Menu Lunch Box 15 : Udang Pedas Berempah Dengan Kacang Buncis Tumis

Wednesday, 17 April 2019

Menu Lunch Box 15 : Udang Pedas Berempah Dengan Kacang Buncis Tumis



Assalamualaikum...

Menu lunch box lagi.

Selalu asyik masak ayam kali ni nak buat lauk untuk menu lunch box yang berasaskan makanan laut pulak lah.  Kalau makanan laut yang biasa Lyn sediakan untuk menu lunch box biasanya ikan, udang atau sotong.  Sebelum ni Lyn pernah kongsikan resepi sotong masak black pepper sebagai lauk untuk lunch box, (boleh rujuk kat sini sotong kicap black pepper), kali ni Lyn akan kongsikan menu lunch box yang menggunakan udang pulak.

Kalau sambal udang dah terlalu common untuk dimasak, apa kata cuba masak udang pedas berempah yang akan Lyn kongsikan resepinya sekejap lagi ya.  Jujur Lyn cakap, udang pedas berempah ni baru cubaan pertama kali.  Saja cuba resepi baru.  Letak tu sikit campur ni sikit akhirnya terhasillah menu udang pedas berempah yang meriah dengan rasa rempah, pedas dan manis ni.  Penyediannya pun tak lah susah sangat cuma bahan-bahan yang Lyn gunakan agak banyak berbanding kalau kita nak menyediakan sambal udang.

Udang Pedas Berempah

Bahan-bahan:

300 gram udang basah bersaiz besar (buang sesungut dan bahagian kepala yang tajam)
sedikit air
4 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1/2 sudu besar rempah kari ikan (campur air jadikan pes)
1/2 sudu besar gula
garam
minyak untuk menumis

Bahan A:

1/2 biji bawang besar (hiris nipis)
2 helai daun limau purut (buang urat tengahnya)
1 batang serai (ketuk)

Bahan B:

3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 cm halia
6 tangkai cili kering (rebus sebentar dan buang bijinya)

Cara Penyediaan:

  1. Kisar halus kesemua bahan B.
  2. Panaskan minyak dalam kuali.  Tumis bahan A hingga bawang agak layu dan masukkan bahan B dan tumis hingga agak garing.
  3. Kemudian masukkan pes rempah kari ikan dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air, sos tiram, kicap manis, sos cili, sos tomato dan gula.  
  5. Masukkan udang dan gaul rata dan masak hingga udang masak.  Jangan terlalu lama.
  6. Akhir sekali perasakan dengan garam.

Udang pedas berempah ni boleh dimakan untuk tiga orang.  Tapi kalau jenis yang suka meratah tu dua orang pun boleh belasah habis.  Hehe...Udang pedas berempah ni tahan lama dah tak cepat basi.  Walau macam mana pun jangan biarkan ianya seharian di suhu bilik tanpa dipanaskan.  Kalau tak habis makan, simpan dalam tupperware dan masukkan dalam peti sejuk.

Okay, so dah cerita bab udang.  Menu lunch box ni tak lengkap kalau cuma satu lauk je kan.  Jadi lauk yang kedua untuk lunch box ni ialah sayur kacang buncis tumis.  Lyn campurkan kacang buncis tumis ni dengan kobis putih dan lobak merah.  Goreng macam biasa je dan letakkan sedikit kiub pati ikan bilis sebagai penambah rasa.  Kalau yang pandai guna Maggi cukup rasa tu boleh jugak letak okay.



Selamat mencuba!


0 comments :

Post a Comment