Nasi Minyak Simple

Wednesday, 15 May 2019

Nasi Minyak Simple



Assalamualaikum wbt...

Salam Ramadhan Al-Mubarak Lyn ucapkan kepada para pembaca dan sekalian umat Muslimin.  Alhamdulillah, pejam celik pejam celik dah masuk hari ke-10 kite menjalankan ibadah puasa.  Kejap je rasanya tak perasan pun masa berlalu kan?  Kemeriahan bazar Ramadhan tak kurang hebat jugak seperti tahun-tahun sebelum ni.  Pelbagai jenis juadah berbuka puasa ada dijual.  Cuma satu je Lyn belum jumpa lagi iaitu siput sedut masak lemak dengan keladi.  Huhu...Hari Ahad lepas kebetulan my hubby off day so kami saja jalan-jalan ke bazar ramadhan di Taman Alam Megah di Seksyen 28.  Saja nak tengok kemeriahan bazar Ramadhan di sana.  Kami beli kuih tepung pelita, ayam golek, tapai ubi dan samosa daging yang sangat rangup.  Lepas tu kebetulan ada orang bagi bubur lambuk percuma.  Hehe...alhamdulillah rezeki tu kan dapat jugak merasa bubur lambuk air tangan komuniti penduduk Taman Alam Megah.  Sekali sekala membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadhan ni best jugak.  Kadang-kadang jemu pulak kalau asyik makan juadah air tangan sendiri, nak jugak sekali sekala merasa juadah air tangan orang lain. 

Resepi nasi minyak yang akan Lyn kongsikan resepinya ni ialah sebagai juadah berbuka puasa untuk dua hari yang lepas.  Tiba-tiba teringin nak makan nasi minyak.  Mula-mula plan asal nak masak nasi tomato tapi stok ayam pulak takde untuk dibuat ayam masak merah.  Barulah kena kalau dipadankan dengan nasi tomato tu.  Memandangkan stok ayam mentah Lyn takde, Lyn masak nasi minyak ni untuk dimakan bersama kari telur beserta dengan ulam salad dan timun.  Kepada peminat nasi minyak tak perlu tunggu bila ada kenduri kahwin je baru boleh makan, anda boleh je membuatnya sendiri di rumah.  Kalau suka nasi beryani boleh tambah rempah beryani.

Bahan-bahan untuk menyediakan nasi minyak ni sangat mudah.  Kalau suka boleh letak cashew nuts yang disangai atau dibakar sekejap, mix vege, kismis atau kacang peas dalam tin.  Kalau suka makan nasi jagung, boleh letak jagung jagung biji frozen tu.  Sementara, rempah untuk menyediakan nasi minyak ni hanya menggunakan bahan-bahan asas seperti bawang, halia, empat sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih dan buah pelaga), susu cair, boleh jugak kalau nak pakai yogurt dan minyak.  Kalau nak lebih sedap gunakan Ghee.  Lyn dah lama tak simpan stok Ghee di rumah so Lyn pakai minyak masak biasa je.

Jom semak resepinya.

Nasi Minyak Simple

Bahan-bahan:

4 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
1 inci halia *
sedikit kulit kayu manis
3 biji cengkih
3 biji buah pelaga
1 biji bunga lawang
1/2 sudu teh lada hitam tumbuk
2 cawan beras (basuh bersih dan toskan)
1/2 cawan susu cair
1 3/4 cawan air
1 sudu teh garam
2 helai daun pandan (simpul)
3 sudu besar minyak masak - boleh pakai Ghee
1/2 kiub pati ayam 

Bahan sampingan (optional):

Mix vege 
Cashew nuts 
Kismis 
Jagung biji frozen
Daun sup dan daun bawang
Bawang goreng
Hirisan lada merah

Cara Penyediaan:

  1. Kisar atau tumbuk halus bahan bertanda *.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sebentar dan kemudian masukkan bahan kisar dan tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan air, susu cair, daun pandan, kiub pati ayam, lada hitam tumbuk, garam dan mix vege, cashew nuts dan kismis jika ada.  Reneh sebentar dan masukkan beras yang telah dicuci, kacau rata dan pindahkan ke dalam rice cooker.  Tekan button ON dan tunggu hingga nasi minyak masak.
  4. Bila dah masak gaul rata nasi minyak untuk mengelakkan bahan rempah terkumpul di bahagian atas nasi.  Tutup kembali periuk nasi dan biarkan sebentar hingga nasi minyak betul-betul tanak.
  5. Sewaktu menghidang, tabur bawang goreng, hirisan lada merah, daun sup dan daun bawang di atas nasi minyak.

#TIPS#

Untuk tekstur nasi minyak yang paling baik ialah dengan menggunakan beras Basmathi.  Nasi akan jadi berderai.  Kalau menggunakan beras Basmathi sukatan air sama banyak dengan sukatan beras.

Kalau menggunakan beras biasa seperti Lyn, sukatan air hendaklah dikurangkan sedikit berbanding jikalau memasak nasi putih biasa sebab nasi minyak dah ada kandungan minyak dan susu cair yang akan melembutkan nasi.  Kurangkan sukatan air mengikut kesesuaian beras.  Lyn menggunakan beras cap Merbok, jadi sukatan air Lyn kurangkan sebanyak 3/4 cawan.  Tapi kalau menggunakan beras cap Rambutan atau Jati, kurangkan sukatan air sebanyak 1/2 cawan saja sebab beras dari jenis tu teksturnya agak keras dan lebih muai.

Kalau suka boleh letak sebatang serai yang telah diketuk untuk mewangikan nasi minyak.  Kalau letak serai tu orang panggil nasi serai dah.  Hehehe...

Selamat mencuba!

0 comments :

Post a Comment