Nasi Ayam Panggang Madu

Sunday 13 August 2023

Nasi Ayam Panggang Madu




Nasi ayam merupakan salah satu menu yang sangat popular terutamanya di Malaysia, Thailand dan Singapura.  Menu yang diinspirasi dari nasi ayam Hainan, salah satu menu yang berasal dari China selatan, kini menu nasi ayam telah diperlbagaikan untuk mencipta variasi untuk memenuhi citarasa para peminat nasi ayam.

Resepi nasi ayam yang saya akan kongsikan kali ini saya adaptasi dari nasi ayam Hainan, yang menggunakan beras wangi untuk mendapatkan tekstur nasi yang lembut dan lebih harum, cuma ada sedikit perbezaan dari cara pembuatannya.  Tidak seperti kebiasaannya, saya tidak menggunakan lemak ayam untuk memasak nasinya.  Tetapi rasanya tetap enak dan cukup rasa.




Untuk ayamnya pula diperap dengan bahan perapan yang terdiri dari pes halia bawang putih, sos tiram, kicap dan lada hitam sebelum dioles dengan madu sebelum dipanggang.  Kulitnya garing sementara dalamnya lembut, berjus dan cukup rasa.


Tonton Video Tutorial di Sini :




Komponen nasi ayam panggang madu ini terdiri dari :

  • Nasi ayam
  • Ayam panggang madu
  • Sos cili
  • Sos kicap
  • Sup
  • Bahan sampingan seperti salad, timun, tomato, hirisan daun sup dan daun bawang dan bawang goreng

Nampak macam banyak saja komponen nasi ayam ini kan? Ikuti saja langkah demi langkah cara untuk menyediakan nasi ayam panggang madu ini untuk mendapatkan rasa nasi ayam yang setanding dengan rasa nasi ayam di restoran.

Selamat mencuba!




Nasi Ayam Panggang Madu









Kategori : Nasi, Chinese Cuisine
Masa Penyediaan : 30 minit
Masa Perapan : 30-60 minit
Masa Memasak : 1 jam
Saiz Hidangan : 5 ke 6 orang




BAHAN-BAHAN




Stok Ayam :


3500 ml air | 14 cawan
3.5 ketul kiub pati ayam (saya pakai Knorr)
8-10 tangkai daun bawang bahagian putihnya
2 inci halia (hiris nipis)
5-6 ketul peha ayam penuh dengan kulitnya (whole leg)



Pes Halia Bawang Putih :


90 gm halia (6 inci)
30 gm bawang putih (4-5 ketul)
3/4 cawan stok ayam
1/4 cawan minyak jagung/minyak masak untuk menumis



Perapan Ayam :


Peha ayam penuh yang direbus
 3 sudu besar pes halia bawang putih
3 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap cair
1/2 sudu besar minyak bijan
Sedikit garam
Serbuk lada hitam secukupnya



Olesan Madu :


2 sudu besar madu
1 sudu besar minyak zaitun/minyak masak



Nasi Ayam :


3 cawan beras wangi
3 & 1/3 cawan stok ayam
3-4 sudu besar pes halia bawang putih
3/4 sudu besar garam atau secukupnya
Sedikit pewarna kuning (optional)
1 sudu besar penuh mentega/marjerin
2 helai daun pandan (simpul)
Minyak bijan secukupnya



Sos Cili :


8 tangkai cili merah
Jus dari 4 biji limau kasturi
3/4 cawan stok ayam
1 sudu teh penuh pes halia bawang putih
Garam secukupnya
Gula secukupnya



Sos Kicap :


Baki perapan ayam
1 cawan stok ayam
1-2 sudu besar kicap manis
Air bancuhan tepung jagung (campur 2 sudu teh tepung jagung dengan sedikit stok ayam)



Sup :


Baki stok ayam
1 beg sup bunjut
1/4 batang lobak putih (hiris nipis)
Serbuk lada hitam secukupnya
Baki pes halia bawang putih
Garam secukupnya



Hidangan Sampingan :


Hirisan timun
Hirisan tomato
Salad
Hirisan daun sup & daun bawang
Bawang goreng





CARA MEMBUAT




Stok Ayam :


  1. Didihkan air di dalam periuk.
  2. Masukkan kiub pati ayam, hirisan halia, ketulan ayam dan daun bawang.
  3. Reneh dengan api sederhana rendah selama 20 minit.
  4. Selepas 20 minit, keluarkan ayam.
  5. Buang lapisan lemak/minyak yang ada pada permukaan stok.















Pes Halia Bawang Putih :


  1. Kisar halus halia, bawang putih bersama stok ayam.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis pes halia bawang putih sehingga garing dan pecah minyak.















Perapan Ayam :


  1. Gaulkan ayam bersama kicap manis, kicap cair, pes halia bawang putih, sos tiram, minyak bijan, sedikti garam dan serbuk lada hitam secukupnya.
  2. Tutup mangkuk dan perap sekurang-kurangnya 30 minit pada suhu ruang, atau sehingga semalaman dalam peti sejuk.





Nasi Ayam :


  1. Masukkan beras wangi yang telah dicuci bersih dan ditoskan ke dalam periuk nasi.
  2. Masukkan stok ayam, garam, sedikit pewarna kuning jika suka dan pes halia bawang putih.  Kacau sebati menggunakan senduk/spatula sehingga tiada pes yang berketul.
  3. Masukkan daun pandan yang disimpul dan marjerin/mentega.
  4. Masak nasi seperti biasa.
  5. Setelah nasi masak, tutup suis dan diamkan nasi seketika, dalam 5-10 minit.  Buka penutup periuk nasi dan gemburkan nasi dengan perlahan supaya nasi tidak patah.  
  6. Titiskan sedikit minyak bijan, gemburkan lagi nasi supaya minyak meresap ke dalam nasi dan tutup semula penutup periuk nasi sehingga siap untuk dihidangkan.
















Ayam Panggang Madu :


  1. Panaskan ketuhar pada suhu 210℃ (dengan kipas) atau 220℃ (tanpa kipas).
  2. Spray loyang pemanggang atau redai keluli tahan karat (stainless steel) yang dialas dengan loyang pembakar di bawahnya dengan cooking spray atau oles dengan minyak supaya tidak melekat.
  3. Susunkan ayam yang telah diperap di atas loyang pemanggang/ redai tadi (bahagian berkulit di atas ya).
  4. Untuk olesan madu, campur bersama madu dengan minyak zaitun/minyak masak.
  5. Oles merata campuran madu pada permukaan ayam.
  6. Panggang selama 20 minit, api atas bawah.
  7. Selepas 20 minit, keluarkan dari ketuhar dan terbalikkan ayam.
  8. Oles permukaan ayam dengan campuran madu.
  9. Panggang semula selama 15-20 minit atau sehingga jus yang keluar dari ayam berwarna jernih.
  10. Terbalikkan ayam sekali lagi (bahagian berkulit di atas ya), oles lagi dengan campuran madu.
  11. Panggang sebentar dalam 5 minit pada rak atas untuk garingkan kulit ayam.















Sos Cili :


  1. Kisar bersama cili merah yang telah dipotong pendek (kalau tak mahu pedas, belah dua cili secara memanjang kemudian buang bijinya) dengan jus limau kasturi dan stok ayam.
  2. Tuang ke dalam periuk, campurkan pes halia bawang putih dan perasakan dengan gula dan garam secukupnya.
  3. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih.















Sos Kicap :


  1. Masukkan baki perapan ayam, stok ayam dan kicap manis ke dalam periuk.
  2. Reneh dengan api sederhana sehingga mendidih.
  3. Tambah air bancuhan tepung jagung, kacau sebentar kemudian padamkan api.















Sup :


  1. Panaskan semula baki stok ayam, masukkan sup bunjut, hirisan lobak putih, baki pes halia bawang putih dan serbuk lada hitam secukupnya.
  2. Reneh sehingga mendidih dan lobak lembut.
  3. Perasakan dengan garam dan kacau sebati.  Padamkan api.
















Cara Menghidang Nasi Ayam Panggang Madu :


  1. Tekapkan semangkuk nasi ayam di dalam pinggan.  Hias dengan hirisan timun dan tomato dan salad. Letakkan seketul ayam di atas salad.
  2.   Sendukkan sup ke dalam mangkuk kecil, taburkan hirisan daun sup dan daun bawang dan bawang goreng.  
  3. Sudukan sos cili dan sos kicap dalam bekas kecil.
  4. Siap untuk dihidangkan.








0 comments :

Post a Comment