar (anggaran 815 gm tanpa kulit)

1 biji bawang besar (didadu)

315 gm ayam cincang /dada ayam dicincang halus (anggaran 1 & 1/2 keping dada ayam)

Garam secukupnya

Serbuk lada sulah secukupnya

2-3 sudu besar penuh bawang goreng

1-2 sudu besar tepung jagung *saya tambah, di dalam video tutorial tiada 

Tauhu puff secukupnya



Bawang Goreng :


4 ulas bawang merah (hiris nipis)

1-2 ulas bawang putih (hiris nipis)

1 sudu besar tepung jagung

1-2 sudu teh gula pasir

1/4 sudu teh garam



Salutan Telur :


2 biji telur

1 sudu besar tepung jagung (boleh skip)

Secubit garam




Sambal Kicap 


6-10 tangkai cili padi Siam

2 tangkai cili merah (potong pendek)

1 ulas bawang merah (potong kasar)

2 ulas bawang putih 

1/2 cawan air

3/4 cawan kicap manis

Gula secukupnya

Sedikit garam

1/2 sudu besar tepung jagung

2 sudu besar air




CARA MEMBUAT



Bawang Goreng :


  1. Panaskan minyak masak secukupnya untuk menggoreng.
  2. Lap kering bawang merah dan bawang putih menggunakan tisu dapur supaya bawang goreng tidak berair.
  3. Gaul bersama gula pasir, garam dan tepung jagung.
  4. Setelah minyak cukup panas, masukkan bawang, jangan terlalu banyak sekaligus supaya masaknya sekata.
  5. Goreng dengan api sederhana, kacau selalu supaya sekata.
  6. Angkat dan toskan setelah bawang berwarna keemasan.
  7. Simpan dalam bekas bertutup setelah sejuk.





Tauhu Bergedil :



  1. Tumbuk halus bawang putih, biji ketumbar dan jintan manis yang telah direndam.
  2. Potong kecil kentang dan goreng dalam minyak yang banyak sehingga sedikit kecoklatan permukaannya dengan api sederhana.
  3. Setelah sedikit kecoklatan, angkat dan toskan kemudian masukkan ke dalam mangkuk.
  4. Keluarkan baki minyak menggoreng kentang tadi dan tinggalkan anggaran 2-3 sudu besar minyak di dalam kuali.
  5. Tumis bawang besar yang didadu sehingga layu kemudian masukkan bahan tumbuk.  Tumis sehingga harum.
  6. Masukkan ayam cincang atau isi ayam yang dicincang, tumis sehingga jus ayam betul-betul garing.  
  7. Padamkan api setelah inti ayam masak.
  8. Lecek halus kentang menggunakan anak kesung atau pelecek kentang.
  9. Masukkan inti ayam dan lecek bersama.
  10. Masukkan bawang goreng dan garam secukupnya dan gaul sebati.
  11. Potong dua tauhu puff menggunakan gunting bersih, tapi bahagian bawahnya jangan dipotong ya.
  12. Keluarkan isi tauhu puff dan campur bersama dengan adunan bergedil tadi.
  13. Kepalkan sedikit adunan bergedil, agak-agaklah ya supaya muat nak sumbat bergedil di dalam tauhu puff tadi. 
  14. Sumbat adunan bergedil sehingga penuh untuk mendapatkan tauhu bergedil yang bambam.  Buat sehingga selesai.
  15. Tauhu bergedil boleh terus disimpan dalam bekas bertutup dan bolehlah difrozenkan.





Menggoreng Tauhu Bergedil :


  1. Panaskan minyak masak secukupnya di dalam kuali untuk menggoreng.
  2. Kocok sebati telur, sedikit garam dan tepung jagung sehingga tidak berketul.
  3. Setelah minyak cukup panas, celupkan tauhu bergedil di dalam salutan telur, golek-golekkan supaya salutan tebal dan masukkan ke dalam kuali (bahagian atas letakkan di bawah ya).
  4. Goreng dengan api sederhana dan balik-balikkan supaya warna sekata.  Angkat setelah berwarna keemasan.
  5. Toskan lebihan minyak.





Sambal Kicap :



  1. Sangai bijan putih sebentar.  Ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.
  3. Goreng cili padi, cili merah, bawang merah dan bawang putih sehingga sedikit kecoklatan.
  4. Kisar halus bersama air dan kicap.
  5. Masak semula di dalam periuk, perasakan gula dengan garam.
  6. Setelah mendidih, masukkan air bancuhan tepung jagung (campur bersama 1/2 sudu besar tepung jagung dengan 2 sudu besar air).
  7. Kacau sebentar kemudian boleh padamkan api.






Menghidang Tauhu Bergedil :



  • Tuang sambal kicap di dalam mangkuk atau bekas kecil.  taburkan bijan yang telah disangai.
  • Susunkan tauhu bergedil di dalam pinggan yang bersesuaian kemudian taburkan hirisan daun sup, daun bawang dan hirisan cili merah.
  • Hidang bersama sambal kicap.








Tuesday, 25 June 2019

Bergedil Kentang Ayam





Assalamualaikum...

Kalau makan nasi lemak ke, makan soto atau masak berasaskan sup mesti tak lengkap kalau takde menu yang satu ni.
Bergedil kentang memang sangat sedap walaupun dimakan begitu saja, apatah lagi kalau direncah dengan ayam atau pun daging.

Sebelum ni Lyn pernah kongsikan resepi bergedil kentang yang biasa Lyn sediakan sebagai lauk sampingan setiap kali membuat soto atau nasi lemak.
Untuk resepi bergedil kentang yang simple boleh rujuk kat link ni yea : bergedil kentang simple

Untuk membuat bergedil, kentang hendaklah direbus atau digoreng terlebih dahulu dengan sedikit garam.
Kalau nak sihat boleh rebus kentang tu tapi bergedil akan jadi lembik sikit disebabkan air yang terserap masuk ke dalam kentang sewaktu proses merebus kentang.
Tapi kalau nak bergedil yang lebih sedap kentang hendaklah digoreng sehingga sedikit garing kemudian baru dilenyek halus.
Kalau nak tahu rahsia keenakan bergedil kentang ni ialah penggunaan ketumbar dan jintan yang ditumbuk halus.
Walau buat bergedil kentang kosong pun, kalau letak ketumbar dan jintan ni gerenti akan sedap dan ketagih makan bergedil kentang ni.
Bergedil kentang ni pun salah satu makanan kegemaran bapa mertua Lyn yang memang "jakun" dan memang tak pernah merasa bergedil kentang sebelum ni.
So, setiap kali Lyn bawakan makanan ke rumah mertua bergedil kentang menu wajib ada.
Memang sedap meratah macam tu je walaupun tak makan dengan sup atau soto.




Beberapa hari lepas Lyn terjumpa satu video membuat bergedil kentang ayam dari famous Youtuber Che Nom.
Nampak macam sedap je bergedil kentang ayam tu.
Tak sabar-sabar Lyn nak mencubanya.
Che Nom menggunakan kaedah menggoreng kentang dan antara bahan-bahan utama untuk bergedil kentang ayamnya ialah daun sup, bawang goreng, cili merah dan bawang besar untuk ditumis sebentar bersama ayam cincang.
Macam biasa, seperti yang Lyn bagitau tadi kalau bergedil kentang yang Lyn sediakan ketumbar dan jintan wajib ada so Lyn ubah suai sikit mengikut citarasa kami.
Lagi satu, ketumbar dan jintan ni adalah herba yang baik untuk kesihatan, bukan saja sebagai penyedap rasa sesuatu makanan.
Kalau nak tau apa kebaikan ketumbar dan jintan ni boleh rujuk kat blog kesihatan Lyn kat sini yea:
https://myhealthhypothesis.wordpress.com/2019/06/25/reasons-to-add-spices-to-your-diet/

Kalau agak-agak tak berapa rajin nak tumbuk ketumbar dan jintan tu boleh je pakai serbuk yang ready made tapi rasanya takkan sama dan tak sewangi kalau pakai ketumbar dan jintan biji.

Lyn buat bergedil kentang ayam ni hari Sabtu lepas, kebetulan hubby pun on MC sebab demam yang semakin melarat semenjak hari sebelumnya.
So, untuk orang sakit ni kenalah bagi makanan yang kaya dengan protein dan vitamin kan..
Lyn masak sup ayam untuk melegakan hidung yang tersumbat, hirup je masa sup ayam tu suam-suam kuku lega je rasa kat hidung tu nanti.
Jangan hirup waktu panas pulak sebab akibatnya nanti boleh rosak taste bud kat lidah tu dan yang paling serius boleh menyebabkan cancer lidah.
Jadi, elak menghirup air atau makanan yang terlalu panas, suam takpe..hihi..
Okay, berbalik kepada cerita tadi, disebabkan Lyn dah masakkan hubby sup ayam, rasa macam tak best je nak hidang gitu je kan dengan nasik kosong.
So, sudahnya terhasillah bergedil ketang ayam ni.
Lyn buat bergedil kentang ayam ni pakai 7 biji kentang saiz sedang.
Dapat banyak jugak.
Amboi...tak sangka pulak hubby Lyn yang katanya tak lalu makan tu boleh telan habis separuh bergedil kentang ayam tu..😅😅😅
Katanya lebih sedap bergedil yang letak ayam.
(Pssst...memang la lagi sedap kos pun lagi mahal dan barang pun lagi banyak kan..kihkih)

Tanpa membuang masa, jom kita intai-intai resepi bergedil kentang ayam ni dulu.

Bergedil Kentang Ayam

Rujukan : Che Nom
Jenis Masakan : Melayu
Jumlah Bergedil : Anggaran 20 keping

7 biji kentang - saiz sedang
1 keping dada ayam - cincang atau potong kecil
1 biji bawang besar - potong dadu
5 batang daun sup - hiris nipis
3 helai daun bawang - hiris nipis
2 batang cili merah - buang biji dan hiris kecil
1/2 cawan bawang goreng
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
2 biji telur
garam secukupnya
minyak untuk menggoreng kentang, bergedil dan menumis ayam.

Bahan tumbuk halus:

2 ke 3 ulas bawang putih
3 sudu besar ketumbar biji - rendam sekejap
1 sudu besar jintan manis - rendam sekejap








Mula-mula kena goreng kentang terlebih dahulu.
Potong nipis kentang yang telah dikupas dan dicuci dan gaul dengan garam.
Goreng dalam minyak yang banyak sehingga kentang keperangan.
Angkat dan toskan sebentar untuk membuang minyak yang berlebihan.
Masukkan di dalam mangkuk dan lecek halus menggunakan masher atau tumbuk halus lesung batu.






Di dalam kuali lain, panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar sehingga layu dan masukkan bahan tumbuk halus beserta ayam cincang.
Tumis sehingga ayam masak, masukkan serbuk lada sulah dan perasakan dengan sedikit garam.




(NOTA: Lyn lupa masukkan cili merah tadi tu yang masuk asing dengan bahan lain)


Tuang ayam yang telah ditumis bersama rempah tadi ke dalam mangkuk berisi kentang lecek.
Masukkan hirisan daun sup dan daun bawang, cili merah dan bawang goreng.
Gaul rata dan perasakan dengan sedikit lagi garam jika perlu.






Bulat-bulatkan bergedil kentang ayam.
Kepal-kepal bergedil tersebut supaya padat dan leperkan.
Susun di dalam pinggan atau dulang.



Untuk menggoreng bergedil kentang ayam:




Pecahkan dua biji telur dan pukul ringan.  Tambah secubit garam.
Panaskan minyak dalam kuali dan celupkan bergedil ke dalam bancuhan telur dan goreng dengan api sederhana sehingga bergedil masak dan bewarna keperangan.
Angkat dan toskan minyaknya.
Sedia dinikmati.

Untuk cara membuat bawang goreng yang rangup dan sedap boleh rujuk kat entry bawang goreng yang Lyn pernah kongsikan dulu melalui link ni yea bawang goreng rangup.





Selamat Mencuba!

Sunday, 28 October 2018

Tauhu Bergedil


Assamualaikum wbt
Selamat sejahtera semua!


Sejak dua menjak ni viral betul menu bergedil tauhu ni.  Tahniah pada pencipta resepi viral ni. Saya dan hubby tak pernah lagi berkesempatan nak rasa bergedil tauhu yang betul-betul sedap sebelum ni.  Nak dijadikan cerita, sewaktu saya membeli barang pasar di Seksyen 13, ada la satu pemuda ni jual cendol depan pasar raya tu.  Kebetulan pula ada bergedil tauhu sekali.  Tinggal sebekas je bergedil tauhu yang tinggal jadi saya pun dengan niat yang berkobar-kobar nak merasa bergedil tauhu, jadi saya pun beli lah.  First impression dari segi penampilan luaran nampaknya bergedil tauhunya kurang menarik.  Sampai je rumah, lepas kemas barang-barang pasar, saya dan hubby pun rasalah bergedil tauhu yang kami beli tu.  Hmm...alahai...tauhunya dah agak masam dan kentangnya pun tak mengancam rasanya.  Daging pun tak rasa langsung.  Sos yang diberikan pun rasanya tak sedap.  Alahai, kecewa betul la..nak makan bergedil tauhu yang sedap pun tak dapat.  Huhu..

Esoknya, saya nekad nak buat sendiri je bergedil tauhu ni. Tak puas hati dengan rasa bergedil tauhu yang kami beli semalam.  Awal pagi saya dah ke pasar raya untuk membeli segala bahan.  Berdasarkan resepi yang saya google, bahan utamanya ialah kentang yang direbus kemudian dilecek, daging cincang yang dimasak dulu, bawang putih dan bawang merah dan semestinya tauhu puff yang dah siap digoreng tu.  Jadi, berdasarkan bahan asas ni, saya cuba sesuaikan mengikut citarasa saya.

Percubaan pertama saya rebus kentang tu dan lecek, kemudian untuk daging, saya tumis dengan bawang putih dan bawang merah yang dah ditumbuk dulu, kemudian saya tambah bawang goreng, daun sup, daun bawang, ketumbar, jintan dan lada sulah.  Lepas dah siapkan bahan bergedil,  langkah seterusnya ialah menyumbat bergedil dalam tauhu puff.  Dengan menggunakan empat biji kentang bersaiz sederhana, agak banyak juga bergedil tauhu yang dapat dihasilkan.  Saya lupa nak kira berapa biji dapat sebab dah dekat sebulan lepas saya buat bergedil tauhu cubaan pertama ni.  Ada banyak lebih siap buat untuk frozen dan dibawa pulang ke kampung lagi.  Overall, pada saya bergedil tauhu cubaan pertama ni sedap, setidak-tidaknya jauh lebih sedap berbanding dengan bergedil tauhu yang saya beli sebelumnya.  Memang sedap walau pun makan macam tu saja tanpa sos.  Tapi malangnya bergedil tauhu yang saya frozenkan tu dah agak masam rasanya bila dibiarkan untuk beberapa jam lepas digoreng.  Maksudnya kalau lepas goreng terus makan takde masalah.  Tapi bila lepas goreng kemudian lepas beberapa jam baru makan rasanya dah agak masam.  Mungkin sebab kentangnya direbus, jadi kemungkinan untuk lebih cepat basi agak tinggi.  Kemudian ada bahan yang mentah sewaktu saya campurkan kesemua bahan iaitu ketumbar dan jintan, mungkin itu salah satu faktor kenapa rasanya berubah menjadi masam.

Saya kira percubaan pertama nak frozenkan bergedil tauhu saya kurang berjaya walaupun resepi tu dah sedap.  Beberapa hari lepas saya mulakan eksperimen untuk percubaan kedua membuat bergedil tauhu yang lebih tahan lama untuk difrozenkan.  Kali ni bahan-bahan yang digunakan lebih kurang sama je dengan yang percubaan pertama kali tu, bezanya kali ni kentangnya saya goreng, bukan direbus dan semua bahan tumbuk iaitu ketumbar, jintan dan bawang saya tumis dulu hingga garing...Kali ni saya tak letak daging, hanya kentang kosong.  Dan hasilnya memang memuaskan hati, rasanya lebih sedap dan lebih tahan lama.  Tak cepat rasa masam seperti yang sebelum ni.


Untuk resepi penuh boleh rujuk kat bawah ni:

Bergedil Tauhu:

3 biji kentang kuning bersaiz sederhana besar 
1/4 cawan daging cincang (optional)
2 ulas bawang putih *
3 ulas bawang merah (yang saiz agak besar) *
2 sudu besar ketumbar (rendam) *
1 sudu teh jintan manis (rendam) *
1/2 sudu teh lada sulah biji *
daun sup
daun bawang
garam
1 peket tauhu puff
telur
minyak secukupnya untuk menggoreng kentang dan bergedil tauhu

Ni bahan-bahan untuk bergedil tauhu cubaan pertama.  Nampakkan kentangnya saya rebus disitu.
Sebelum digoreng

Cara membuat:


  1. Kentang dihiris nipis dan digaul dengan sedikit garam digoreng hingga sedikit garing. Lecek kentang hingga halus menggunakan lesung batu dan masukkan ke dalam sebuah bekas.
  2. Tumbuk halus kesemua bahan bertanda *.
  3. Menggunakan minyak yang sama untuk menggoreng kentang, tumis bahan tumbuk hingga agak garing.  Masukkan daging cincang.  Tambah sedikit garam.  Angkat dan campurkan ke dalam bekas yang mengandungi kentang lecek.
  4. Hiris nipis daun sup dan daun bawang.  Campurkan ke dalam adunan kentang.  Gaul rata dan tambah sedikit garam sekiranya perlu.
  5. Belah dua tauhu puff tapi hati-hati jangan potong sampai terputus dua.  Sumbat bergedil dalam tauhu puff.
  6. Pecahkan telur dalam bekas berlainan dan pukul telur sebentar dengan menggunakan garfu.
  7. Panaskan minyak yang agak banyak dalam kuali.  Celup bergedil tauhu ke dalam bancuhan telur dan goreng hingga kuning keemasan.  Angkat dan toskan.  Sedia dihidang.
  8. Simpan baki bergedil tauhu yang belum digoreng dalam bekas kedap udara dan masukkan ke dalam freezer.  Bila nak goreng, keluarkan sebentar dari freezer dan boleh terus  digoreng.

Saya malas nak menyediakan sos nya jadi bergedil tauhu ni kami makan cicah dengan sambal kicap saje.  Tapi kalau rajin bolehlah buat sosnya.  Rasa sosnya lebih kurang je macam sos Yong Tau Foo kan, manis-manis pedas.  Bahan utama sosnya ialah gula Melaka, garam dan cili kering kisar dan air. Reneh hingga agak pekat dan tambahkan tepung jagung sikit.

Untuk lebih menarik, boleh taburkan bawang goreng, hirisan cili merah dan daun bawang atas bergedil tauhu anda sewaktu dihidangkan.  Barulah terliuq nak makan.

Selamat mencuba!










Tuesday, 23 October 2018

Resepi Bergedil Tempe Mudah



Assalamualaikum wbt semua pembaca...Moga kita semua senantiasa sihat dan gembira dalam menjalani kehidupan di samping menggalas tanggungjawab masing-masing. Sejak dua menjak ni cuaca memang tak menentu. Cuaca yang sekejap hujan sekejap panas sekarang ni membuatkan kesihatan saya sedikit terganggu disebabkan masalah seasonal allergy yang saya alami semenjak kecil lagi.

Baiklah, kali ni saya nak kongsikan cara membuat bergedil tempe yang mudah lagi sedap dan menyihatkan. Hehehe..Mesti pelik kan bila sebut je bergedil tempe? Soalan pertama yang akan berlegar dalam kotak fikiran mesti rasanya, betul tak? Saya pun baru pertama kali teringat nak buat bergedil tempe ni. Dulu saya pernah menonton satu rancangan Omputih yang bertajuk "Cook Your Ass Off". Rancangan ni memaparkan kreativiti para peserta untuk mengubah sesuatu makanan yang tak sihat kepada versi yang lebih sihat. Contohnya, makanan kegemaran kanak-kanak iaitu Mac And Cheese atau makaroni keju seperti yang kita tahu memang sangat lazat bagi penggemar keju tapi malangnya kandungan kalori dan lemak tepu nya agak tinggi dan boleh memudaratkan kesihatan. Jadi, ni lah tugas para peserta yang memasuki rancangan tersebut untuk tukarkan versi Mac And Cheese yang lebih sihat. Contohnya, ada salah sorang peserta ni, (saya dah lupa nama nya), beliau menggunakan kelapa parut untuk menggantikan keju. Ada pula sorang housewife ni beliau menggunakan cottage cheese dan dibungkus dalam kulit dumplings. Lebih kurang macam tu la.

Pernah dalam salah satu episod rancangan ni, ada seorang chef yang merupakan vegetarian, jadi kesemua menu masakan beliau langsung tak menggunakan sumber daging. Beliau pernah menggunakan tempe sebagai sumber protein ketika menyajikan menu sihat berasaskan protein. Saya tak ingat bahan campuran tempe yang dikepal menjadi seperti bergedil yang beliau sediakan. Jadi resepi yang saya nak kongsi kali ni merupakan olahan saya sendiri.

Resepi Bergedil Tempe 

Bahan yang diperlukan:

2 keping tempe dalam plastik (tumbuk sampai hancur)
1/2 biji bawang besar (cincang)
1 batang cili merah (hiris nipis)
1 biji telur
1 sudu teh garam
3 sudu besar serbuk kari
6 atau 7 helai daun kari (cincang halus)
1/4 kiub ayam
2 helai daun bawang (hiris nipis)
2 sudu besar ketumbar (rendam dan tumbuk halus)
1 sudu kecil jintan manis (rendam dan tumbuk halus)
2 ulas bawang putih (tumbuk halus)

Sebelum digoreng
Cara penyediaan:

Satukan kesemua bahan di atas dan gaul rata. Kemudian, kepal-kepalkan adunan menjadi bebola kecil dan leperkan sedikit.

Goreng dalam minyak yang banyak. Angkat dan toskan.

Sedia dihidang!


Bergedil tempe versi ni berperisa kari. Rasanya lebih kurang macam vadei, snek popular kaum India. Anda boleh ubah suai bahan-bahannya mengikut citarasa anda. Bergedil tempe ni sihat dan kaya dengan protein soya. Sesuai dijadikan santapan ringan kepada sesiapa yang tengah berdiet rendah karbohidrat.

Sedap kalau makan bergedil tempe ni cicah sedikit dengan sos cili. :)

Selamat mencuba!

Tuesday, 18 September 2018

Bergedil Kentang Simple



Hai, Assalamualaikum semua! 




Bergedil kentang memang salah satu makanan favorite saya sejak kecil lagi. Antara menu pertama saya belajar dengan bonda ialah bergedil kentang lah. Takde letak daging langsung pun dah sangat sedap pada saya.

Dulu, masa saya sekolah rendah, selalu sangat buat bergedil kentang Asal ade je stok kentang kat rumah confirm saya akan buat projek bergedil kentang nih. Sampaikan jiran bertandang ke rumah pun saya hidang bergedil kentang. Hahaha... Padahal bukan ada sup pun, makan gitu je...

Lepas tu, teruja betul kalau makan kat kedai ada lauk bergedil kentang. Yeay! Happy nyer.. >.<
Bila  dah berumah tangga, saya pulak introduce bergedil kentang kat family mertua yang dorang memang tak pernah tengok dan makan! Kembang kempis je lubang hidung ni bila dorang kata sedap. Kihkih...baru tau penangan masakan orang Melayu ni kan :)

Nak buat bergedil kentang yang sedap ni tak semestinya kene letak daging atau ayam baru kaw kan. Yang paling penting jenis kentang yang digunakan tu mesti kentang yang sedap ,selalunya yang berwarna kuning sikit dan bukan menggunakan kentang Russet yang orang guna untuk buat mashed potato tu.

Jom kita semak bahan-bahannya dulu.

Bahan-bahan Bergedil Kentang:


4 biji kentang kuning saiz sederhana (kupas kulit dan potong kecil)
garam secukup rasa
minyak untuk menggoreng


Panaskan minyak dan goreng kentang yang dah digaul dengan garam sampai kuning keemasan. Angkat, toskan dan tumbuk halus.

Bahan Rempah:

2 sudu besar ketumbar *
1sudu besar jintan manis *
4 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
sedikit lada sulah *
1/2 labu bawang besar (cincang halus)
daun bawang
daun sup
sedikit garam jika perlu
telur 2 biji 
minyak untuk menggoreng


Rendam ketumbar dan jintan seketika. Tumbuk halus kesemua bahan bertanda *.
Campurkan bawang besar cincang, bahan tumbuk, daun bawang dan daun sup dengan kentang yang dah dilenyek halus tadi. Tambah garam kalau perlu
Bentukkan bulatan leper saiz sederhana.
Panaskan minyak. pecahkan telur dan kacau sebentar guna garfu. Celupkan bergedil ke dalam telur dan goreng hingga warna bertukar menjadi kuning keemasan.
Angkat dan toskan.


Sedia dihidang.



NOTA#

Kalau tak nak goreng kentang tu atas sebab kesihatan boleh rebus atau kukus kentang sampai lembut. Kemudian baru lenyek. Cuma bergedil anda kejadiannya akan lembik sikit berbanding kalau kentangnya digoreng. 

Sekian..