Seri Muka Pandan
Assalamualaikum wbt...
Dah agak lama Lyn tak update sebarang entry di blog ni. Banyak jugak resepi-resepi yang masih pending menunggu giliran untuk diupdate. Sejak dua menjak ni, fikiran terkadang tak menentu dan banyak mengelamun sendirian memikirkan arah tuju hidup ni..Hehe...dah beberapa bulan menjadi suri rumah sepenuh masa ni kengkadang terasa lonely jugak bila kebanyakan masa dihabiskan untuk menaip di depan laptop walaupun sejujurnya Lyn rasa selesa jadi freelancer ni berbanding bekerja makan gaji di pejabat. Sebab utamanya ialah kita ada banyak masa nak uruskan kebajikan keluarga kita, makan minum suami dan anak-anak. Kalau dulu sewaktu Lyn masih bekerja di pejabat, boleh dikatakan seminggu tu hampir setiap hari lah makan di luar. Kalau masak pun kebanyakannya waktu hujung minggu je.
Kuih seri muka ni memang menjadi salah satu kuih kegemaran Lyn sejak dulu lagi. Lyn paling suka makan bahagian pulutnya je sebenarnya. Kalau yang bahagian kastard pandan tu depends, kadang-kadang bila Lyn beli kuih seri muka pandan ni di luar terasa hanyir telurnya, itu yang jadi kurang menyelerakan bila nak makan. Dulu waktu Lyn bekerja di PJ, ada sorang makcik ni selalu meniaga nasi campur dan kuih muih di depan pejabat kami. Lyn selalu je beli kuih seri muka pandan makcik ni, memang sedap betul rasanya. Lembut, cukup segala santan dan gulanya. Di pejabat kami pun kalau ada makan-makan atau potluck mesti kami akan tempah kuih muih makcik ni.
Kuih seri muka pandan ni Lyn buat minggu lepas sebenarnya. Dah lama tak buat sendiri dah lupa resepinya. Kebetulan pokok pandan yang Lyn tanam di pasu semakin lebat daun-daunnya, tu yang senang bila nak membuat kuih muih dan juadah yang menggunakan daun pandan sekarang. Tak payah susah-susah nak beli lagi dah. Kaki masak memang amatlah digalakkan menanam sendiri bahan-bahan asas seperti serai, daun pandan,pokok kunyit dan sebagainya supaya mudah kalau nak menggunakannya bila-bila masa. Kebetulan stok beras pulut saki baki buat pulut kuning masa birthday Lyn dan hubby pun masih ada. Terus laju je nak membuat kuih seri muka pandan ni.
Resepi seri muka pandan ni Lyn adapt dari majalah wanita, cuma Lyn adjust sukatan bahan-bahannya mengikut citarasa.
Resepi Seri Muka Pandan
Perkakas yang diperlukan:
1 loyang segi empat bersaiz 8 x 8 inch
Plastik tahan panas untuk mengalas
Untuk Lapisan Pulut
Bahan-bahan:
300 gram beras pulut (rendam sekurang-kurangnya 30 minit)
350 gram santan pekat campur air (Lyn pakai 1/2 kotak kecil santan KARA dan selebihnya campur air)
3/4 sudu teh garam
2 helai daun pandan (simpul)
Cara Membuat:
- Panaskan periuk pengukus. Basuh bersih beras pulut yang telah direndam dan tuangkan ke dalam loyang segi empat yang dah disapu minyak dan dilapik dengan plastik berukuran 6 x 9 .
- Campurkan santan dengan garam. Kacau rata dan tuangkan santan tadi ke atas beras pulut. Paras santan haruslah tinggi sedikit berbanding paras pulut.
- Letakkan simpulan daun pandan.
- Kukus selama 30 minit hingga pulut masak dengan sempurna. Sekali sekala kaup balikkan pulut supaya pulut masak dengan rata.
- Setelah lapisan pulut masak, sejukkan sebentar, keluarkan daun pandan dan tekan padat lapisan pulut dengan memakai sarung tangan pemegang periuk yang dilapik dengan plastik membungkus makanan untuk mengelakkan panas dan memudahkan kerja memadatkan lapisan pulut.
Untuk Lapisan Kastard Pandan
Bahan-bahan:
90 gram gula pasir
50 gram tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar tepung kastard
150 ml santan pekat (Lyn pakai 3/4 kotak kecil santan KARA)
250 ml air*
8 helai daun pandan*
2 biji telur Gred B
1/2 sudu teh garam
sedikit esen vanilla
pewarna hijau
pewarna kuning
Cara membuat:
- Kisar daun pandan bersama air.
- Campurkan gula, tepung gamdum, tepung jagung, tepung kastard, garam, telur dan santan pekat. Tapis air pandan ke dalam adunan. Kacau sebati adunan.
- Tambah esen vanilla dan pewarna hijau dan kuning jika suka.
- Tapis adunan ke dalam periuk dan masak sebentar hingga naik wap dengan menggunakan api sederhana.
- Tapis adunan sekali lagi dan tuangkan adunan kastad ke atas loyang yang berisi lapisan pulut tadi.
- Bungkus penutup pengukus dengan kain atau alas dengan aluminium foil untuk mengelakkan air menitik sewaktu mengukus dan kukus kuih seri muka pandan selama setengah jam hingga masak.
#TIPS#
Tujuan Lyn campur tepung jagung ialah untuk mengelakkan kuih menjadi terlalu berat kerana tepung gandum sifatnya mampat dan padat. Jadi dengan mencampur tepung jagung tekstur kuih akan jadi ringan sikit.
Kalau takde tepung kastard, ganti je dengan tepung jagung.
Kalau nak warna lapisan kastard tu cantik seeloknya campurkan warna hijau dan kuning.
Elakkan mengukus kuih dengan api yang terlalu kuat dan kukus dengan api sederhana dan panjangkan tempoh kukusan kalau nak kuih tahan lebih lama.
Tunggu kuih seri muka pandan betul-betul sejuk baru boleh potong dengan menggunakan pisau plastik barulah potongan kuih nampak kemas.
Selamat mencuba!
0 comments :
Post a Comment