Kuih Cara Berlauk Yang Sangat Sedap
Assalamualaikum...
Alhamdullilah, selesai sudah menyudahi ibadah puasa kita untuk hari yang pertama..para pembaca semua berbuka juadah apa hari ni? Sepatutnya, Lyn nak update awal untuk beberapa entry kuih dan menu buka puasa tapi malangnya semenjak tiga hari yang lepas wifi connection di kawasan rumah kami ada masalah pulak. Tu yang tergendala segala rancangan nak update entry ni. InsyaAllah Lyn akan update satu per satu ya. So, stay tune tau. Hihi..
Hari ni hari pertama berpuasa untuk tahun ni dan hari ni jugak la kebetulan hubby Lyn kena bekerja shift malam. So, berbuka lah Lyn sorang-sorang di rumah. Huhu...Seawal pukul 9 pagi tadi dah mula sibuk kat dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk dibekalkan kepada my hubby. Macam biasa kalau menu bukak puasa Lyn sediakan biasanya ada dua jenis - satu main menu satu lagi kuih. Kalau nak lagi rajin tambah lagi satu dessert pulak. Hihi...
Semenjak dari mula-mula Lyn makan kuih yang satu ni hati dah mula terpikat dengan keenakan rasa kuih cara berlauk ni. Kalau kena dengan cara membuatnya dan rasanya, memang tak pandang kuih lain dah. Lebih-lebih lagi Lyn pulak jenis yang lebih suka makan kuih yang savory berbanding kuih yang manis. Begitu jugak dengan my hubby. Cuma kengkadang kalau beli kuih cara berlauk kat gerai atau bazar Ramadhan, bahagian tepungnya tawar dan takde rasa santan. Mungkin santan yang digunakan terlampau cair dan amat sedikit sebab nak jimat kos. Lepas tu, ini daging pun kurang dan kadangkala dicampur dengan kentang. Sedap jugak kalau campur kentang cuma dah rasa macam karipap pulak kan kalau letak kentang. Kuih cara berlauk yang original hanya menggunakan daging cincang je sebenarnya.
Ini kali kedua Lyn membuat kuih cara berlauk ni. Kali pertama Lyn membuatnya dulu sewaktu Lyn masih lagi bekerja pejabat. Masa tu kalau tak silap bulan puasa jugak, balik je kerja terus je singgah kat bakery shop terus je beli loyang baulu untuk membuat kuih cara berlauk ni. Petang tu jugak Lyn dengan hubby membuat projek kuih cara berlauk ni untuk juadah berbuka puasa kami. Kenyang jugaklah berdua makan sepinggan kuih ni. Memang sangat berbaloi kalau membuatnya sendiri. Tambahan pulak pembuatannya pun tak lah susah seperti membuat pulut panggang.
Loyang baulu yang Lyn gunakan berbentuk cermai sebab tu je yang Lyn ada sebenarnya. Masa first time nak buat kuih cara berlauk ni, puas kami cari loyang berbentuk bujur tapi takde stok. Bentuk apa nak pakai pun tak kisah asalkan sedap.
Untuk kali ni, resepi asal Lyn rujuk di iResepi.com. Tapi untuk sukatan air Lyn kurangkan 1/2 cawan dari resepi asal dan hasilnya kuih cara berlauk Lyn sedang elok saja adunannya. Tak terlalu lembik atau keras. Bancuhan adunan tepung pun Lyn tambahkan dengan dua sudu besar tepung jagung. Sebelum membuat bancuhan tepung kenalah sediakan inti dagingnya terlebih dahulu ya.
Kuih Cara Berlauk Yang Sangat Sedap
Tempoh Penyediaan : 20 minit
Tempoh memasak : 40 minit (bergantung pada jumlah acuan yang ada)
Jumlah kuih : 50 ke 60 keping
Bahan Inti Daging:
1 keping/ 200 gram daging lembu cincang (Lyn pakai Ramly)
1/2 biji bawang besar (cincang halus)
2 ulas bawang putih (cincang halus)
2 sudu besar rempah kari daging (bancuh dengan sedikit air jadikan pes)
garam
sedikit air
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
gula
minyak untuk menumis
Cara Penyediaan:
Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu dan masukkan pes kari daging. Tumis hingga garing.
Masukkan air, serbuk lada hitam, sedikit gula, garam dan daging cincang yang telah dibasuh terlebih dahulu. Masak hingga air kering.
Bahan Adunan Tepung:
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
2 biji telur Gred B
1 sudu kecil pewarna kuning
1 cawan santan pekat
2 1/2 cawan air
3/4 sudu teh garam
Bahan Sampingan:
Daun sup (hiris halus)
Daun bawang (hiris halus) - Lyn tak letak
Cili besar merah (hiris nipis menyerong)
Bawang goreng - Lyn tak letak
Cara Penyediaan:
Campurkan kesemua bahan dalam mangkuk besar dan kacau rata menggunakan whisk. Boleh jugak gunakan blender.
Tapis adunan ke dalam jug supaya mudah nak menuang adunan ke dalam acuan cara berlauk nanti.
Panaskan acuan cara berlauk sebentar dan oleskan dengan sedikit minyak masak.
Tuang adunan tepung sehingga ke paras acuan. Letakkan 1/2 sudu teh inti daging dan tabur dengan hirisan lada merah, daup sup, daun bawang dan bawang goreng.
Tutup acuan dengan penutup yang bersesuaian dan masak selama kira-kira 4 minit menggunakan api kecil.
Kuih cara berlauk yang telah benar-benar masak akan sedikit garing di bahagian bawahnya dan mudah untuk dikeluarkan dari acuan.
Untuk mengeluarkan kuih cara berlauk dari acuannya boleh umpil sedikit bahagian tepinya dengan menggunakan lidi sate.
#TIPS#
Cara untuk memastikan kepekatan adunan tepung anda baik, iaitu tak begitu pekat atau begitu cair mudah je caranya. Untuk mengetahuinya, lepas bancuh tepung boleh cuba buat sebiji dulu kuih cara. Kalau selepas masak kuih cara berlauk anda tenggelam bahagian tengahnya itu bermakna adunan tepung terlalu cair. Tambahkan sedikit demi sedikit tepung gandum dan kacau rata menggunakan whisk. Sebaliknya kalau adunan tepung anda terlalu pekat, kuih cara akan bulging atau membonjol sedikit ke atas. Kalau adunan tepung pekat, boleh tambah air sedkit demi sedikit.
Kalau nak lebih sedap, boleh jugak oleskan dengan Ghee pada acuan cara berlauk untuk rasa yang lebih sedap. Dulu masa pertama kali membuat cara berlauk ni Lyn oles acuan dengan Ghee. Walau bagaimanapun, oles menggunakan minyak biasa pun sudah memadai ya.
Kalau tak habis makan, simpan dalam bekas kedap udara dan masukkan dalam peti sejuk. Bila nak makan panaskan sebentar dalam 5 minit dalam oven atau 2 minit dalam microwave.
Yang Ni Untuk Carry Forward Bukak Puasa Esok. Yeay! |
0 comments :
Post a Comment