Biskut Jejari Coklat

Saturday, 1 June 2019

Biskut Jejari Coklat




Assalamualaikum...

Hari ni nak siapkan entry-entry biskut raya dulu.
Tahun ni entah kenapa la mood nak membaking biskut agak sendu.
Tak bersemangat seperti tahun-tahun yang sudah.
Tahun ni jugaklah paling sikit Lyn beli barang buat cookies.
Cuma habiskan bahan-bahan yang ada kat rumah je selain menyiapkan tempahan biskut raya.
Tahun ni Lyn ambik order pun tak banyak.
Selalunya tahun-tahun lepas yang mana order agak banyak Lyn akan recruit bonda untuk tolong-tolong sikit.
Bab tolong bakar hubby Lyn pakar.
Hehe...boleh la kan, kalau orang laki ni yang tangan tak bape nak lembut sangat bila buat kerja-kerja membuat cookies ni mana boleh bagi tugas untuk bentukkan cookies, silap haribulan kalau cookies yang gentel-gentel tu kejap lagi ada yang terkecik ada pulak yang tergedabak.  Haih!
Kite cuma mampu tengok je la kan rupe cookies yang kecik beso tu nanti. 😅



Selalunya kalau time banyak siapkan order, biskut raya rumah Lyn ialah yang balance biskut untuk tempahan tu je.
Takde masa nak buat biskut lain khas untuk rumah sendiri.
Tapi tahun ni Lyn sempat lah nak buat biskut itu sikit dan ini sikit untuk rumah sendiri.

Biskut jejari coklat ni Lyn tak ambik untuk order.
Selalunya buat untuk rumah sendiri je.
Dah beberapa tahun tak buat biskut ni.
Resepinya Lyn catat kat buku resepi bonda kat rumah kampung.
Biskut ni resepi asal Lyn mintak kat sepupu Lyn yang jugak kaki membaking biskut raya dan kek.
Specialty sepupu Lyn ialah Benjy roll dan tart nenas gulung.
Memang rajin pegi kelas membuat biskut tu.
Lyn ni pulak tak pernah pegi kelas lagi.
Hehe...belajar sendiri je kat rumah.



Sepupu Lyn bagi nama biskut ni biskut batang burok.
Tapi takkan la Lyn nak tulis biskut batang buruk kat tajuk entry ni.
Nanti keliru pulak para pembaca sebab biskut batang burok tu lain kan rupe, bentuk dan rasanya.
So, nak bagi tak nak confused, Lyn letak la nama biskut ni sebagai biskut jejari coklat.
Ehehe...


Lyn buat biskut ni semalam je sekali dengan biskut Arab susu.
Biskut jejari coklat ni kena celup coklat cair sikit kat hujung sebelah nya.
Ingatkan semalam nak siapkan coating coklat kat biskut ni, alih-alih cooking coklat pulak tak cukup.
Dah terpaksa postpone kerja meng'coating' baki separuh balang biskut jejari coklat ni hari ni.
Selalunya coklat masakan favorite Lyn ialah yang jenama Beryl's tu.
Tapi semalam dah habis pusing dua bakery stores langsung tak nampak bayang si coklat Beryl's ni. Kedua-dua kedai bakeri pun coklat Beryl's dah out of stock!
Huih! Hebat betul penangan raya ni, hujung-hujung puasa camni kebanyakan barang baking dah tak available lagi.  Lepas raya baru dorang re-stock.
So, Lyn pakai coklat masakan jenama Meriah je.
Harap-harap sedap dan meriah la rasa coklat untuk biskut jejari coklat Lyn ni nanti yea.
Itu pun beli kat Village Grocer sambil jenjalan untuk tapau Texas Chicken sekali untuk bukak puasa.😜

Ni la gambar coklat Meriah tu



Resepi asal yang diberi oleh sepupu Lyn menggunakan sukatan cawan.
Tapi Lyn dah ubah sikit dan tukar kepada sukatan gram.
(Sebenarnya Lyn pun dah lupa macam mana sukatan biskut jejari coklat ni, cuma ingat bahan-bahannye je).  Huhu..

Jom kita terjah resepinya dulu okey.

Biskut Jejari Coklat

Kategori : Biskut raya
Jumlah Biskut : Anggaran 110 keping

250 gram mentega/marjerin
150 gram gula halus/icing
secubit garam halus
1 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar serbuk badam
50 gram nestum
120 gram tepung beras - ayak
190 gram tepung gandum - ayak
100 gram coklat rice

Hiasan:

coklat masakan
coklat rice
badam cincang - bakar/sangai dulu

Pukul mentega/marjerin bersama garam halus dan gula sehingga kembang dan berkrim.
Masukkan kuning telur, esen vanilla dan serbuk badam.  Pukul lagi sebentar.
Masukkan nestum, tepung beras, tepung gandum dan coklat rice.  Gaul rata menggunakan spatula atau uli lembut menggunakan tangan.
(Adunan biar lembik sikit)
Balut mangkuk pengadun dengan cling wrap atau masukkan doh ke dalam plastik kedap udara dan rehatkan dalam peti sejuk selama 30 minit.
Selepas 30 minit, keluarkan doh dan biarkan sebentar hingga doh mencapai suhu bilik.
Jika masih terlalu lembik tambah sikit tepung gandum dan uli rata.
Paipkan doh sepanjang 2.5 cm menggunakan nozel yang bergerigi di bahagian tepinya untuk membentuk jejari. (Lyn tak tau nak describe camne, nanti Lyn bagi gambar yea).
Tekan sedikit bahagian hujung lagi satu untuk dapatkan bentuk bulat.
Bakar pada suhu 180℃ selama 17 minit atau sehingga biskut garing.
Sejukkan atas redai.

Paipkan bentuk macam ni
pakai nozel macam yang dalam gambar tu
Beginilah rupenye selepas dibakar.

Sementara menunggu biskut sejuk dan boleh sediakan coklat coating.

Cairkan coklat menggunakan microwave atau double boil dengan api sederhana sehingga keseluruhan coklat cair.
Kalau pakai coklat masakan biasa (yang tiada jenama di kedai bakeri tu) tambahkan sedikit minyak jagung supaya lembut.
Celupkan bahagian yang berbentuk bulat pada biskut dengan coklat coating, susun dalam dulang yang dialas dengan baking paper dan tabur coklat rice dan badam cincang.
Sejukkan sebentar dalam peti sejuk sehingga coklat mengeras.
Susun dalam balang kedap udara.  Letak bubble wrap atau baking paper di setiap lapisan biskut supaya tak melekat antara satu sama lain.

Dah siap coating ngan hias.  Masih cair lagi coklatnya tu.

0 comments :

Post a Comment