Ikan Siakap Tiga Rasa Simple

Monday 7 August 2023

Ikan Siakap Tiga Rasa Simple




Salah satu menu kegemaran setiap kali makan bersama keluarga di restoran sudah pastinya ikan siakap masak tiga rasa ini.  Resepi ikan siakap masak tiga rasa ini agak berbeza dengan ikan siakap masak masam manis walaupun penggunaan bahannya tidak jauh beza.  Ikan siakap masak tiga rasa ini menggunakan cili padi, selain dari penggunaan cili kering kisar untuk membuat kuah tiga rasanya.


Untuk menyediakan ikan siakap tiga rasa ini, ikan siakap yang telah dicuci bersih perlu dilap kering menggunakan tisu dapur.  Kalau nak lebih garing, kelar sedikit bahagian isi ikan siakap supaya rasa kuahnya lebih meresap ke dalam isi ikan.  Ikan siakap tadi boleh dilumur garam, serbuk kunyit dan tepung jagung sebelum digoreng di dalam minyak yang banyak sehingga permukaannya garing.





Sementara untuk kuah tiga rasanya pula, bahan tumis ditumis sehingga harum, kemudian tambahkan sos dan bahan perasa dan akhir sekali tambahkan bahan sayuran.  Rasa kuah tiga rasa ini, seperti namanya, terdiri dari tiga rasa utama - masam, manis dan pedas. Untuk membuat versi yang ala-ala restoran Thai, boleh tambahkan sedikit sos ikan atau sos sotong, daun limau purut dan jus limau.  Untuk hiasannya pula, boleh taburkan hirisan daun ketumbar untuk rasa yang lebih harum.  Saya kurang suka bau daun ketumbar, jadi saya gantikan dengan hirisan daun sup.



Tonton Video di Sini untuk Tutorial Lengkap :





Ikan siakap tiga rasa ini memang sedap bukan sahaja sebagai lauk utama yang dimakan bersama nasi putih dan lauk sampingan yang lain, tetapi juga sedap kalau diratah begitu sahaja.  Cukup mengenyangkan apatah lagi dengan pelbagai sayuran seperti nenas, timun dan lobak merah yang bukan sahaja menambah rasa, tetapi juga menambah tekstur dalam menu ini.


Peminat ikan siakap tiga rasa ini bolehlah cuba sediakan sendiri di rumah.  Bukan sahaja rasanya enak, tetapi boleh menjimatkan kos.  Lepas ni, bolehlah tambat hati Mr Hubby dan anak-anak dengan sediakan sendiri ikan siakap tiga rasa ini di rumah ya.


Selamat mencuba!



Ikan Siakap Tiga Rasa 






Kategori : Lauk Pauk

Masa Penyediaan : 15 minit

Masa Memasak : 15 minit

Saiz Hidangan : 3-4 orang




BAHAN-BAHAN



Ikan Siakap :


1 ekor ikan siakap sederhana besar

1 & 1/4 sudu teh garam

1 sudu teh serbuk kunyit

2 ke 2 .5 sudu besar tepung jagung

Minyak masak untuk menggoreng



Kuah Tiga Rasa :


Anggaran 1/4 cawan minyak dari menggoreng ikan/minyak masak untuk menumis

2 batang serai (ketuk)

1 biji bawang besar (didadu)

2-3 ulas bawang putih (cincang halus)

1 inci halia (cincang halus)

4 sudu besar pes cili kering/ cili kering kisar

Anggaran 1.5 cawan air

7-8 sudu besar sos cili

4 sudu besar sos tomato

2 sudu besar sos tiram

1/4 batang lobak merah (didadu)

1/3 - 1/2 biji nenas (potong kecil)

1/2 batang timun (buang biji) (didadu)

2 biji tomato (buang biji) (potong kecil)

5 helai daun limau purut (buang urat tengah)

1/2 biji bawang Holland (didadu kasar)

2 sudu besar sos ikan

1 sudu besar jus limau nipis

2 sudu besar gula pasir

8-10 tangkai cili padi Siam (potong kecil)

Garam secukupnya




CARA MEMBUAT



Ikan Siakap :


  1. Cuci bersih ikan siakap yang telah dikelar sedikit di kedua belah badannya dan lap kering dengan menggunakan tisu dapur.
  2. Lumur ikan dengan garam, serbuk kunyit dan tepung jagung.
  3. Panaskan minyak masak yang banyak untuk menggoreng dengan api sederhana besar.
  4. Goreng ikan dengan api sederhana ke sederhana besar. Goreng sehingga kedua-dua belah berwarna keemasan dan agak garing.
  5. Angkat dan letak di atas kertas tisu untuk toskan minyak yang berlebihan.





Kuah Tiga Rasa :



  1. Tinggalkan dalam 1/4 cawan minyak dari menggoreng ikan tadi di dalam kuali.  Panaskan minyak.
  2. Tumis serai dengan api sederhana selama beberapa saat, kemudian masukkan bawang besar yang didadu, bawang putih cincang dan halia cincang.  Tumis sehingga bawang layu dan naik bau.
  3. Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan air, diikuti dengan sos tiram, sos cili dan sos tomato.  Kacau sebati dan biarkan kuah mendidih.
  5. Masukkan lobak merah yang didadu dan masak 1 ke 2 minit, sehingga lobak agak lembut.
  6. Masukkan nenas, timun, bawang Holland, tomato, daun limau purut dan cili padi. Kacau sebati. Jika kuah terlalu pekat boleh tambah sedikit air lagi.
  7. Perasakan dengan gula, sos ikan, jus limau nipis dan garam.  Masak sebentar sahaja supaya sayuran tidak lembik.





Menghidang Ikan Siakap Tiga Rasa :



  1. Susun daun salad di dalam pinggan yang besar (agak-agak muat untuk ikan siakap).
  2. Letakkan ikan siakap goreng tadi.
  3. Tuangkan kuah tiga rasa di atas ikan.
  4. Tabur hirisan daun sup dan daun bawang atau hirisan daun ketumbar.
  5. Sedia untuk dihidangkan!




0 comments :

Post a Comment