Tauhu Bergedil
Assamualaikum wbt
Selamat sejahtera semua!
Esoknya, saya nekad nak buat sendiri je bergedil tauhu ni. Tak puas hati dengan rasa bergedil tauhu yang kami beli semalam. Awal pagi saya dah ke pasar raya untuk membeli segala bahan. Berdasarkan resepi yang saya google, bahan utamanya ialah kentang yang direbus kemudian dilecek, daging cincang yang dimasak dulu, bawang putih dan bawang merah dan semestinya tauhu puff yang dah siap digoreng tu. Jadi, berdasarkan bahan asas ni, saya cuba sesuaikan mengikut citarasa saya.
Percubaan pertama saya rebus kentang tu dan lecek, kemudian untuk daging, saya tumis dengan bawang putih dan bawang merah yang dah ditumbuk dulu, kemudian saya tambah bawang goreng, daun sup, daun bawang, ketumbar, jintan dan lada sulah. Lepas dah siapkan bahan bergedil, langkah seterusnya ialah menyumbat bergedil dalam tauhu puff. Dengan menggunakan empat biji kentang bersaiz sederhana, agak banyak juga bergedil tauhu yang dapat dihasilkan. Saya lupa nak kira berapa biji dapat sebab dah dekat sebulan lepas saya buat bergedil tauhu cubaan pertama ni. Ada banyak lebih siap buat untuk frozen dan dibawa pulang ke kampung lagi. Overall, pada saya bergedil tauhu cubaan pertama ni sedap, setidak-tidaknya jauh lebih sedap berbanding dengan bergedil tauhu yang saya beli sebelumnya. Memang sedap walau pun makan macam tu saja tanpa sos. Tapi malangnya bergedil tauhu yang saya frozenkan tu dah agak masam rasanya bila dibiarkan untuk beberapa jam lepas digoreng. Maksudnya kalau lepas goreng terus makan takde masalah. Tapi bila lepas goreng kemudian lepas beberapa jam baru makan rasanya dah agak masam. Mungkin sebab kentangnya direbus, jadi kemungkinan untuk lebih cepat basi agak tinggi. Kemudian ada bahan yang mentah sewaktu saya campurkan kesemua bahan iaitu ketumbar dan jintan, mungkin itu salah satu faktor kenapa rasanya berubah menjadi masam.
Saya kira percubaan pertama nak frozenkan bergedil tauhu saya kurang berjaya walaupun resepi tu dah sedap. Beberapa hari lepas saya mulakan eksperimen untuk percubaan kedua membuat bergedil tauhu yang lebih tahan lama untuk difrozenkan. Kali ni bahan-bahan yang digunakan lebih kurang sama je dengan yang percubaan pertama kali tu, bezanya kali ni kentangnya saya goreng, bukan direbus dan semua bahan tumbuk iaitu ketumbar, jintan dan bawang saya tumis dulu hingga garing...Kali ni saya tak letak daging, hanya kentang kosong. Dan hasilnya memang memuaskan hati, rasanya lebih sedap dan lebih tahan lama. Tak cepat rasa masam seperti yang sebelum ni.
Untuk resepi penuh boleh rujuk kat bawah ni:
Bergedil Tauhu:
3 biji kentang kuning bersaiz sederhana besar
1/4 cawan daging cincang (optional)
2 ulas bawang putih *
3 ulas bawang merah (yang saiz agak besar) *
2 sudu besar ketumbar (rendam) *
1 sudu teh jintan manis (rendam) *
1/2 sudu teh lada sulah biji *
daun sup
daun bawang
garam
1 peket tauhu puff
telur
minyak secukupnya untuk menggoreng kentang dan bergedil tauhu
Ni bahan-bahan untuk bergedil tauhu cubaan pertama. Nampakkan kentangnya saya rebus disitu. |
Sebelum digoreng |
Cara membuat:
- Kentang dihiris nipis dan digaul dengan sedikit garam digoreng hingga sedikit garing. Lecek kentang hingga halus menggunakan lesung batu dan masukkan ke dalam sebuah bekas.
- Tumbuk halus kesemua bahan bertanda *.
- Menggunakan minyak yang sama untuk menggoreng kentang, tumis bahan tumbuk hingga agak garing. Masukkan daging cincang. Tambah sedikit garam. Angkat dan campurkan ke dalam bekas yang mengandungi kentang lecek.
- Hiris nipis daun sup dan daun bawang. Campurkan ke dalam adunan kentang. Gaul rata dan tambah sedikit garam sekiranya perlu.
- Belah dua tauhu puff tapi hati-hati jangan potong sampai terputus dua. Sumbat bergedil dalam tauhu puff.
- Pecahkan telur dalam bekas berlainan dan pukul telur sebentar dengan menggunakan garfu.
- Panaskan minyak yang agak banyak dalam kuali. Celup bergedil tauhu ke dalam bancuhan telur dan goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan. Sedia dihidang.
- Simpan baki bergedil tauhu yang belum digoreng dalam bekas kedap udara dan masukkan ke dalam freezer. Bila nak goreng, keluarkan sebentar dari freezer dan boleh terus digoreng.
Saya malas nak menyediakan sos nya jadi bergedil tauhu ni kami makan cicah dengan sambal kicap saje. Tapi kalau rajin bolehlah buat sosnya. Rasa sosnya lebih kurang je macam sos Yong Tau Foo kan, manis-manis pedas. Bahan utama sosnya ialah gula Melaka, garam dan cili kering kisar dan air. Reneh hingga agak pekat dan tambahkan tepung jagung sikit.
Untuk lebih menarik, boleh taburkan bawang goreng, hirisan cili merah dan daun bawang atas bergedil tauhu anda sewaktu dihidangkan. Barulah terliuq nak makan.
Selamat mencuba!
0 comments :
Post a Comment