Siakap Kukus Chinese Style

Saturday, 22 December 2018

Siakap Kukus Chinese Style


Assalamualaikum wbt...


Sejak saya mula mengubah gaya masakan, maknanya kalau dulu kalau masak ikan, saya lebih suka masak ikan masak asam pedas atau kari, tapi sekarang saya lebih gemar memasak ikan kukus dan panggang sebab masakan sebegitu lebih menyihatkan, sekurang-kurangnya boleh kurangkan sikit penggunaan minyak dalam masakan.  Tambahan pula hubby saya kurang gemar masakan pedas dan berempah, jadi menu masakan yang ringkas dan tak terlalu pedas dan berempahlah menjadi pilihan masakan saya sekarang.

Sejak dua menjak ni saya memang kerap memasak ikan kukus ni terutama kalau ada stok ikan siakap kat rumah, mesti masak siakap kukus.  Kadang-kadang je saya masak siakap tiga rasa atau masam manis. 

Ikan siakap kukus ni ada macam-macam cara penyediaannya kan?  Ada yang letak serai , daun limau purut dan daun ketumbar beserta dengan sos ikannya untuk membangkitkan aroma macam makan steamed fish di restoran Thai.  Saya pula tak pernah menggunakan sos ikan atau sos sotong dalam masakan saya.  Entah, tak tau kenapa setiap kali membeli barang di pasaraya, tak pernah teringat nak beli sos ikan atau sos sotong, padahal selalu je lalu-lalang kat kawasan sos dan kicap tu.  Hehe...

Ikan siakap kukus ni selalunya saya masak Chinese style punya.  Memandangkan hubby saya berketurunan Cina, jadi sekali sekala kenalah masak Chinese cuisine, barulah adil dan saksama.
 ðŸ˜†ðŸ˜†ðŸ˜†

Resepi ni saya sesuaikan mengikut citarasa kami berdua dan menu ni memang menjadi antara menu dan lauk kegemaran kami, terutamanya ketika mood memasak saya tak berapa teruja, hehe...bukannya apa, sebab penyediaannya pun sangat mudah, tak perlu nak ketuk bawang bagai, sekejap je penyediaannya tapi hasilnya sangat marvelous tau.  Hubby saya yang selama ni tak pandai nak meratah kepala ikan pun, tapi bila kena ikan siakap kukus ni, habis mata ikan pun dia makan tau. 😅😅😅

Disebabkan ikan siakap yang kami beli tempoh hari bersaiz besar, jadi seekor ikan saya belah dua.  Separuh je saya masak, separuh lagi saya simpan untuk masak hari lain pula.

Jom kita tengok resepinya dulu.

Siakap kukus; sebelum dikukus


Resepi Ikan Siakap Kukus Chinese Style

Bahan-bahan:

1/2 ekor ikan siakap (kalau kecil pakai 1 ekor)
1 ulas bawang putih (kalau kecil pakai 2 ulas) - cincang halus
1 1/2 cm halia - cincang halus
garam secukupnya
sedikit minyak untuk menumis

Bahan sos:

1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap cair
2 sudu besar kicap pekat
1/4 cawan air

Bahan sampingan:

3 biji cili padi -ketuk
1 biji tomato - potong kecil
lobak merah - hiris halus memanjang

Bahan tabur:

Bawang goreng
Hirisan daun sup dan daun bawang

Cara Penyediaan:

  1. Satukan kesemua bahan sos dalam mangkuk kecil.  Ketepikan.
  2. Basuh bersih ikan siakap dan letakkan dalam bekas bujur kalau ada.
  3. Panaskan sedikit minyak.  Tumis sebentar halia dan bawang putih cincang hingga sedikit garing.  Angkat dan tuang ke dalam mangkuk sos beserta dengan minyak lebihan menggoreng tu.
  4. Taburkan lobak merah dan cili padi ketuk  di atas ikan dan susun hirisan tomato di sekeliling ikan.
  5. Panaskan pengukus, tuang campuran bahan sos ke atas ikan dengan rata.  Kukus ikan dengan api sederhana hingga ikan betul-betul masak.
  6. Taburkan dengan bawang goreng dan hirisan daun sup dan daun bawang.

Air tak perlu letak banyak dalam penyediaan sosnya sebab nanti air akan jadi banyak selepas ikan dikukus.  Tengok macam kat gambar ikan kukus saya tu, kan dah bertakung kuahnya tu.  

Ikan siakap kukus ni kalau makan dengan nasi putih je tanpa lauk lain pun dah cukup sedap dah, silap hari bulan nasi dah tambah tiga pinggan pun boleh tak sedar.  Hehe...


0 comments :

Post a Comment