Tauhu Bergedil Ayam Dengan Sambal Kicap Pekat

Tuesday 19 September 2023

Tauhu Bergedil Ayam Dengan Sambal Kicap Pekat




Tauhu bergedil ialah antara menu yang pernah viral suatu ketika dahulu kerana keunikan bentuk dan rasanya.  Apa yang membuatkan ramai yang tergila-gilakan tauhu bergedil ni ya?  Selain rasa keenakan rasa tauhu bergedil yang biasanya berintikan bergedil ayam atau daging ini, tauhu bergedil ini disajikan bersama sambal kicap yang pekat, pedas dan padu. Makan seketul pun tak cukup!

Beberapa tahun lepas saya pernah kongsikan resepi tauhu bergedil daging.  

Klik sini untuk resepinya : Tauhu Bergedil Daging


Resepi tauhu bergedil kali ini saya menggunakan ayam kisar sebagai rencah utamanya kerana kebetulan stok daging kisar di rumah telah habis.  Resepinya lebih kurang sama, cuma bezanya kali ini tauhu bergedil ayam saya tambahkan dengan bawang goreng sebagai penambah rasa.  Seperti biasa, kenapa saya kata tauhu bergedil saya lain dari yang lain kerana saya menggunakan ketumbar dan jintan manis yang telah saya rendam terlebih dahulu kemudian ditumbuk halus untuk ditumis bersama daging atau ayam kisar tadi.  Kalau anda biasa membuat tauhu bergedil yang hanya menggunakan rencah bawang merah/bawang besar, bawang putih dan daging atau ayam ksiar sahaja, apa kata kali ini anda cuba resepi tauhu bergedil yang menggunakan ketumbar dan jintan manis pula, pasti anda akan sukakan rasanya!  

Jintan manis sebaiknya jangan digantikan dengan jintan putih ya kerana rasanya tidak sama.  Jintan manis rasanya lebih lembut manakala jintan putih rasanya lebih kuat berbau rempah.  Kalau tiada stok jintan manis, boleh gunakan ketumbar sahaja ya. 


Tonton Video Tutorial di Sini :



Tauhu bergedil ayam ini biasanya dinikmati bersama sambal kicap dan dihias dengan hirisan cili merah dan daun sup.  Saya takde daun sup waktu saya membuat video tutorial untuk tuahu bergedil ini, jadi saya hanya gantikan dengan hirisan daun bawang dan daun parsley.  Resepi sambal kicap saya kali ini agak istimewa kerana lebih pekat dan likat, dengan rasa manis pedas dan lemak dari bijan.


Cara Menyimpan Tauhu Bergedil :

  • Tauhu bergedil yang telah digoreng boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh bertahan sehingga tiga hari.
  • Untuk memanaskan semula tauhu bergedil yang telah digoreng ialah dengan cara memanggang sebentar pada suhu 150℃ menggunakan air fryer atau ketuhar selama 5 minit.  Boleh juga menggunakan microwave selama 1 minit sehingga tauhu bergedil hangat.
  • Tauhu bergedil yang belum digoreng boleh disimpan di dalam freezer sehingga satu bulan.  Simpan di dalam bekas bertutup supaya permukaan tidak kering.
  • Untuk menggoreng tauhu bergedil frozen, keluarkan tauhu bergedil dari freezer dan boleh terus digoreng menggunakan api sederhana rendah sehingga keemasan warnanya.  Jangan gunakan api tinggi kerana bimbang bahagian luar telah garing sementara bahagian dalam masih lagi beku.



Tauhu bergedil ayam ini sangat sesuai dijadikan sebagai snek untuk pelbagai jamuan atau pun sebagai sajian untuk minum petang.  Tauhu bergedil ini memang versi bambam kerana saya keluarkan isi tauhunya untuk dicampur ke dalam adunan bergedil.  Makan seketul pun dah terasa puas kerana isinya banyak, tambahan pula dengan rasa rempah dari ketumbar dan jintan manis tadi, lagilah enak rasanya.



Tips Untuk Frozenkan Tauhu Bergedil dan Supaya Tauhu Bergedil Tahan Lama :

  • Jangan masukkan hirisan cili, daun sup atau daun bawang ke dalam adunan bergedil jika anda buat tauhu bergedil untuk difrozenkan supaya tauhu bergedil tahan lama dan tidak cepat basi.  Tambahan pula, hirisan cili, daun sup dan daun bawang ini tidak akan lagi fresh kalau telah difrozenkan dan bimbang akan menjejaskan rasa tauhu bergedil frozen.
  • Kentang perlu digoreng sehingga sedikit garing (anda akan nampak ada tompok-tompok coklat pada permukaan kentang) untuk elak kentang goreng dari berair.
  • Jangan rebus atau kukus kentang untuk membuat bergedil, sebaliknya kentang perlu digoreng supaya tidak berair.  
  • Pastikan ayam cincang yang ditumis bersama bawang dan rempah benar-benar garing ya (tiada jus ayam yang kelihatan) supaya adunan bergedil tidak berair.
  • Tambahkan sedikit tepung jagung pada adunan bergedilnya supaya tauhu bergedil tidak menjadi lembik dan berderai setelah digoreng.  Ini kerana, ais akan terbentuk dalam tauhu bergedil yang difrozenkan.  Apabila tauhu bergedil frozen digoreng atau di de-frostkan, ais yang terbentuk akan menjadi cair menjadikannya berair.  Tepung jagung akan meresap lebihan cecair dalam tauhu bergedil.


Saya selalu buat tauhu bergedil untuk difrozenkan sebab keluarga saya sangat sukakannya.  Sedap buat makan-makan dikala menonton drama.  Hehe..Selamat mencuba!




Tauhu Bergedil Ayam





Kategori : Bergedil, Snack

Masa Penyediaan : 20 minit

Masa Memasak : 25 minit

Jumlah Hidangan : Anggaran 23 biji




BAHAN-BAHAN




Tauhu Bergedil Ayam 



Bahan Tumbuk :


2-3 ulas bawang putih

1 sudu besar penuh biji ketumbar (rendam 5-10 minit, kemudian toskan)

1/2 sudu besar jintan manis (rendam 5-10 minit, kemudian toskan)


4 biji kentang bersaiz sederhana besar (anggaran 815 gm tanpa kulit)

1 biji bawang besar (didadu)

315 gm ayam cincang /dada ayam dicincang halus (anggaran 1 & 1/2 keping dada ayam)

Garam secukupnya

Serbuk lada sulah secukupnya

2-3 sudu besar penuh bawang goreng

1-2 sudu besar tepung jagung *saya tambah, di dalam video tutorial tiada 

Tauhu puff secukupnya



Bawang Goreng :


4 ulas bawang merah (hiris nipis)

1-2 ulas bawang putih (hiris nipis)

1 sudu besar tepung jagung

1-2 sudu teh gula pasir

1/4 sudu teh garam



Salutan Telur :


2 biji telur

1 sudu besar tepung jagung (boleh skip)

Secubit garam




Sambal Kicap 


6-10 tangkai cili padi Siam

2 tangkai cili merah (potong pendek)

1 ulas bawang merah (potong kasar)

2 ulas bawang putih 

1/2 cawan air

3/4 cawan kicap manis

Gula secukupnya

Sedikit garam

1/2 sudu besar tepung jagung

2 sudu besar air




CARA MEMBUAT



Bawang Goreng :


  1. Panaskan minyak masak secukupnya untuk menggoreng.
  2. Lap kering bawang merah dan bawang putih menggunakan tisu dapur supaya bawang goreng tidak berair.
  3. Gaul bersama gula pasir, garam dan tepung jagung.
  4. Setelah minyak cukup panas, masukkan bawang, jangan terlalu banyak sekaligus supaya masaknya sekata.
  5. Goreng dengan api sederhana, kacau selalu supaya sekata.
  6. Angkat dan toskan setelah bawang berwarna keemasan.
  7. Simpan dalam bekas bertutup setelah sejuk.





Tauhu Bergedil :



  1. Tumbuk halus bawang putih, biji ketumbar dan jintan manis yang telah direndam.
  2. Potong kecil kentang dan goreng dalam minyak yang banyak sehingga sedikit kecoklatan permukaannya dengan api sederhana.
  3. Setelah sedikit kecoklatan, angkat dan toskan kemudian masukkan ke dalam mangkuk.
  4. Keluarkan baki minyak menggoreng kentang tadi dan tinggalkan anggaran 2-3 sudu besar minyak di dalam kuali.
  5. Tumis bawang besar yang didadu sehingga layu kemudian masukkan bahan tumbuk.  Tumis sehingga harum.
  6. Masukkan ayam cincang atau isi ayam yang dicincang, tumis sehingga jus ayam betul-betul garing.  
  7. Padamkan api setelah inti ayam masak.
  8. Lecek halus kentang menggunakan anak kesung atau pelecek kentang.
  9. Masukkan inti ayam dan lecek bersama.
  10. Masukkan bawang goreng dan garam secukupnya dan gaul sebati.
  11. Potong dua tauhu puff menggunakan gunting bersih, tapi bahagian bawahnya jangan dipotong ya.
  12. Keluarkan isi tauhu puff dan campur bersama dengan adunan bergedil tadi.
  13. Kepalkan sedikit adunan bergedil, agak-agaklah ya supaya muat nak sumbat bergedil di dalam tauhu puff tadi. 
  14. Sumbat adunan bergedil sehingga penuh untuk mendapatkan tauhu bergedil yang bambam.  Buat sehingga selesai.
  15. Tauhu bergedil boleh terus disimpan dalam bekas bertutup dan bolehlah difrozenkan.





Menggoreng Tauhu Bergedil :


  1. Panaskan minyak masak secukupnya di dalam kuali untuk menggoreng.
  2. Kocok sebati telur, sedikit garam dan tepung jagung sehingga tidak berketul.
  3. Setelah minyak cukup panas, celupkan tauhu bergedil di dalam salutan telur, golek-golekkan supaya salutan tebal dan masukkan ke dalam kuali (bahagian atas letakkan di bawah ya).
  4. Goreng dengan api sederhana dan balik-balikkan supaya warna sekata.  Angkat setelah berwarna keemasan.
  5. Toskan lebihan minyak.





Sambal Kicap :



  1. Sangai bijan putih sebentar.  Ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.
  3. Goreng cili padi, cili merah, bawang merah dan bawang putih sehingga sedikit kecoklatan.
  4. Kisar halus bersama air dan kicap.
  5. Masak semula di dalam periuk, perasakan gula dengan garam.
  6. Setelah mendidih, masukkan air bancuhan tepung jagung (campur bersama 1/2 sudu besar tepung jagung dengan 2 sudu besar air).
  7. Kacau sebentar kemudian boleh padamkan api.






Menghidang Tauhu Bergedil :



  • Tuang sambal kicap di dalam mangkuk atau bekas kecil.  taburkan bijan yang telah disangai.
  • Susunkan tauhu bergedil di dalam pinggan yang bersesuaian kemudian taburkan hirisan daun sup, daun bawang dan hirisan cili merah.
  • Hidang bersama sambal kicap.








0 comments :

Post a Comment