Resepi Bergedil Tempe Mudah

Tuesday, 23 October 2018

Resepi Bergedil Tempe Mudah



Assalamualaikum wbt semua pembaca...Moga kita semua senantiasa sihat dan gembira dalam menjalani kehidupan di samping menggalas tanggungjawab masing-masing. Sejak dua menjak ni cuaca memang tak menentu. Cuaca yang sekejap hujan sekejap panas sekarang ni membuatkan kesihatan saya sedikit terganggu disebabkan masalah seasonal allergy yang saya alami semenjak kecil lagi.

Baiklah, kali ni saya nak kongsikan cara membuat bergedil tempe yang mudah lagi sedap dan menyihatkan. Hehehe..Mesti pelik kan bila sebut je bergedil tempe? Soalan pertama yang akan berlegar dalam kotak fikiran mesti rasanya, betul tak? Saya pun baru pertama kali teringat nak buat bergedil tempe ni. Dulu saya pernah menonton satu rancangan Omputih yang bertajuk "Cook Your Ass Off". Rancangan ni memaparkan kreativiti para peserta untuk mengubah sesuatu makanan yang tak sihat kepada versi yang lebih sihat. Contohnya, makanan kegemaran kanak-kanak iaitu Mac And Cheese atau makaroni keju seperti yang kita tahu memang sangat lazat bagi penggemar keju tapi malangnya kandungan kalori dan lemak tepu nya agak tinggi dan boleh memudaratkan kesihatan. Jadi, ni lah tugas para peserta yang memasuki rancangan tersebut untuk tukarkan versi Mac And Cheese yang lebih sihat. Contohnya, ada salah sorang peserta ni, (saya dah lupa nama nya), beliau menggunakan kelapa parut untuk menggantikan keju. Ada pula sorang housewife ni beliau menggunakan cottage cheese dan dibungkus dalam kulit dumplings. Lebih kurang macam tu la.

Pernah dalam salah satu episod rancangan ni, ada seorang chef yang merupakan vegetarian, jadi kesemua menu masakan beliau langsung tak menggunakan sumber daging. Beliau pernah menggunakan tempe sebagai sumber protein ketika menyajikan menu sihat berasaskan protein. Saya tak ingat bahan campuran tempe yang dikepal menjadi seperti bergedil yang beliau sediakan. Jadi resepi yang saya nak kongsi kali ni merupakan olahan saya sendiri.

Resepi Bergedil Tempe 

Bahan yang diperlukan:

2 keping tempe dalam plastik (tumbuk sampai hancur)
1/2 biji bawang besar (cincang)
1 batang cili merah (hiris nipis)
1 biji telur
1 sudu teh garam
3 sudu besar serbuk kari
6 atau 7 helai daun kari (cincang halus)
1/4 kiub ayam
2 helai daun bawang (hiris nipis)
2 sudu besar ketumbar (rendam dan tumbuk halus)
1 sudu kecil jintan manis (rendam dan tumbuk halus)
2 ulas bawang putih (tumbuk halus)

Sebelum digoreng
Cara penyediaan:

Satukan kesemua bahan di atas dan gaul rata. Kemudian, kepal-kepalkan adunan menjadi bebola kecil dan leperkan sedikit.

Goreng dalam minyak yang banyak. Angkat dan toskan.

Sedia dihidang!


Bergedil tempe versi ni berperisa kari. Rasanya lebih kurang macam vadei, snek popular kaum India. Anda boleh ubah suai bahan-bahannya mengikut citarasa anda. Bergedil tempe ni sihat dan kaya dengan protein soya. Sesuai dijadikan santapan ringan kepada sesiapa yang tengah berdiet rendah karbohidrat.

Sedap kalau makan bergedil tempe ni cicah sedikit dengan sos cili. :)

Selamat mencuba!

0 comments :

Post a Comment