Nasi Ayam Kukus Hainanese Style

Wednesday 12 June 2019

Nasi Ayam Kukus Hainanese Style




Assalamualaikum....

Musim-musim raya ni mesti sibuk dengan rumah terbuka kan?
Bagi yang merancang nak buat rumah terbuka pada minggu kedua raya ni dah plan ke nak sediakan juadah apa untuk para tetamu nanti?
Kalau belum ada, mungkin boleh cuba sediakan nasi ayam kukus ala-ala Hainanese style yang mudah dan sedap ni.
Lepas ni tak yah lagi nak makan kat The Chicken Rice Shop tu.
Buat je sendiri di rumah lebih jimat kos.

Sebenarnya Lyn ni memang peminat nasi ayam sejak kecik lagi.
Asal makan kat kedai makan je kalau ada nasi ayam mesti Lyn akan order nasi ayam, takde order bende lain dah.
Disebabkan suka sangat makan nasi ayam bonda pun belikan lah Lyn buku resepi masakan yang ada resepi nasi ayam kukus dari penulis resepi masakan yang terkenal.
Menurut resepi beliau, cara penyediaan nasi ayam kukus ni ialah dengan mengambil stok dari ayam yang dikukus untuk memasak nasi.
Cara ni boleh digunakan tapi ayam mestilah dibuang bahagian kulit dan lemaknya kalau tak stok ayam yang terhasil dari kukusan ayam tu ialah lemak-lemak ayam yang cair bila dikukus.


Untuk resepi nasi ayam kukus kali ni, Lyn menggunakan ayam bahagian isi, lebihan dari ayam masak kicap pedas yang Lyn sediakan sempena lebaran tempoh hari.
Resepi yang Lyn gunakan ialah olahan Lyn sendiri selepas beberapa kali episod cuba dan jaya.
Selalunya bila masak nasi ayam Lyn akan buat nasi ayam yang mana ayamnya Lyn goreng atau panggang dengan sedikit minyak menggunakan double sided pan.
Kali ni saja nak mencuba membuat nasi ayam yang ayamnya Lyn kukus.

Untuk penyediaan nasi ayam, Lyn tak menggunakan mentega atau marjerin untuk memasak nasi sebab kami kurang gemar nasi ayam yang rasa mentega.
Kadang-kadang kalau beli nasi ayam di gerai, rasa mentega terlalu kuat sebab mereka letak banyak mentega dalam nasi ayam tu.
Lyn lebih suka menggunakan minyak jagung atau minyak masak biasa pun boleh kalau minyak jagung takde.
Beras wangi ialah beras yang terbaik kalau nak masak nasi ayam ni sebenarnya.
Tapi kalau dah takde beras wangi pakai je beras biasa pun boleh cuma daun pandan kena letak supaya nasi ayam berbau wangi je dan ada aroma ala-ala beras wangi.
Kami berdua di rumah ni suka makan beras wangi tapi tak boleh makan sebab bila makan nasi beras wangi ni je perut jadi kembung.
Beras wangi ni kandungan kanjinya lebih tinggi dari beras biasa ,jadi bagi kami yang perut agak sensitif ni alah sikit dengan makanan yang berkanji tinggi.
So, sudahnya masak je nasi ayam pakai beras biasa.


Ikuti langkah demi langkah untuk menyediakan nasi ayam kukus Hainanese Style ni mengikut turutan seperti yang Lyn senaraikan di bawah ni yea.
Kena sediakan pes halia dan stok ayam dulu sebelum sediakan bahan lain sebab dua bahan ni adalah bahan utama yang akan kita gunakan untuk sediakan nasi ayam, ayam kukus, sup dan sambal nasi ayam.

Jom kita semak resepi nasi ayam kukus yang mudah ni.

Nasi Ayam Kukus Hainanese Style

Kategori Masakan : Masakan Cina/ Melayu
Saiz Hidangan : 4 ke 5 orang

Untuk Pes Halia:

Halia sebesar tapak tangan / 6-7 inci halia
Sedikit air
2 ulas bawang putih - ketuk
Minyak masak/minyak jagung secukupnya

Kisar halus halia bersama sedikit air.
Panaskan minyak dalam kuali non-stick, tumis sebentar bawang putih hingga keperangan dan masukkan halia kisar.
Tumis hingga garing dan pecah minyak.
Baki pes halia boleh campurkan sedikit garam halus untuk dijadikan bahan sampingan sewaktu menghidang nasi ayam kukus nanti.

Pes halia yang sedang digoreng
Baki pes halia yang dicampur garam buat hidangan


Untuk Stok Ayam:

2 liter air
2 ketul kiub ayam

Didihkan air bersama kiub ayam hingga kiub ayam larut.

Untuk Ayam Kukus:

1/2 ekor ayam  - kalau suka boleh potong kecil
3 sudu besar pes halia
3 ulas bawang putih - tumbuk halus
4 sudu besar kicap cair
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
1 sudu teh garam halus
1 batang serai - ketuk

Perap ayam bersama kesemua bahan sekurang-kurangnya 15 minit.
Panaskan kukusan dan kukus ayam selama 30 minit atau sehingga ayam masak dengan api sederhana.
Simpan kuah kukusan ayam untuk dihidang dan disiram atas ayam dan taugeh/sawi Jepun sewaktu menghidang nanti.

Ayam yang dah siap diperap sebelum dikukus


Untuk Nasi Ayam:

2 cawan beras
2 helai daun pandan
1/2 sudu besar garam halus
3 cawan stok ayam
3 sudu besar pes halia

Basuh bersih beras dan campurkan kesemua bahan dan masak nasi seperti biasa.




Untuk Sambal Nasi Ayam:

3 batang cili merah
10 batang cili padi
stok ayam secukupnya
gula secukupnya
air limau / air asam jawa
1 sudu kecil pes halia

Campurkan kesemua bahan dan kisar halus.
Reneh sebentar sehingga sambal mendidih.


Untuk Sup Nasi Ayam:

Lebihan stok ayam
garam secukup rasa
1/4 sudu teh lada hitam tumbuk
1/2 sudu besar rempah sup
hirisan daun sup dan daun bawang
Bawang goreng

Didihkan semula baki stok ayam. 
Tambah lagi air dan kiub ayam jika perlu.
Tambahkan lada hitam tumbuk dan rempah sup.
Tabur sedikit hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng



Bahan Sampingan:

Hirisan timun
Hirisan tomato
Salad
Taugeh/sawi Jepun - celur sebentar


Cara Menghidang Nasi Ayam Kukus Hainanese Style (Individual Serving):

Cetak semangkuk nasi ayam ke atas pinggan yang agak lebar.
Ketuk ayam menggunakan chopping knife dan potong kecil.  Letak bersebelahan dengan nasi.  Siram ayam dengan kicap kukusan ayam.
Cedok sambal nasi ayam dan sup ke dalam mangkuk kecil cukup untuk seorang makan.
Letakkan sedikit pes halia yang dah dicampur garam di tepi ayam.
Hiaskan bahagian tepi pinggan nasi ayam dengan hirisan timun,tomato dan salad.
Kalau ada taugeh/ sawi Jepun, letak dalam pinggan lain dan curahkan kicap kukusan ayam dan tabur sedikit bawang goreng dan daun bawang.



#NOTA#

Untuk resepi sambal nasi ayam kali ni, disebabkan Lyn kekurangan stok cili merah, jadi Lyn campurkan dengan cili padi hijau sedikit.  Tapi tak sangka pulak sambal yang dicampur dengan cili padi hijau rasanya lebih sedap.  Hati-hati sebab sambal yang dicampur cili padi ni akan jadi lebih pedas.  Jadi kena pandai-pandai adjust air asam Jawa, gula dan garam untuk seimbangkan rasa.

Bila memasak nasi ayam kukus menggunakan beras biasa, air kena kurangkan sedikit sukatan berbanding kalau memasak nasi putih sebab minyak yang ada dalam pes halia akan melembutkan nasi nanti.

Kiub ayam sebenarnya berlemak jugak.  Cara nak buang lemak tu ialah lepas didihkan kiub ayam dengan air sejukkan dulu.
Lepas dah sejuk lemak pada kiub ayam tadi akan terapung di permukaan stok.
Buang menggunakan senduk.
Kemudian baru digunakan untuk sediakan nasi, sup dan sambal nasi ayam.

Untuk nasi ayam kukus ni, bawang goreng pun Lyn sediakan sendiri.
Lebih sedap dan segar dari ladang. 😉
Kalau nak tengok camne Lyn buat bawang goreng homemade yang rangup dan sedap ni boleh tengok kat link ni : Bawang Goreng.

Akhir kata...rugi kalau tak cuba buat nasi ayam kukus Hainanese style ni.
Walaupun nampak stepnya agak banyak untuk menyediakan nasi ayam kukus ni, tapi sebenarnya penyediaanya sangat mudah dan tak mengambil masa yang lama pun untuk disediakan.
Nasi ayam kukus ni Lyn buat supaya rasanya ala-ala nasi ayam Hainan tu terutamanya bahagian nasi ayam tu.
Confirm lepas ni dah tak yah susah-susah nak cari nasi ayam kukus yang sedap..buat saja sendiri untuk yang tersayang.  Hehe...


Selamat Mencuba!





0 comments :

Post a Comment