Sayur Lodeh Lebaran

Friday, 7 June 2019

Sayur Lodeh Lebaran




Assalamualaikum....

Alhamdulillah...akhirnya jari jemari ni berkesempatan jugak nak siapkan entry ni ;
SAYUR LODEH LEBARAN..

Sayur lodeh ni merupakan salah satu menu terkenal di kalangan masyarakat Jawa yang mana pelbagai jenis sayur-sayuran di campur dengan suhun dan tauhu kering direneh dalam kuah santan.
Sayur lodeh jugak dikenali sebagai masak lemak lodeh atau lodeh saja pun sudah memadai dan difahami secara universal.

Sayur lodeh ni memang merupakan menu wajib untuk kebanyakan masyarakat Melayu dan Jawa bila tiba musim lebaran.
Ianya sangat cocok dipadankan dengan nasi impit, kuah kacang dan jugak rendang.
Sayur lodeh jugak terkenal kerana menjadi kuah dalam menu yang dipanggil sebagai "lontong."
Lontong ni ada dua jenis - lontong biasa yang berkuah dan lontong darat.
Lontong berkuah biasanya dimakan bersama kuah lodeh ni.

Sayur lodeh ni kegemaran hubby Lyn.
Selalunya tiap-tiap kali raya, kalau kat rumah kami sayur lodeh ni yang suka makan cuma Lyn dan bonda je.
Yang lain suka makan rendang, ayam dan sambal kacang je.
Tapi sekarang tidak lagi sebab peminat nombor satu sayur lodeh kat rumah kami sekarang ialah hubby Lyn.
Tak sangka pulak hubby sangat suka makan sayur lodeh sebab keluarga mertua Lyn semua tak biasa makan masak lemak macam sayur lodeh ni.
Tapi memang tak hairan la sebab sejak zaman sekolah hubby Lyn dah biasa bercampur dengan orang Melayu dan dah biasa makan makanan orang Melayu.

Apa yang bestnya sayur lodeh ni kite boleh campak je macam-macam sayur kat dalam tu, yang penting suhun dan tauhu kering kena ada.
Ada orang masak sayur lodeh menggunakan udang kering, tapi Lyn biasanya akan letak ikan bilis dan jugak IKAN BILIS HITAM.
Ni la secret recipe sayur lodeh turun temurun kami tau.
Resepi bonda Lyn sejak dulu lagi.
Kalau nak tau, disebabkan ikan bilis hitam ni la sayur lodeh ni rasanya lemak dan sedap.

Kata bonda, orang dulu-dulu kalau masak sayur lodeh ni cuma letak tiga bahan je - kentang, suhun dan tauhu kering.  Tu je...
Lepas tu bubuh la santan dan bahan-bahan kisar macam biasa.
Sekarang ni je bila masak sayur lodeh dah pandai letak pelbagai jenis sayur-sayuran untuk memeriahkan lagi kuah lodeh tu.
Bagus jugak letak banyak sayur, untuk balance kan balik lauk pauk ketupat yang lain seperti rendang, sambal kacang dan ayam yang takde fiber tu kan.



Cara memasak sayur lodeh ni ada dua cara - tumis dahulu bahan kisar atau rebus je tanpa minyak.
Biasanya Lyn akan rebus saja semua bahan ni kemudian baru masukkan santan.
Kurang sikit penggunaan minyak kan...

Jom kita intai-intai resepi sayur lodeh resepi bonda Lyn ni dulu.

Sayur Lodeh Lebaran

Bahan kisar:

1 biji bawang besar
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
segenggam kecil ikan bilis
3 inci kunyit
12 biji cili padi

Bahan lain:

Sebatang terung - potong kecil
1 batang lobak merah - hiris memanjang
1 atau 1/2 biji sengkuang  - hiris memanjang
2 biji kentang - potong kecil
10 batang kacang panjang - potong serong
1 keping tauhu kering - rendam sebentar hingga lembut dan potong kecil
segenggam suhun - rendam hingga lembut
1 batang serai - ketuk
1 1/2 liter air 
2 kotak kecil santan  - Lyn pakai KARA
garam secukupnya
sedikit gula
15 ekor ikan bilis hitam
1/4 kobis putih - potong kecil
2 keping tempe - potong kecil dan goreng sekejap
2 keping tauhu - potong kecil dan goreng sekejap

Kisar halus kesemua bahan kisar.
Didihkan air dalam periuk.  Kemudian masukkan bahan kisar, serai, ikan bilis hitam, kentang, tauhu goreng, tempe goreng, tauhu kering, sengkuang dan lobak merah.
Reneh hingga sayur agak lembut kemudian masukkan kesemua sayur-sayuran lain seperti terung, kobis, kacang panjang dan suhun.
Tuangkan santan dan perasakan garam dan gula.
Siap!


Mudah je nak buat sayur lodeh ni.
Air jangan letak banyak sangat takut kuah sayur lodeh ni akan cair.
Kalau suka boleh letak udang putih dan cendawan butang dalam tin.

Selamat Mencuba!

0 comments :

Post a Comment