Kuah Sate Simple Tapi Sedap
Kuah sate atau bahasa lainnya ialah kuah kacang ialah antara salah satu signature dish dan menu wajib ada tatkala menyambut hari raya. Ianya kerana keistimewaan rasa kuah sate, yang kaya dengan rasa lemak kacang tanah, manis gula Melaka, pedas cili kering dan wangi dari serai dan lengkuas menjadikan kuah sate aka kuah kacang menu gandingan untuk dimakan bersama ketupat, lemang, nasi impit dan juga sate.
Ini kali ketiga saya membuat kuah sate. Pertama kali saya membuatnya ialah ketika menyambut Hari Raya Aidiladha yang kami sambut di rumah saya sendiri, tak balik kampung masa tu. Lagipun bonda saya pun datang untuk menginap di rumah kami. Saya ada rujuk resepi kuah sate di beberapa blog, tapi akhirnya saya ikut citarasa saya sendiri yang saya perbaiki mengikut selera.
Saya rasa antara kuah sate dan kuah kacang ada sedikit perbezaannya. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri memasak kuah kacang atau sambal kacang setiap kali musim lebaran tiba. Maklumlah, anak perempuan tunggal sorang, mesti lah kene expert jadi chef kat dapur sebab tiada siapa yang boleh diharapkan. Perbezaannya ialah kuah kacang selalunya diletakkan udang kering dan cara memasaknya ialah dengan menumis semua bahan kisar hingga pecah minyak, kemudian barulah dimasukkan kacang tanah yang dah dikisar. Berbeza dengan kuah sate yang tak diletakkan udang kering dan cara memasaknya pun lebih mudah, hanya perlu reneh kuah sate setelah dimasukkan kesemua bahan-bahannya sehingga pecah minyak, bahan kisarnya tak perlu ditumis terlebih dahulu.
Inilah sebabnya kenapa sekarang saya lagi suka buat kuah sate berbanding kuah kacang. Selain rasanya yang lebih mengancam, takde la kotor dapur saya sebab nak menumis bahan kisar tu kan, habis terpercik sana sini. Betul tak? 😂😂😂...Alahai..seksa nak mengemas dapur lepas memasak ni betul tak? Kihkih
Saya membuat kuah sate ni dengan bahan-bahan yang serba kekurangan. Kacang tanah pun saya pakai saki baki saja. Stok lengkuas pun takde, tapi walau macam mana pun, rasanya tetap sedap dan semakin dihangatkan semakin mesra dan sedap rasa kuah sate tu.
Saya letak ketulan ayam bahagian tulang saki baki dari daging ayam yang saya dah asingkan daging dan tulangnya. Sedap juga tau, tambah rasa ayam gitew!
Jom kita semak bahan-bahan dan cara membuat kuah sate simple mimple ni.
Kuah Sate Simple
Bahan-bahan:
1 cawan kacang tanah (sangai dan kisar halus)
20 tangkai cili kering (rebus dan kisar)
1 labu / 2 kalau kecil bawang besar *
3 ulas bawang putih *
2 batang serai *
sedikit lengkuas (ketuk)- saya tak letak
1 ketul kecil gula Melaka (kalau besar pakai 1/2)
gula pasir - jika perlu
garam
air asam jawa
tulang ayam - optional
Langkah Penyediaan:
- Sangai dan kisar halus kacang tanah. Ketepikan.
- Rebus cili kering sebentar dan kisar halus.
- Potong nipis dan goreng sebentar bahan bertanda *. Blender halus.
- Dengan menggunakan minyak gorengan bawang tadi, masukkan cili kisar diikuti dengan bahan kisar, kacang tanah,gula Melaka,garam,gula pasir (jika perlu), air asam jawa. Tambah air jika perlu. Masukkkan juga lengkuas yang dah diketuk. Reneh menggunakan api sederhana hingga pecah minyak.
- Masukkan ketulan tulang ayam dan masak hingga tulang ayam masak.
Memang sangat mudah kan penyediaannya?
Saya membuat kuah sate ni semalam untuk dimakan bersama nasi impit dan sate ayam. Kuah sate ni lebih sedap selepas dihangatkan. Kuah sate saya tu pucat sedikit warnanya kerana saya tak letak banyak cili kisar disebabkan cili kering yang saya beli jenis yang berkilat, jadi tak boleh letak banyak sangat nanti meledak pulak perut ni kan? 😅😅😅
Untuk resepi ni hasilnya tak berapa banyak, lebih kurang cukup untuk 5 ke 6 orang makan. Kalau keluarga anda besar boleh gandakan bahan-bahannya. Biasanya saya akan buat lebih kuah sate dan simpan ke dalam freezer. Bila nak makan tinggal panaskan saja. Kuah sate ni sedap juga kalau buat cicah cakoi. Saya kalau buat cakoi suka lawankan dengan kuah kacang atau kuah sate, tak berapa suka makan dengan kaya.
Selamat mencuba!
0 comments :
Post a Comment