Bubur Candil Pandan Pisang Bersagu

Monday, 29 April 2019

Bubur Candil Pandan Pisang Bersagu



Assalamualaikum...

Bila cuaca mendung dan hujan teringat keenakan menikmati bubur yang satu ni sebagai pencuci mulut.  Biasanya kalau sebut je bubur candil, kite dah bayangkan candil-candil yang berwarna-warni dibanjiri dengan kuah santan gula Melaka yang lemak manis tu.  Tapi kali ni bubur candil yang Lyn akan share ialah bubur candil berperisa pandan, dicampur dengan aroma pisang Cavendish yang mewah dan biji sagu.

Sebenarnya tak terfikir pun nak membuat bubur candil ni.  Hari tu masa Lyn membuat apam puteri ayu pandan Lyn masih simpan baki jus pandan yang masih belum digunakan lagi dalam peti sejuk.  Kebetulan tempoh hari Lyn ada membeli sepeket tepung pulut, cadangan asalnya tepung pulut tu Lyn nak buat koci labu, tapi last minute cancel sebab tak menang tangan.  Sayang nak membuang jus pandan yang masih elok tersimpan dalam botol, lebih-lebih lagi daun pandan yang Lyn gunakan tu ialah daun pandan yang Lyn tanam sendiri di dalam pasu, tu yang sayang je nak kalau nak buang, so  akhirnya menjadi bubur candil pandan yang mudah dan lazat ni. 

Biji sagu yang Lyn gunakan dalam bubur candil pandan ni berwarna hijau tapi bila sagunya dah kembang tak perasan pun yang warna asal biji sagu ni warna hijau.  Jadi kalau nak guna biji sagu warna putih pun takpe.  Untuk pisang pulak, kalau nak lebih sedap gunakan pisang Cavendish atau pisang raja.  Pastikan pisang jangan overripe sebab kita tak nak pisang yang hancur.  Kalau sesiapa yang pernah makan atau buat pengat pisang mesti tau keenakan rasa pisang yang dimasak bersama kuah santan dan gula Melaka ni.  Dulu kat kampung, bonda selalu je buat pengat pisang dan pengat tepung gandum, tapi Lyn kurang suka makan sebab sejak dulu memang kurang suka makan pisang kecuali pisang raja yang dibuat pisang goreng,  Yang tu je Lyn telan habis.  Cuma sekarang bila dah bersuamikan peminat pisang, baru la bayang pisang ada kat rumah kami.  Kalau nak pisang tak cepat busuk atau overripe boleh simpan dalam peti sejuk.  Warna kulit luar pisang nanti akan bertukar menjadi coklat tua kehitaman tapi bahagian pisangnya masih elok.  Jadi jangan risau.  Kalau seminggu dalam peti sejuk masih okay lagi pisang tu takde masalah.

Untuk penyediaan kuah bubur candil pandan pisang bersagu ni, kalau ada gula merah lagi bagus sebab gula merah akan memekatkan warna kuah.  Jadi kuah bubur candil ni cantik dan likat je.  Tapi kalau takde boleh pakai gula Melaka tapi warnanya akan menjadi sedikit pucat dan kalau suka warna putih boleh pakai gula pasir sahaja ya.  Terpulang pada citarasa masing-masing.

Bubur Candil Pandan Pisang Bersagu

Bahan-bahan:

Untuk membuat candil pandan:

2 cawan tepung pulut
1 cawan jus pandan (2 helai daun pandan blend dengan air)
1 sudu teh pewarna hijau
1/2 sudu teh garam halus

Cara-cara:

Blendkan daun pandan bersama secawan air.  Tapis dan campurkan jus pandan bersama garam dan pewarna hijau.

Tuang sedikit demi sedikit jus pandan ke dalam mangkuk berisi tepung pulut dan uli rata hingga menjadi sebiji doh.

Didihkan air dalam periuk.

Ambil secubit doh dan bulat-bulatkan dan letak atas dulang yang ditabur dengan tepung.  Buat sampai habis.

Bila air dah mendidih, rebus bebola candil pandan hingga timbul dipermukaan.  Angkat dan tapis ke dalam mangkuk berisi air.

Bahan-bahan untuk bubur:

1 1/2 liter air
2 helai daun pandan (simpul)
sedikit garam
2 sudu besar gula merah
1 ketul kecil (atau 1/2 ketul besar) gula Melaka
gula putih jika perlu
3 sudu besar biji sagu
2 ulas pisang Cavendish (hiris serong)
1 kotak kecil (200 ml ) santan
candil pandan yang telah dimasak

Cara membuat:

Masak gula merah, gula Melaka dan gula putih bersama 1/2 liter air hingga gula larut.  Tapis dan ketepikan.

Didihkan air bersama daun pandan.

Bila air dan mendidih masukkan sedikit garam dan biji sagu.  Rebus hingga biji sagu menjadi jernih dan kembang.

Kemudian, masukkan air gula, candil pandan dan pisang Cavendish yang telah dipotong.  Reneh sebentar.

Akhir sekali masukkan santan dan reneh sebentar.  

Sedia untuk dihidang.


0 comments :

Post a Comment