Sayur Bayam Tumis Dengan Mee Kuning Menu Sahur RIngkas & Menyelerakan

Monday, 6 May 2019

Sayur Bayam Tumis Dengan Mee Kuning Menu Sahur RIngkas & Menyelerakan



Assalamualaikum...

Tinggal beberapa hari saja lagi sebelum tibanya bulan yang dinanti-nantikan oleh sekalian umat Islam iaitu bulan Ramadhan.  Mudah-mudahan di bulan yang mulia ni kita sama-sama berjaya meningkatkan amal ibadah dan diberikan kesihatan yang baik untuk menunaikan ibadah.  Amin..

Baiklah, hari ni tak nak cerita panjang lebar, sempena datangnya bulan Ramadhan, seperti yang Lyn janjikan sebelum ni Lyn akan kongsikan menu-menu sahur dan jugak hidangan berbuka puasa yang boleh para pembaca cuba di rumah.  Dan InsyaAllah, Lyn jugak akan kongsikan resepi-resepi biskut raya yang biasa Lyn sediakan untuk Hari Lebaran.  Resepi biskut-biskut raya yang Lyn akan kongsikan nanti kebanyakan resepi bonda Lyn yang diperturunkan kepada anak perempuan beliau yang sorang ni dan jugak resepi-resepi biskut raya olahan Lyn sendiri.

Okay, kali ni menu yang Lyn nak kongsikan ialah salah satu menu untuk hidangan sahur yang serba ringkas, untuk dipadankan bersama nasi putih, telur dadar atau pun ikan masin.  Uihh...rasa lapar pulak tetiba ni.  Hehe..Lauk sayur bayam tumis bersama mee kuning ni secara tak sengaja kami pernah masak satu ketika dulu.  Pada waktu tu, kebetulan kat rumah masih ada saki baki mee kuning lebihan membuat mee goreng.  Tu yang Lyn campurkan je ke dalam sayur bayam tumis ni.  Alih-alih tak sangka pulak sedap.  Kuahnya buat banyak sikit dan mee kuning jangan letak banyak sangat melebihi sayur bayam.  Sayur ni sesuai untuk dihidang panas-panas.  Jadi kalau nak buat lauk untuk sahur, sebelah malam siang semua sayur bayam dulu, kupas bawang siap-siap supaya esok pagi tak kelam kabut nak masak untuk sahur.

Sayur Bayam Tumis Dengan Mee Kuning Ringkas

Bahan-bahan:

1 ikat kecil bayam (asingkan batang dan daunnya)
1 genggam mee kuning
4 biji cili padi (ketuk /potong kecil)
1 ulas bawang merah (hiris nipis)
1 ulas bawang putih (hiris nipis)
1/2 kiub pati ikan bilis
2 cawan air
garam secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis

Cara Penyediaan:

Panaskan minyak dalam kuali.  Tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga nak bau.

Masukkan air, kiub pati ikan bilis, cili padi hiris/ketuk dan batang bayam.  Masak hingga batang bayam lembut.

Perasakan dengan garam, masukkan daun bayam dan mee kuning.  Tutup kuali sebentar dan angkat setelah daun bayam layu.

Hidang serta-merta.



Saiz hidangan untuk sebanyak ini ialah untuk maximum tiga orang makan.  Lyn makan berdua je dengan incik hubby.  Kami berdua memang suka meratah sayur banyak-banyak.

Kalau beli bayam yang seikat besar, kalau nak masak sekaligus boleh gandakan kuantiti bahan yang digunakan.

Kami padankan lauk bayam tumis dengan siakap kukus.  Yum!


Selamat mencuba!

0 comments :

Post a Comment