Ayam Panggang Black Pepper Menu Makan Malam Mudah & Ringkas

Tuesday, 2 April 2019

Ayam Panggang Black Pepper Menu Makan Malam Mudah & Ringkas



Cerita dua malam lepas...

Dalam freezer ada stok ayam dua ketul bahagian peha, seekor ikan siakap dan dada ayam.  Nak masak ikan siakap hubby pulak balik keje lewat sikit, so memang malas la nak makan menu berasaskan ikan ni sebab ambik masa dan kena asingkan tulang betul-betul, lebih-lebih lagi bila balik kerja dah lewat lepas tu seharian bekerja mengadap PC jadi mata pun blur je nak tengok tulang-tulang ikan tu kan, finally, I concluded with this menu for our late dinner - AYAM PANGGANG BLACK PEPPER!

Boleh dikatakan ini kali pertama Lyn berjaya memanggang ayam dengan menggunakan oven.  Huhu...sedih kan? Bukan apa, dua kali sebelum ni asal buat ayam panggang menggunakan oven ayam panggang Lyn tak crispy on the outside as we what we expected when we eat roasted chicken.  Last-last, ayam yang Lyn panggang begitu punya lama dalam oven, Lyn panggang balik menggunakan double sided pan semata-mata nak kasi rangup dan berkerak sikit kat bahagian luar ayam tu.  Barulah best dan nampak macam original roasted chicken ala-ala di Kenny Rogers tu kan.  Hehe..tapi tak best lah macam ni kan, buat dua kali kerja dan membanyakkan utensils yang diguna hanya untuk mendapatkan ayam panggang yang rangup dan sempurna, betul tak?


Bila dah gagal dua kali, baru Lyn paham apa punca ayam panggang Lyn tak rangup kat bahagian luar tu.  Pertama - suhu oven.  Sebelum ni, Lyn hanya pakai suhu 180℃ untuk panggang ayam, sudahnya ayam yang Lyn panggang lebih dari 1 jam, padahal bukan panggang sekor ayam pun, masak tu memanglah masak tapi tak garing di luarnya.  Kedua - Lyn cover dengan aluminium foil sewaktu memanggang.  Ni lagi satu masalah besar kan?  Bila kita cover atas ayam dengan aluminium foil, wap akan terhasil di antara aluminium foil dan dulang pembakar tu menjadikan ayam yang kita panggang lembap dan tak rangup.  Jadi, dua masalah ni kena diatasi untuk dapatkan ayam panggang yang menggunakan oven anda berhasil dengan jayanya.


Banyak jugak Lyn study resepi-resepi ayam panggang ni di Youtube dan blog-blog masakan, the seasonings weren't all that matters, letak je seasoning apa sekali pun janji sedap, but cooking technique is all that matter!  Bila nak panggang ayam, kita kena pakai suhu tinggi untuk sekurang-kurangnya 15 minit pertama untuk merangupkan ayam bahagian luar, kemudian turunkan suhu untuk memasakkan ayam bahagian dalam.  Kalau kita guna suhu rendah dari 200℃, kemungkinan besar ayam panggang kita takkan rangup bahagian luarnya.  Tapi mungkin jugak faktor dan jenis oven memainkan peranan.  Kalau nak pasti, boleh cuba search entry untuk roasted chicken baking temperature.  Kebanyakannya menyarankan kita untuk menggunakan suhu tinggi untuk beberapa minit pertama kemudian suhu diturunkan supaya bahagian luar tak hangus dan bahagian dalam ayam masak dan lembut.  Apa pun, beranilah bereksperimen di dapur, jangan takut sekiranya gagal, cubalah perbaiki mengikut kreativiti dan selera ya.

That's all about the baking technique, sekarang Lyn nak ulas bahagian seasoning ayam panggang ni pulak.  Secara umum yang kita biasa sangat dengar ialah ayam panggang black pepper, seasoning yang mudah ala Barat yang hanya menggunakan black pepper atau lada hitam ditumbuk kasar, bawang putih , halia dan minyak zaitun.  Kemudian ditambah dengan beberapa bahan seasoning lain seperti Worchestershire sauce, jus lemon, rosemary atau apa-apa herbs yang lain untuk menambah rasa ayam panggang.  Kalau perasan, resepi original ayam panggang black pepper ala Barat jarang sekali menggunakan sos tiram, kalau nak warna gelap mereka pakai Worchestershire sauce.

Itu kalau ayam panggang ala Barat la, macam mana pulak rupe ayam panggang ala Timur ni? Kalau di sini yang biasa kite dengar masih jugak ayam panggang black pepper yang diolah dan ditambah madu, sos tiram atau pun ayam panggang yang menggunakan rempah ratus orang Asia selalu pakai.  Contohnya, serai, lengkuas, kunyit, ketumbar, jintan dan lada kering.  Macam resepi ayam golek.  Ayam golek dan ayam panggang tak jauh beza pun, cuma cara memasak ayam golek adakalanya direneh sebentar bersama bahan-bahan rempah kemudian dipanggang seekor hingga garing bahagian luarnya.  Biasanya kalau sebut ayam golek, cara panggangnya mestilah dicucuk bahagian tengah ayam dan digolek atas pemanggang hingga masak.  Bermakna sekali panggang mesti seekor ayam, lepas masak baru dipotong kecil kepada beberapa bahagian.

Untuk memastikan ayam panggang nampak berkilat dibahagian luarnya minyak perlu direnjis atau disapu atas ayam sewaktu dipanggang.  Minyak yang biasa digunakan ialah minyak zaitun, tapi kalau takde stok minyak zaitun boleh je pakai minyak masak biasa tu.  Minyak jugak yang akan membantu merangupkan bahagian luar ayam tu nanti.

Okay, so dah tau teknik nak memanggang ayam guna oven ni dan sedikit sebanyak tentang seasoning untuk ayam panggang ni, dah boleh lah sediakan menu ayam panggang untuk keluarga tersayang ye.  Hehehe..Kali ni, resepi ayam panggang yang Lyn buat ialah ayam panggang ala Barat dan dicampur sedikit madu dan sos tiram. Lyn tambahkan kentang dan lobak merah sebagai hidangan sampingan untuk ayam panggang black pepper ni.  Kami memang peminat kentang, so kentang mesti kena letak, tak boleh missed!

Sebelum dipanggang


Ayam Panggang Black Pepper Mudah

2 ketul ayam belah 4
1 sudu besar lada hitam biji (tumbuk kasar)
2 ulas bawang putih *
1 inci halia *
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar madu
1 sudu teh garam
sedikit rosemary - optional
sedikit mix herbs - optional
1 batang lobak merah potong 5
3 biji kentang potong 2
minyak zaitun
aluminium foil untuk alas

Tumbuk halus bawang putih dan halia.  Di dalam mangkuk, campurkan madu, sos tiram, bahan tumbuk, rosemary, mix herbs dan lada hitam tumbuk kasar.
Perap ayam, kentang dan lobak merah dengan bahan rencah selama sekurang-kurangnya 2 jam di dalam peti sejuk.  Tutup mangkuk dengan cling wrap.
Bila dah sedia nak memanggang ayam, panaskan oven pada suhu 250℃ selama 15 minit, keluarkan ayam perap, letakkan garam dan gaul rata lagi sekali.
Alas aluminium foil di atas dulang pembakar dan sapukan minyak zaitun.  
Susunkan ayam, kentang dan lobak merah atas dulang pembakar dan renjis rata minyak zaitun.
Panggang pada suhu  250℃ untuk 15 ke 20 minit pertama dan bila dah nampak bahagian luar mula garing sapu lagi permukaan ayam dengan lebihan bahan perap dan turunkan suhu oven kepada 180℃ dan panggang untuk lagi 30 ke 40 minit sehingga ayam masak.  
Balik-balikkan ayam sewaktu proses memanggang biar masak dengan rata.


Resepi ni Lyn buat untuk dua ketul ayam yang belah 4 tu saja.  Kalau nak panggang seekor ayam boleh gandakan resepi.  Kalau takde madu boleh ganti dengan gula pasir biasa atau gula perang.  Cuma, kalau guna madu ayam akan nampak lebih berkilat.

Aluminium foil tu penting untuk mengelakkan kerak terhasil di bahagian bawah ayam sewaktu memanggang.

Oh ya, lupa nak bagitau..ayam panggang black pepper ni kami makan dengan jagung rebus.  Kalau rajin boleh la buat black pepper gravy untuk dimakan bersama ayam panggang ni atau beli yang readymade black pepper gravy pun boleh.  Kami ratah begitu saja kerana ayam panggang ni dah cukup segala perisa, tak perlu makan dengan pencicah lagi.

Selamat mencuba!

0 comments :

Post a Comment