Ayam Masak Kicap Pedas

Friday, 7 June 2019

Ayam Masak Kicap Pedas




Assalamualaikum....

Kali ni Lyn nak kongsikan satu lagi resepi yang Lyn sediakan untuk Hari Lebaran.
Biasanya setiap tahun untuk menu ayam kami akan masak ayam masak kicap.
Ayam masak kicap biasanya menggunakan rempah empat sekawan (cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga), ditumis bersama bawang besar, bawang putih dan halia, lepas tu bubuh kicap, cili potong dan sedikit serbuk lada sulah kalau suka.
Senang sangat!

Tapi kali ni ayam masak kicap Lyn ubahsuai sikit resepinya.
Lyn tak letak lada sulah atau cili potong, tapi Lyn pakai cili kering kisar.
Ketukkan sebatang serai untuk menambah bau harum ayam masak kicap ni.
Hari tu masa beli barang untuk masak-masak ni tiba-tiba teringat pulak iklan kicap pekat ABC tu.
Sebelum ni Lyn memang tak pernah pakai kicap pekat ABC dalam mana-mana masakan pun.
Cuma pakai kicap biasa kegemaran kami je iaitu kicap kipas udang yang warna merah tu.
Tapi untuk ayam masak kicap pedas kali ni, teringin pulak nak mencuba rasa kicap pekat ABC so Lyn pun beli lah.

Kenapa kita kena letak kicap pekat ni dalam masakan?
Kicap pekat akan membuatkan warna masakan kita menjadi lebih gelap dan menarik terutamanya untuk masakan seperti masak kicap, mee goreng dan mee hailam.
Rasa kicap pekat ni sama je dengan kicap biasa tu cuma teksturnya lebih likat je.

Untuk ayam masak kicap pedas ni Lyn cuma pakai setengah ekor ayam je sebab saiz ayam yang Lyn beli tu besar, saiz XXL agaknye kot 😅.
Mula-mula suruh la abang tu potong 12, bila balik nak siang ayam tu alih-alih besar sangat pulak saiz potongan ayam tu.
So, Lyn potong kecik-kecik supaya senang nak makan nanti.



Jom semak resepi.

Ayam Masak Kicap Pedas

Kategori Masakan : Masakan Melayu / Jawa
Saiz Hidangan : 5 - 6 orang

Untuk perapan ayam:

1/2 ekor ayam - potong kecil
serbuk kunyit secukupnya
1 sudu teh garam halus
1 ulas bawang putih - tumbuk halus
minyak yang banyak untuk menggoreng ayam


5 sudu besar cili kering kisar
1 1/2 biji bawang besar - hiris nipis
3 ulas bawang putih - cincang halus
2 cm halia - cincang halus
1 batang serai - ketuk
sedikit air
4 sudu besar kicap pekat ABC
8 sudu besar kicap manis
sedikit garam
1 tangkai bunga lawang
4 biji buah pelaga
4 biji cengkih
sedikit kulit kayu manis
minyak untuk menumis


Sebelum menyediakan ayam masak kicap pedas, ayam perlu dilumur dengan bahan perap dan goreng sehingga separuh masak atau 3/4 masak.  Jangan terlalu garing kerana nanti semua jus dalam daging ayam akan hilang dan ayam goreng menjadi keras dan kering.
Angkat dan toskan.

Untuk penyediaan masak kicap pedas:

Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bawang besar hiris, bawang putih cincang, halia cincang, bunga lawang, buah pelaga, cengkih dan kulit kayu manis. Tumis sebentar hingga naik bau.
Masukkan cili kering kisar dan tumis sampai garing dan pecah minyak.
Masukkan serai ketuk, sedikit air, kicap pekat ABC dan kicap manis.
Kemudian masukkan ayam yang dah digoreng dan gaul rata.
Biarkan sekejap supaya kuah kicap meresap ke dalam ayam dan akhir sekali letak sedikit garam jika perlu.
Sedia dihidang!


#NOTA#

Kalau nak letak cili besar potong pun boleh.  Masukkan sekali ketika masukkan ayam goreng.

Kalau suka boleh tambah kentang yang dah digoreng dulu ke dalam ayam masak kicap pedas ni.

Kalau nak goreng ayam guna air fryer pun boleh, in fact amat digalakkan sebab mengurangkan penggunaan minyak dan kalori dalam ayam masak kicap pedas ni.

Lyn suka sangat makan ayam masak kicap ni dengan nasi impit atau ketupat.
Sedap betul! Tak yah lauk lain dah...
Memang sesuai padanan nasi impit dengan ayam masak kicap pedas ni.
Lebih-lebih lagi kalau ada hati atau pedal ayam goreng campur sekali dalam ayam masak kicap pedas ni.
Lagi best!
Tapi biasanya pedal je yang menjadi rebutan ramai, hati ayam tu kesunyian je takde sapa yang berkenan.  Kesian...

Akhir kata...

Salam Aidilfitri & Selamat Mencuba!

0 comments :

Post a Comment