Ikan Siakap Masam Manis Simple dan Sedap

Tuesday 19 March 2019

Ikan Siakap Masam Manis Simple dan Sedap



Ikan siakap..

Hari ni terasa ada mood nak berpantun kejap.  Kalau ada anak boleh la berjenaka dengan anak dengan berpantun sambil-sambil mengingatkan tentang pengajaran dan moral values yang tersirat di sebalik makna pantun tersebut. Teringat pulak pantun nasihat kanak-kanak yang selalu bergema di gegendang telinga.  Siapa yang tak kenal dengan pantun ni.  Semua orang pun tahu.  Pantunnya berbunyi begini:

"Siakap senohong gelama ikan duri,
bercakap bohong lama-lama mencuri."

Dulu masa Lyn kecik, Lyn tak kenal pun ikan siakap.  Bila pikir balik, kenapa agaknya pantun tu guna ikan siakap ye? Hehe...entah, tak terpikir pun jawapannya sampai sekarang. Tak kisah la kan ikan apa pun, mengkin jugak sebab nama ikan siakap tu glamour macam menu masakan-masakan yang menggunakan ikan siakap sebagai bahan utama.  Contohnya macam menu ikan siakap masam manis yang akan Lyn kongsikan sekejap lagi.  Kalau dulu, bila ada majlis kahwin je, untuk menu ikan masak masam manis atau lebih mudah orang panggil ikan sweet sour atau ikan masak tiga rasa ni selalunya oang pakai ikan bawal.  Tapi sekarang ikan siakap pulak yang lebih popular.  Mungkin sebab harganya lebih murah dan isi dagingnya pun lembut dan tak pukal.  Tak seperti ikan bawal.  kalau meratah bahagian dagingnya saja terasa pukal dan sedikit kering seperti meratah ayam bahagian isi tu.

3 jenis masakan je yang Lyn biasa masak kalau guna ikan siakap ni - siakap masam manis, siakap tiga rasa dan siakap kukus.  Siakap masam manis dan siakap tiga rasa ni tak jauh beza pun resepi dia.  Kalau nak buat siakap tiga rasa - iaitu rasa manis, masam dan pedas boleh tambah cili padi ketuk.  Itu aje..hehe..Lyn pernah kongsikan resepi tiga rasa sebelum ni.  Kalau nak tengok boleh klik kat sini (bawal tiga rasa).  Ikan siakap masam manis ni penggunaan sos memang banyak.  Kadang-kadang kalau makan ikan siakap masam manis di restoran especially kalau Chinese style mesti dorang letak cuka.  Lyn kurang suka letak cuka sebab terlalu masam dan baunya agak kuat.

Dulu masa majlis perkahwinan abang dan kakak ipar, bonda memang percaya dengan air tangan Lyn so menu hidangan utama pengantin dan rombongannya memang Lyn masak sendiri, dengan dibantu oleh kre-krew dapur Lyn yang setia..termasuklah ikan siakap masam manis ni.  Alhamdulillah, pihak rombongan pengantin berpuas hati dengan hasil air tangan kami.  Hehe...

Ikan siakap masam manis ni Lyn masak hari Ahad lepas, kebetulan Lyn beli ikan siakap ni saiznya agak besar, so masak seekor je dah cukup untuk kami berdua makan untuk lunch dan dinner.  Ikan siakap tu Lyn belah dua.  Tapi kalau family ramai, tak payah belah pun takpe kalau sekali makan boleh habis.  Untuk penyediaan kuahnya, Lyn tak letak pun capsicum, timun dan nenas sebab takde stok.  So, Lyn gantikan dengan epal hijau.  Bahan-bahan campuran untuk kuah masak masam manis ni terpulang ikut citarasa yang penting kuahnya mesti sedap ok.  Jom semak resepinya

Ikan Siakap Masam Manis Simple dan Sedap

Bahan marinade ikan siakap:

1 ekor ikan siakap 
1/2 cawan tepung jagung
1 sudu teh garam
minyak yang banyak untuk menggoreng

Cara Penyediaan:

Basuh bersih ikan siakap dan lap kering ikan siakap dengan kitchen paper.
Satukan tepung jagung dengan garam dah lumur keseluruhan bahagian ikan siakap dengan campuran tepung jagung hingga rata termasuklah bahagian dalam perut ikan siakap.
Goreng ikan siakap dengan minyak yang banyak dan api yang cukup panas untuk menghasilkan ikan yang rangup.
Angkat dan toskan.

Bahan kuah masak masam manis:

7 sudu besar cili kering kisar
10 sudu besar sos cili
5 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
1 biji bawang Holland (kalau besar pakai separuh je) - cincang
2 ulas bawang putih *
1 inci halia *
2 sudu besar gula
garam secukup rasa
1 cawan air
minyak untuk menumis

Bahan sayur:

2 biji epal hijau (buang kulit dan potong dadu)
1/4 batang lobak merah (potong dadu)
1 biji tomato (belah 6)
1/4 biji nenas (potong dadu) - tak letak
1/2 capsicum hijau (potong dadu) - tak letak
1/4 batang timun (potong dadu) - tak letak
1/2 capsicum merah/kuning (potong dadu) - tak letak

Cara Penyediaan:

Tumbuk halus bahan bertanda *.
Panaskan minyak, masukkan bawang Holland dan cili kering kisar dan tumis sebentar selama lebih kurang 1 ke 2 minit kemudian masukkan bahan tumbuk dan tumis hingga pecah minyak.
Masukkan air, sos cili, sos tiram dan sos tomato dan gula.  Reneh hingga mendidih.  Kemudian masukkan lobak merah dan reneh sebentar selama 1 minit.  
Kemudian, masukkan epal hijau (kalau ada capsicum, timun dan nenas masukkan sekali waktu ni) dan reneh hingga epal agak lembut.  Jangan terlalu lama supaya bahan sayur tak lembik.
Akhir sekali baru masukkan tomato dan perasakan garamnya.

Cara Menghidang:

Letakkan ikan siakap goreng atas pinggan bujur dan siramkan kuah di atasnya.
Kalau suka boleh letak salad, hirisan tomato dan timun di atas pinggan sebelum diletak ikan di atasnya.
Boleh tabur dengan hirisan daun bawang dan daun sup.



#NOTA#

Kalau cili kering kisar jenis yang pedas boleh kurangkan sukatan cili kering kisar menjadi 5 sudu besar saja.  Seeloknya buang biji cili kering kisar tu supaya kuah masam manis nampak bersih.

Kuah masam manis yang baik ialah kuah yang tak terlalu pekat dan cair dan bila disiram atas ikan siakap kuahnya melimpah ke tepi.  So, kalau agak-agak sukatan air tak cukup boleh tambah lagi yea.

Gula boleh sesuaikan ikut citarasa.  Kalau suka yang lebih manis boleh tambah sukatan gula.


0 comments :

Post a Comment