Resepi Rendang Ayam Dengan Pucuk Ubi

Thursday 25 January 2024

Resepi Rendang Ayam Dengan Pucuk Ubi



Entah angin apa, tiba-tiba tekak ni teringin pula nak makan rendang ayam dengan pucuk ubi tu.  Sedap makan dengan lemang, tapi raya kan lambat lagi jadi agak susah nak cari orang jual lemang di tepi jalan, jadi kita makan sahaja dengan nasi panas.  Sedap juga.

Rendang ayam kali ini saya menggunakan cili kering kisar, sebelum ini saya pernah kongsikan resepi rendang ayam dengan pucuk ubi juga, tapi saya menggunakan cili padi dan cili merah besar.  Resepi rendang ini hampir sama seperti resepi rendang biasa, cuma saya lebih suka jika ayamnya digoreng bersama sedikit garam dan serbuk kunyit terlebih dahulu, tidak perlu goreng sehingga garing, cukup setakat goreng 3/4 masak sahaja, seperti kita menggoreng ayam untuk ayam masak merah tu.  Tujuannya ialah supaya isi ayam tidak mudah hancur bila kita reneh dalam kuah rendang itu nanti.  Kalau agak-agak malas nak goreng dahulu ayamnya, boleh juga kalau nak masukkan terus ke dalam kuah rendang, terpulang pada citarasa masing-masing.


Tonton Video Tutorial di Sini :



Rendang ayam pucuk ubi ini lebih sedap jika rasanya sedikit pedas, dan sebaiknya sayur pucuk ubinya tidak terlebih masak supaya tidak terlalu layu.  Disebabkan kita campurkan pucuk ubi di dalam rendang ayam ini, saya tidak galakkan untuk frozenkan rendang ayam kerana bimbang rasa pucuk ubinya tidak akan segar lagi jika dipanaskan semula nanti.  Sebaiknya, jika anda nak "make ahead of time" rendang ayam ni kemudian frozenkan, pucuk ubinya ditambah sewaktu memanaskan rendang di atas dapur ya, bukan di dalam microwave kerana kita perlu pastikan pucuk ubi mesra rasanya dengan rendang ayam.  Tambahkan sedikit santan cair atau air sewaktu kita panaskan rendang frozen, setelah ayamnya lembut dan kuah mereneh, baru tambahkan pucuk ubi dan masak sehingga pucuk ubinya lembut dan kuahnya pekat.

Rendang ayam dengan pucuk ubi ini memang tidak muak, anda boleh nikmati bersama nasi impit atau pulut kuning juga.

Selamat mencuba!




Rendang Ayam dengan Pucuk Ubi





Kategori : Lauk Pauk

Masa Penyediaan : 15 minit

Masa Memasak : 40 minit

Jumlah Hidangan : 5-6 orang



BAHAN-BAHAN


Ayam Goreng :


880 gm ketulan ayam (3/4 ekor saiz sedang)

3/4 sudu teh garam

3/4 sudu teh serbuk kunyit



Bahan Kisar :


3 ulas bawang merah (60 gm)

4 ulas bawang putih (18 gm)

1 biji bawang besar (135 gm)

3 batang serai saiz sedang (25 gm) - hiris nipis

2 inci lengkuas (30 gm) - hiris nipis

1.5 inci halia (17 gm)

2 ketul kunyit (13 gm)

Air secukupnya untuk mengisar



Bahan Lain :


Anggaran 1/2 cawan minyak masak

5 sudu besar cili kisar (75 gm) - atau lebih jika suka pedas

4-6 helai daun pandan (simpul)

1 helai daun kunyit (koyakkan)

Anggaran 1.5 ke 2 cawan air atau santan cair

1 sudu besar kerisik (20 gm)

1-2 keping asam gelugor 

1/2 ketul kecil gula Melaka

Gula pasir jika perlu

3/4 kotak kecil krim santan

1/2 ke 1 helai daun kunyit (hiris nipis)

50 ke 100 gm daun pucuk ubi

Garam secukupnya



CARA MEMBUAT :


  1. Gaul rata ketulan ayam bersama garam dan serbuk kunyit.
  2. Panaskan minyak secukupnya untuk menggoreng ayam.  Setelah minyak panas, goreng ayam dengan api sederhana sehingga 3/4 masak.  Angkat dan ketepikan.
  3. Kisar halus bahan kisar.
  4. Tinggalkan dalam 1/2 cawan minyak menggoreng ayam di dalam kuali.
  5. Masukkan bahan kisar, cili kering kisar dan daun pandan.  Tumis dengan api sederhana sehingga terbit minyak.
  6. Masukkan air atau santan cair, gula melaka, daun kunyit yang dikoyak, kerisik dan daun limau purut.  Kacau sebati dan masukkan ayam goreng.
  7. Kacau sebati dan tambah sedikit air atau santan cair jika kuah agak pekat.  Tutup kuali dan reneh selama 10 ke 15 minit supaya ayam masak dengan sempurna.  Kacau sekali-sekala supaya bahagian bawahnya tidak hangus.
  8. Setelah ayam lembut, masukkan krim santan, asam gelugor dan perasakan dengan garam. Tambah sedikti gula pasir jika perlu.  Gaul sebati.
  9. Masukkan daun pucuk ubi, masak sehingga pucuk ubi lembut dan kuah rendang pekat.
  10. Tabur hirisan daun kunyit, kacau sebati kemudian padamkan api.
  11. Rendang ayam pucuk ubi siap dihidangkan.

0 comments :

Post a Comment