Menu Lunch Box 13 : Dada Ayam Percik Simple

Friday, 12 April 2019

Menu Lunch Box 13 : Dada Ayam Percik Simple



Assalamualaikum wbt...

Dalam menyediakan menu lunch box, tak kiralah sama ada untuk dibawa sebagai bekalan anak atau suami tersayang ke sekolah mahupun ke pejabat, kita sebagai orang yang menyediakan menu lunch box ni kenalah selalu creative menyediakan menu-menu baru supaya tak bosan dengan menu yang sama.  Lepas tu, presentation lunch box tu mestilah appealing baru gembira je hati si pemakan tu nanti kan.

Penggemar ayam percik atau apa-apa pun lauk percik - misalnya telur percik, ikan percik atau daging percik boleh la cuba memasaknya untuk dijadikan menu lunch box yang sedap dan menyelerakan.  Menu ayam percik ni kalau Lyn tak silap berasal dari Kelantan.  Dulu masa Lyn masih bekerja di PJ, tiap kali ada pasar pagi dan pasar malam depan office Lyn mesti ada gerai yang menjual nasi kerabu dan salah satu lauknya mesti ayam percik.  Lepas tu, ayam percik tu ada dua jenis- satu yang warna merah iaitu pedas dan satu lagi berkuah putih.  Bagi yang hantu makan pedas tu boleh la cuba buat ayam percik yang versi pedas.  Sebenarnya, pedas ayam percik ni tak la sampai tahap pedas macam sambal tumis tu.  Pedas yang sederhana je sebabnya, cili giling tak boleh lebih, nanti tak sedap seperti ayam percik original yang warnanya merah pudar saja.

Bahagian mana yang akan menjadik korban ayam percik anda terpulang lah ya.  Macam Lyn ni, memang kebanyakan waktu stok dada ayam je la yang Lyn simpan kat rumah.  Itu sebabnya nama menu ni pun menjadi dada ayam percik, instead of ayam percik je. Hehe...

Sebahagian resepi ayam percik yang Lyn carik di blog-blog masakan ada menggunakan lengkuas sebagai rencah untuk menyediakan kuah dan jugak sebagai bahan perapan untuk penyediaan ayam.  Memandangkan Lyn memang jarang betul beli lengkuas, lengkuas kalau kat rumah Lyn hanya akan nampak bayang waktu nak buat rendang, mee kari dan laksa Singapore je.  Huhu...so lengkuas memang Lyn tak letak dalam resepi ayam percik Lyn ni.  Kekuatan rasa ayam percik yang Lyn buat ni bergantung kepada rasa bawang, halia, cili, santan, serai dan ayam tu sendiri.

Dada Ayam Percik Simple

Bahan-bahan:

2 keping dada ayam

Bahan perap ayam:

2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
sedikit garam

Bahan kuah:

1/2 biji bawang besar *
2 ulas bawang merah*
1 ulas bawang putih*
1 batang serai*
5 batang cili kering (rebus sebentar dan buang biji)*
1 cm halia *
1/2 kotak kecil santan (Lyn pakai KARA)
1/2 liter air
1 keping asam keping
garam
gula

Cara Penyediaan:

  1. Tumbuk halus kesemua bahan perap dan gaul rata dada ayam bersama bahan perap.
  2. Untuk menyediakan kuah, kisar halus kesemua bahan bertanda * dan tuangkan ke dalam periuk.  Tambah air dan reneh hingga mendidih.  
  3. Setelah mendidih masukkan pula santan, asam keping, garam dan gula secukup rasa.
  4. Masukkan ayam perap tadi dan reneh sebentar hingga bahagian luar ayam bertukar warna menjadi putih (dalam 10 minit), kemudian keluarkan semula ayam dan letak ke dalam mangkuk dan perap sekurang-kurangnya 30 minit.
  5. Untuk memanggang ayam, panggang ayam dengan sedikit minyak menggunakan double sided pan atau kuali non-stick.  Boleh jugak menggunakan pemanggang khas kalau ada.  Panggang dengan api sederhana dan balik-balikkan hingga bahagian luar ayam ada sedikit tompok-tompok coklat kehitaman.
  6. Untuk menghidang, siramkan kuah percik ke atas ayam.

#TIPS#

Kuah percik sepatutnya agak pekat.  Jadi air jangan tambah banyak sangat kalau tidak kuah akan cair.  

Kalau nak kuah lebih sedap, rendamkan ayam percik yang dah dipanggang ke dalam kuah.  Tapi disebabkan Lyn buat ayam percik ni untuk menu lunch box kuahnya Lyn asingkan kat dalam bekas kecil macam yang kat dalam gambar tu.

0 comments :

Post a Comment