Fajita Rice Simple

Sunday 10 September 2023

Fajita Rice Simple




Nasi Fajita, atau Fajita rice merupakan salah satu menu yang popular yang berasal dari Mexico ini.  Fajita rice menggunakan rempah Fajita dan biasanya menggunakan ayam dan lada benggala sebagai rencahnya.  Cara memasaknya sangat mudah, caranya lebih kurang seperti memasak nasi goreng.

Rempah Fajitanya readymade boleh dibeli di pasaraya.  Tetapi untuk resepi ini, saya menggunakan campuran rempah yang ada di rumah saya untuk mendapatkan rasa yang hampir sama dengan rempah Fajita readymade ni.

Ayam yang digunakan untuk membuat Fajita rice ini ialah ayam bahagian isi ya, atau dada ayam.  Sebenarnya ada dua cara untuk memotong ayam, pertama, kita gunakan dada ayam yang telah dibuang kulitnya tanpa perlu dipotong.  Kedua, dada ayam yang telah dibuang kulitnya dihiris memanjang (strips) seperti filet ya.  Saya memotong dada ayam memanjang menjadi seperti filet ayam supaya mudah, tidak perlu dipotong lagi setelah ayam dimasak.  


Tonton Video Tutorial di Sini :



Fajita rice ini tidak terlalu pedas, dan biasanya menggunakan tiga jenis lada benggala, jadi warnanya memang menarik.  Kalau anda mahukan sedikit pedas, boleh sahaja ditambah dengan cayenne pepper atau pun cili padi.  Kita olah sahaja mengikut citarasa kita asalkan rasanya sedap.

Fajita rice ini sangat sesuai dijadikan menu untuk makan malam kerana mudah dan cepat untuk disediakan.  Seperti yang saya sebutkan tadi, fajita rice ini tidak terlalu pedas, jadi memang sesuai untuk dinikmati bersama anak-anak.  Fajita rice paling sedap dinikmati sebaik sahaja ia dimasak.

Selamat mencuba!




Fajita Rice




Kategori : Nasi

Masa Penyediaan : 10 minit

Masa Perapan : 30 minit

Masa Memasak : 15 minit

Saiz Hidangan : 5-6 orang



BAHAN-BAHAN :



Bahan Perapan Ayam :


520 gm isi ayam potong memanjang (filet) | dari 3 keping dada ayam saiz medium

1/2 sudu besar serbuk bawang putih

2 sudu teh serbuk cili

1 sudu teh serbuk jintan putih

2 sudu teh serbuk paprika

1 sudu teh oregano/mixed herbs

1-2 ke 1 sudu teh serbuk lada hitam kasar

1/2 sudu teh garam

1 sudu besar kicap manis

1 sudu besar jus limau/ lemon atau cuka makan



Bahan Lain :


4 sudu besar minyak masak

4 ulas bawang putih (cincang halus)

1 & 1/2 biji bawang besar (hiris nipis)

1/2 biji lada benggala hijau (potong memanjang)

1/2 biji lada benggala merah (potong memanjang)

1/2 lada benggala kuning (potong memanjang)

2 sudu besar sos cili

1 ketul kiub pati ayam

650 gm nasi putih (sejuk) | 4 cawan

Garam secukupnya



CARA MEMBUAT :


  1. Di dalam sebuah bekas, campurkan filet ayam bersama kesemua bahan perapan.  Gaul sebati, tutup bekas dan perap sekurang-kurangnya 30 minit. (Jika perap 30 minit, biarkan sahaja pada suhu bilik, jika lebih dari 30 minit, perap di dalam peti sejuk).
  2. Di dalam kuali, panaskan minyak masak.
  3. Goreng perapan ayam sehingga bertukar warna.
  4. Masukkan kiub pati ayam dan goreng sehingga sedikit kecoklatan dan kuahnya kering.
  5. Tolak filet ayam ketepi dan masukkan bawang putih cincang dan bawang besar yang dihiris nipis.  Tumis sehingga bawang layu dan harum.
  6. Masukkan hirisan lada benggala dan tumis selama 1 ke 2 minit, sehingga lada benggala sedikit lembut.
  7. Masukkan sos cili dan gaul sebati.
  8. Masukkan nasi dan gaul rata. Goreng beberapa minit supaya sebati.
  9. Perasakan dengan garam, gaul sebati dan padamkan api.
  10. Nasi Fajita sedia untuk dihidangkan bersama taburan daun bawang dan limau.





0 comments :

Post a Comment