Terung Sambal Mudah

Monday 15 April 2019

Terung Sambal Mudah



Terung masak sambal atau lebih mudah dipanggil sebagai terung sambal ialah antara salah satu menu masakan yang dekat di hati Lyn.  Sememangnya peminat terung tegar semenjak Lyn berada di bangku sekolah lagi hinggakan dulu sewaktu bonda masih sibuk bekerja dan hanya sempat menyediakan nasi dan lauk terung sambal je untuk lauk kami dua beradik makan tengah hari, sampai bertambah nasi Lyn makan walaupun dengan hanya berlaukkan terung sambal.  Keenakan terung sambal ni pada Lyn ialah pabila terung tu digoreng hingga agak layu, itu lah yang menyebabkan terung ni sedap. 

Terung sambal ni ada dua versi - terung sambal tumis yang menggunakan cili kering sebagai bahan utama dan lagi satu terung sambal cili padi atau ada jugak orang panggil sebagai terung berlada yang menggunakan cili padi terutamanya cili padi warna merah dan boleh jugak dicampur dengan cili besar merah sebagai bahan utama.  Kedua-duanya pun sedap dan ada keenakan rasa tersendiri. 

Kepada peminat terung, kalau nak tahu terung ni memang banyak khasiatnya.  Terung atau lebih mesra dipanggil sebagai eggplant mengandungi vitamin seperti vitamin C, vitamin B6, fiber dan jugak nutrient-nutrient lain yang penting untuk kesihatan tubuh badan kita.  Antara komponen utama terung ni ialah antocyanin, iaitu sejenis flavonoid atau lebih mudah dipanggil sebagai antioxidant.  Apa antioxidant ni buat kat tubuh badan kita?  Antioxidant akan meneutralkan radikal bebas yang berbahaya kepada tubuh badan kita.  Anthocyanin ni terdapat di bahagian kulitnya.  Jadik lepas ni, kalau nak masak terung masak sekali dengan kulitnya.  Cara memasak terung yang terbaik bagi mengekalkan nutrient dan kandungan antioxidanya ialah dengan cara mengukus.  Mungkin lepas ni boleh cuba buat ulam terung kukus dan dicicah dengan sambal.😅😅

Resepi yang Lyn nak kongsikan hari ni ialah terung sambal yang menggunakan cili kering yang dikisar halus.  Saja nak menghabiskan stok cili kering yang dah dikisar dalam peti ais, kebetulan pulak dalam peti sejuk masih tersimpan lagi dua batang terung ni, terus je terfikir nak masak terung sambal.  Biasanya kalau waktu berdiet, Lyn jarang masak terung sambal ni sebab ianya loaded with oil.  Huhu...one way to reduce oil usage ialah dengan cara menggoreng terung ni menggunakan sedikit minyak menggunakan non-stick pan kemudian tutup pan ni dan masak hingga terung lembut dengan menggunakan api sederhana.  Terungnya dipotong kecil supaya cepat lembut.

Terung Sambal Mudah

2 batang terung saiz sederhana (potong kecil)
10 sudu besar cili kering kisar
4 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
10 ekor ikan bilis *
1/4 cawan air asam jawa
garam
gula
minyak untuk menumis
minyak untuk menggoreng terung

Penyediaan:

  1. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali dan goreng terung yang telah dipotong kecil hingga terung layu.  Angkat dan toskan minyaknya.
  2. Kisar halus kesemua bahan bertanda *.
  3. Dengan menggunakan kuali yang sama, tumis sebentar cili kering kisar kemudian masukkan bahan kisar dan sedikit gula dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air asam jawa, terung yang dah digoreng dan perasakan dengan garam.  Masak hingga air agak kering.  Sedia dihidang.

0 comments :

Post a Comment