Kuah Kacang Istimewa Lebaran
Assalamualaikum...
Kehangatan Aidilfitri masih lagi membara.
Walaupun disambut dalam suasana mendung dan hujan yang agak lebat, namun ianya langsung tak mematahkan semangat kunjung-mengunjung menziarahi sanak saudara dan sahabat handai.
Raya kan setahun sekali je, itulah kesempatan dan masanya nak jumpa sanak saudara.
Kalau di hari-hari lain susah sikit la sebab masing-masing sibuk bekerja dan sibuk menguruskan hal masing-masing.
Dah masuk hari raya ketiga baru Lyn dapat update entry kuah kacang ni.
Lyn kalau cuaca sejuk dan hujan ni memang jarang nak sihat.
Memang alah sikit dengan cuaca sejuk ni.
Kalau musim hujan dan sejuk ni memang kaki ni sentiasa berstokin dan badan ni berbungkus dengan baju sejuk je la.
Nasib baik duduk kat negara beriklim khatulistiwa ni.
Kalau duduk kat negara empat musim yang ada winter bagai tu hmm....tak tahulah camne.
Walaupun dah agak lewat nak update entry kuah kacang ni, takpe Lyn akan kongsikan jugak resepi kuah kacang yang Lyn sediakan untuk hari lebaran tahun ni.
Seperti tahun yang sudah, biasanya kami akan masak kuah kacang atau sambal kacang yang menggunakan udang kering.
Bahan kisar dan cili kering kisar ditumis sehingga garing dan pecah minyak kemudian baru masukkan kacang kisar, air, gula, garam, serai dan lengkuas ketuk dan jugak air asam jawa.
Kuah kacang yang ada udang kering memang sedap, tapi lama-lama makan jadik muak. (bagi kami la..)
Sudahnya berbulan-bulan kuah kacang ni tersimpan kat dalam freezer menunggu untuk dimakan bersama padanan yang sesuai.
Tahun lepas Lyn buat kuah kacang udang kering ni agak banyak untuk dibawa balik ke kampung.
Entah kenapa, kami agak kurang makan dan tetamu yang datang pun tak ramai untuk dijamu dengan ketupat.
Jadik baki kuah kacang udang kering ni masih banyak lagi itu yang kami terpaksa bawak balik semula ke rumah kami sebab bonda kata kalau kami bawak balik akan lebih cepat habis sebab Lyn rajin masak macam-macam untuk dipadankan dengan kuah kacang ni.
Selepas kejadian tu, Lyn pun ubah la resepi kuah kacang ni dan Lyn tak letak lagi udang kering.
Kuah kacang kegemaran kami sekarang ialah kuah kacang ala-ala kuah sate atau sambal sate.
Cara memasaknya lebih mudah walaupun mengambil masa lebih lama untuk mereneh kuah kacang tu sehingga pecah minyak.
Kami lebih suka pulak makan kuah kacang macam ni dan bila Lyn buat kuah kacang ala kuah sate ni barulah habis satu periuk.
Cara menggoreng kacang tanah ni ada dua cara - goreng macam biasa menggunakan minyak dan jugak sangai atau goreng tanpa minyak.
Kedua-duanya pun sedap cuma kalau goreng pakai minyak tu kalori lebih banyak la sebab penggunaan minyak berganda - untuk menggoreng kacang tanah dan untuk menumis bahan kisar.
Untuk Lyn, Lyn lebih suka sangai je kacang tanah tu sampai kulitnya ada tompok-tompok hitam dan cara lain kalau nak tau sama ada kacang tanah dah cukup masak ialah kalau kulit kacang tanah tu mudah je nak terkopek atau diasingkan dari bijinya bermakna kacang tanah dah masak.
Sangai dengan api sederhana supaya kacang tanah tak hangus tapi masih mentah bahagian tengahnya.
Apa yang penting kalau nak menyediakan kuah kacang ni ialah penggunaan gula Melaka yang akan menambah keenakan kuah kacang anda selain membuatkan warna kuah kacang lebih cantik dengan warna merah tua.
Kuah kacang mesti seimbang rasanya - sedikit manis dan pedas-pedas manja.
Kalau kuah kacang terlalu pedas orang Jawa sebut "cemplang".
Maknanya rasanya tak seimbang.
Rasa pedas boleh di adjust dengan menambah gula, letak air asam jawa sikit dan buang biji cili kering tu.
Kalau banyak pakai cili kering maka semakin merah berseri la warna kuah kacang tu nanti.
Selain faktor penggunaan gula Melaka dan cili kering, penggunaan minyak yang banyak sewaktu menumis bahan tumis tu jugak memainkan peranan.
Kacang tanah jugak nantinya akan mengeluarkan minyak jugak bila direneh.
Minyak yang bertakung kat permukaan kuah kacang tu la yang akan menyerikan lagi warna kuah kacang.
So, nampak menarik je membuatkan kita rasa nak makan.
Okey, so dah faham konsep membuat kuah kacang ni jom kita semak resepi.
Kuah Kacang Istimewa Lebaran
Kategori Masakan : Masakan Melayu/ Jawa
Saiz Hidangan : 7-8 orang
Bahan-bahan. Gula Melaka tu sepatutnya 2 ketul. |
2 cawan kacang tanah - sangai/ goreng
1/2 liter air
sedikit air asam jawa
2 ketul kecil gula Melaka - kalau pakai saiz besar guna 3/4 sahaja
gula pasir jika perlu
garam secukup rasa
lengkuas sebesar ibu jari - ketuk
minyak secukupnya
20 sudu besar cili kering kisar / 30 tangkai cili kering (buang biji)
2 biji bawang besar - hiris kasar *
4 ulas bawang putih - hiris kasar*
3 batang serai - hiris nipis *
Sangai atau goreng kacang tanah menggunakan api sederhana sehingga kacang tanah masak dan sedikit kehitaman.
Sebahagian kacang tanah dikisar halus dan sebahagian lagi kisar kasar.
Panaskan minyak secukupnya dan goreng kesemua bahan bertanda * sehingga layu dan kisar halus.
Dengan menggunakan semula minyak untuk menggoreng bawang dan serai tadi, tumis sebentar cili kering kisar.
Masukkan bahan kisar, kacang tanah, air secukupnya, air asam jawa, gula melaka, garam dan lengkuas yang diketuk dan reneh menggunakan api kecil sehingga kacang mengeluarkan minyak.
Sentiasa kacau supaya tak hangus.
Akhir sekali, seimbangkan rasa dan tambah gula pasir sikit jikalau perlu.
Sedia dihidang!
Boleh rujuk kat link ni : resepi kuah sate.
Untuk penyediaan kuah kacang istimewa lebaran ni, sebahagian kacang tanah sangai tu Lyn kisar kasar supaya nampak biji-biji kacang pada kuah kacang tu.
Kalau anda suka kuah kacang yang halus teksturnya, boleh kisar kesemua kacang sampai halus.
Biasanya kalau kacang tanah yang digoreng menggunakan minyak, cara mengisar kacang tu instead of guna miller dorang pakai blender dan campur sikit dengan air.
Jadi macam pes kacang.
Cara macam ni pun boleh.
Kalau kuah kacang terlalu cair, boleh jugak kalau nak letak sikit tepung jagung untuk memekatkan kuah atau reneh je lebih lama sampai kuah jadi pekat seperti yang diingini.
Tapi Lyn tak pernah pulak letak tepung dalam kuah kacang.
Melainkan kalau Lyn buat kuah rojak kacang baru Lyn tambah tepung.
Kuah kacang untuk rojak ala rojak passembur tu cara masak sama je macam resepi kuah kacang yang Lyn kongsikan ni cuma takde serai dan lengkuas je, pastu kuah bagi cair sikit dan letak sikit tepung jagung.
Akhir kata...
Selamat Mencuba & Salam Aidilfitri!
0 comments :
Post a Comment