Apam Puteri Ayu Pandan Gebu dan Lembut

Friday, 26 April 2019

Apam Puteri Ayu Pandan Gebu dan Lembut



Assalamualaikum...

Entry kali ni Lyn akan kongsikan resepi apam puteri ayu pandan yang sangat gebu dan lembut.  Apam puteri ayu ni adalah untuk kenduri arwah bersempena menjelangnya bulan Ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari je lagi ni.  Macam mana dengan persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ni? Dah ada plan ke nak masak apa untuk dijadikan juadah sahur dan berbuka puasa nanti?  Insya Allah, jikalau berkesempatan Lyn akan kongsikan juadah sahur dan berbuka puasa yang akan Lyn sediakan untuk keluarga sepanjang bulan Ramadhan nanti.  Kami bercadang nak kurangkan membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadhan tahun ni.  Kalau boleh nak limitkan seminggu sekali je.  Harap-harap tahun ni boleh la jumpa lauk siput sedut masak lemak dengan sayur keladi di Bazar Ramadhan yang sentiasa menjadi kegemaran Lyn.  Cuma tak pernah masak sendiri sebab malas nak potong cangkerang bahagian ekor siput tu. 

Selama Lyn membuat kuih puteri ayu pandan ni, inilah kali pertama rasanya kuih puteri ayu pandan Lyn menjadi dengan jayanya.  Puteri ayu pandan ni sangat ringan, gebu dan lembut, tak ubah seperti kek span.  Cara pembuatan adunan puteri ayu pandan ni menggunakan teknik yang hampir sama dengan cara membuat kek span.  Sebab tu la hasilnya gebu dan lembut je. 

Lyn buat dua adunan puteri ayu pandan ni untuk mendapatkan dalam 70 pieces apam puteri ayu.  50 pieces untuk dijadikan hidangan kuih muih untuk dipadankan dengan juadah utama iaitu nasi ambeng - menu kebesaran orang Jawa yang sentiasa evergreen - tak lapuk dek zaman.  Selain tu, Lyn jugak ada menyediakan pulut panggang dan kuih bakar labu.  Apam puteri ayu ni Lyn sediakan dahulu di sini, kemudian sejuk bekukan dan dibawa pulang ke kampung.  Di sana, Lyn kukus semula apam puteri ayu pandan ni supaya teksturnya gebu dan ringan.

Sesiapa nak buat dalam kuantiti banyak memang sangat disarankan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 50 pieces cetak puteri ayu ni kalau tak kerja mengukus akan menajadi lambat.  Di rumah Lyn cuma ada 24 pieces cetak puteri ayu je dan masa tu sibuk membeli barang-barang penyediaan kuih muih sudahnya Lyn lupa nak top up lagi cetak puteri ayu tu.  Itu yang lambat siap bila bab nak mengukus puteri ayu ni sebab kena tunggu 1st batch masak then keluarkan dari cetaknya dan dengan menggunakan cetak yang sama jugak terkial-kial nak bersihkan cetak, glis dengan minyak ,sumbat kelapa parut dan isi adunan.  Leceh sikit kerja mengukus dengan jumlah cetak puteri ayu yang limited ni.  Sepatutnya waktu mengukus 1st batch, in the meantime kita dan boleh prepare 2nd batch pulak, so bila angkat 1st batch dari kukusan boleh terus je mengukus for the 2nd batch.  Baru la efficient kerja.



Untuk resepi apam puteri ayu pandan ni Lyn ambil dari blog Maszie dan untuk tekniknya Lyn rujuk blog Raihanna.  Resepi di blog Raihanna tak jauh beza dengan resepi Maszie cuma Rai menggunakan santan segar yang diambil dari kelapa parut sedangkan Lyn hanya menggunakan santan kotak.  Untuk pembuatan apam puteri ayu ni Lyn menggunakan daun pandan yang dikisar halus untuk diambil jusnya dan ditambah dengan sedikit pewarna hijau untuk mendapatkan warna yang cantik dan terang.  Memandangkan kelapa parut yang Lyn beli di Seksyen 7 ialah kelapa parut siap  - iaitu kelapa parut yang diparut bersama kulitnya sekali, jadi warna kelapa parut pada apam puteri ayu pandan Lyn tak berapa menarik sebab adanya tompok-tompok coklat.  Kalau boleh, cuba dapatkan kelapa parut putih supaya lebih cantik.

Apam Puteri Ayu Pandan Gebu dan Lembut

Rujukan : 
Maszie.blogspot
Raihanna Sweet Vanilla

Bahan-bahan:

3 biji telur Gred A
300 gram gula halus
2 sudu kecil ovalette
200 ml santan
50 ml jus pandan (5 helai daun pandan dikisar bersama air)
2 penutup kecil esen hijau
250 gram tepung gandum *
1 sudu kecil baking powder *
250 gram kelapa parut (campur dengan 2 sudu besar tepung ubi dan 1/2 sudu kecil garam halus)
minyak untk mengglis cetak puteri ayu

Cara Membuat:

  1. Mula-mula sediakan kelapa parut.  Glis cetak puteri ayu satu persatu dengan minyak supaya tak lekat dan mudah untuk dikeluarkan nanti.
  2. Ambil sedikit kelapa parut dan tekan padat ke dalam cetak puteri ayu.  Ketepikan.
  3. Panaskan pengukus.
  4. Ayak tepung gandum bersama baking powder.  Ketepikan.
  5. Sediakan jus pandan dengan mengisar daun pandan bersama air.  Kemudian tapis dan ambil 50 ml sahaja.  
  6. Campur jus pandan dengan santan (Lyn pakai santan kotak kecil KARA) dan pewarna hijau.  Kacau sebati dan ketepikan.
  7. Pukul telur, gula dan ovalette dengan kelajuan mazimum sehingga adunan betul-betul kembang.
  8. Masukkan tepung gandum yang dah diayak bersama baking powder sedikit demi sedikit berselang-seli dengan campuran jus pandan dan santan tadi.  Guna kaedah kaup balik menggunakan spatula untuk memasukkan angin dan untuk mengelakkan adunan telur turun dan mampat.  Buat sampai habis.
  9. Sendukkan adunan ke dalam cetak puteri ayu yang dah disumbat dengan kelapa parut dan kukus dengan api kuat selama 15 minit.
  10. Sekali sekala buka penutup kukusan dan lap wap air yang terhasil di penutup pengukus untuk mengelak wap air terjatuh ke atas apam puteri ayu.
  11. Sejukkan sebentar dan keluarkan apam dari cetaknya.
Selain dari resepi di atas, bagi sesiapa yang takde penimbang kat rumah dan takde daun pandan boleh la mencuba resepi apam puteri ayu di bawah ni yang resepinya menggunakan esen pandan dan sukatan cawan.  Lyn pernah buat apam puteri ayu pandan menggunakan resepi di bawah ni tapi Lyn dah lupa resepi ni Lyn ambil dari mana sebab Lyn dah catat dalam buku resepi Lyn.  Resepinya seperti berikut.


Apam Puteri Ayu Pandan Sukatan Cawan dan Menggunakan Esen Pandan Mudah

Bahan-bahan:

3 biji telur Gred A
3/4 cawan gula halus
2 sudu kecil ovalette
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 cawan santan
2 penutup esen pandan
2 penutup pewarna hijau
kelapa parut (campur garam dan tepung ubi)

Untuk cara membuatnya sama seperti cara-cara membuat apam puteri ayu pandan menggunakan jus pandan, hanya jus pandan diganti dengan esen pandan.  Santan perlu dicampur dengan esen pandan dan pewarna hijau kemudian baru dimasukkan ke dalam adunan telur berselang-seli dengan tepung gandum yang telah diayak bersama baking powder.

#TIPS#
Penyimpanan:

Apabila apam puteri ayu dah sejuk, simpan dalam bekas kedap udara untuk mengelakkan permukaan apam menjadi kering.

Untuk frozenkan apam puteri ayu boleh simpan dalam plastik yang diseal hujungnya atau bekas kedap udara dan simpan di dalam freezer.  Bila nak makan, keluarkan dari freezer dan boleh terus kukus apam hingga apam puteri ayu menjadi gebu semula.

0 comments :

Post a Comment