Ramadhan Day 2 : Ayam Masak Black Pepper Berkuah

Sunday, 9 March 2025

Ramadhan Day 2 : Ayam Masak Black Pepper Berkuah


 



Salam Ramadhan...

Resepi untuk hari kedua ramadhan ni simple sahaja, iaitu ayam masak black pepper versi berkuah yang cukup menyelerakan.  Ayam masak black pepper ini antara menu kegemaran kami sekeluarga, cara masakannya juga ringkas, masak satu jenis lauk ini sahaja pun dah cukup sebab dalam lauk black pepper ni kita dah tambahkan sayur-sayuran.  Menu yang sesuai bagi anda yang kesuntukan masa untuk menyediakan menu buka puasa ataupun sahur.

Ayam masak black pepper ini saya masak sebagai lauk sampingan untuk nasi goreng jagung.  Selain nasi goreng, lauk ini sesuai juga dinikmati bersama nasi putih.  Kalau nak lebih authentic Chinese style, boleh letak kicap cair sedikit.  Saya dah lama tak simpan stok kicap cair, sejak kicap cair jenama Yeos dah tak nampak bayang lagi di pasaraya, jadi saya cuma gunakan kicap manis sahaja untuk membuat ayam black pepper ni.  Walaupun begitu, rasanya tetap sedap.  Lagi satu, kalau ada capsicum dan lada benggala merah dan kuning bolehlah ditambah ke dalam ayam black pepper ini.  Lada benggala dan capsicum bukan hanya menambah warna pada lauk ini, tetapi rasanya akan membuatkan kuah ayam black pepper ini makin sedap ya.  Saya lupa nak beli, jadi saya hanya gunakan sayuran yang ada di rumah sahaja.


Tonton Video di Sini :



Ayam black pepper ni warnanya gelap macam ayam masak kicap tapi rasanya berbeza.  Sebaiknya gunakan biji lada hitam yang ditumbuk supaya rasa lada hitamnya lebih ketara.  Kalau anda suka pedas, lebihkan sahaja lada hitamnya.

Selamat mencuba!



Ayam Masak Black Pepper Berkuah






Kategori : Lauk Pauk, Menu Sahur

Masa Penyediaan : 10 minit

Masa Memasak : 15 minit

Jumlah Hidangan : 4 orang


Bahan Perapan Ayam :

500 gm isi ayam potong kecil (saya guna bahagian ayam bertulang)

1 sudu teh garam

1 sudu teh lada hitam tumbuk kasar

1/2 sudu besar sos tiram

1/2 sudu besar kicap manis

1 sudu besar tepung jagung


Campuran Sos :

1 sudu besar sos tiram

5-7 sudu besar kicap manis

1 cawan air

1 sudu besar tepung jagung


Bahan Tumis :

3-4 sudu besar minyak masak

3-4 ulas bawang putih (tumbuk halus/cincang)

1/3 batang lobak merah

1/2 kiub pati ayam

1 cawan kobis bunga (potong kecil)

7-8 biji kacang peas manis

1 cawan brokoli (potong kecil)

1/2 biji bawang Holland (hiris)

1-1.5 sudu besar lada hitam tumbuk kasar

Cili padi merah dan hijau

1 biji tomato (belah 6)

Sedikit garam jika perlu



Cara Penyediaan :

  1. Gaul ayam yang dipotong kecil bersama bahan perapan.  Biarkan seketika sementara kita siapkan bahan lain.
  2. Campur bersama bahan untuk sos. Kacau sebati dan ketepikan.
  3. Panaskan minyak masak dalam kuali.
  4. Setelah minyak panas, goreng sebentar ayam sehingga permukaan ayam berwarna keputihan, tidak perlu lama.  Tolak ayam ketepi kuali.
  5. Tumis bawang putih sehingga harum dan sedikit keperangan, gaul sekali bersama ayam.
  6. Masukkan lobak merah dan kiub pati ayam, tumis sebentar sehingga lobak agak lembut.
  7. Masukkan kobis bunga, kacang peas, brokoli dan bawang Holland, tumis sebentar dalam 1-2 minit.
  8. Masukkan sos campuran dan serbuk lada hitam. Reneh sehingga mendidih.
  9. Masukkan cili padi, tomato dan tambah sedikit garam jika perlu.  Kacau sebentar.
  10. Siap untuk dihidangkan.


0 comments :

Post a Comment