Roti Jala Yang Lembut
Assalamualaikum wbt...
Roti jala.
Kenapa ianya dipanggil sebagai roti jala?
Jawapan paling mudah ialah kerana rupanya yang seperti jala. Tau tak jala tu ape? Haha...jala tu la yang nelayan guna untuk tangkap ikan. 😆😆😆 Bentuknya ada berongga-rongga. Kreatifkan pencipta roti jala ni. Kepada sesiapa yang tak familiar dengan nama roti jala, roti ni juga dipanggil sebagai roti kirai atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai net bread.
Roti jala merupakan antara salah satu makanan kegemaran saya. Dulu sewaktu bekerja di PJ, setiap pagi saya mesti singgah membeli roti jalan dengan sorang makcik ni yang meniaga sarapan pagi dengan anaknya depan pejabat tempat saya bekerja. Sungguh lembut roti jala makcik ni tau. Sampai sekarang masih teringat lagi nostalgia menikmati roti jala makcik ni. Hehe..
Pertama kali saya membuat roti jala ni tanpa menggunakan acuan roti jala. Saya hanya menggunakan botol plastik yang penutupnya saya dah lubangkan. Menjadi juga guna teknik ni. Tapi saya lagi suka pakai acuan roti jala tu, baru ada lebih feel je bila nak menjala roti ni. Hehe..Masa nak menjala pun kena ada tekniknya tau, kalau tangan hayun kuat sangat, alamatnya tertumpahlah adunan roti jala tu nanti. Jadi bila nak menjala atau mengirai roti jala ni, kena lemah gemalai je tau tangan tu. Hehe..
Roti jala biasanya dimakan bersama kuah. Bagi sesiapa yang suka cicah roti jala dengan kuah yang manis, boleh la makan roti jala ni dengan serawa durian. Tapi saya lebih suka makan roti jala dengan kuah kari atau dalca. Memang akan laju je makan tak toleh kiri kanan, lebih-lebih lagi kalau kuah kari pekat dan banyak kentang. Hmm...sapu bersih la jawabnye. 😅😅😅
Saya buat roti jala ni untuk dinner malam tadi. Sebenarnya tak tau nak masak apa. Malam-malam rasa malas je nak makan nasi walaupun roti jala tu carbs jugak kan. 😅😅😅. Cuma bila masak kari senang sikitlah, boleh forward untuk esok sekali untuk bekal hubby ke pejabat. Hehe..Kebetulan santan kotak pun masih ada. So, on je lah projek menjala roti ni semalam petang.
Resepi Roti Jala Lembut
3 cawan tepung gandum
1 biji telur
1/3 sudu teh garam
1 sudu besar minyak masak
3 1/2 cawan air
3/4 cawan santan pekat/santan kotak
1 sudu teh serbuk kunyit/pewarna kuning
- Campurkan kesemua bahan di atas. Adun guna whisk supaya kesemua bahan bercampur rata.
- Tapis adunan supaya tiada ketulan.
- Tuangkan adunan ke dalam acuan roti jala. Sebaiknya jangan terlalu penuh supaya senang proses menjala roti nanti.
- Panaskan kuali leper, oleskan sedikit minyak dan jala roti mengikut kelebaran yang dikehendaki.
- Angkat roti jala bila permukaan tepi dah mula garing dan bahagian atasnya dah kering.
- Lipat roti jala mengikut bentuk yang disukai.
TIPS##
Gunakan api sederhana sewaktu memasak roti jala. Kalau boleh jangan biarkan bahagian bawahnya terlalu garing supaya roti jala tak keras kejung. Asal dah tak lekat je kat kuali dan permukaan atasnya dah tak basah, dah boleh angkat. Kalau nak lagi mudah gunalah kuali non- stick.
Roti jala yang siap di masak jangan dibiarkan terlalu lama terdedah. Simpan roti jala di dalam bekas bertutup supaya udara tak masuk, jadi roti jala akan kekal lembut.
Kalau nak tahu sukatan air dah cukup atau belum, kalau sewaktu menjala, jala yang terhasil gemuk dan lebar bermakna adunan tepung agak cair, sebaliknya kalau bentuk jala kurus dan nipis bermakna adunan agak pekat. Jadi sukatan air boleh ditambah atau dikurangkan mengikut kesesuaian.
Seperti yang saya sebutkan awal tadi, saya lebih suka makan roti jala dengan kuah kari atau dalca kan? Semalam saya padankan roti jala ni dengan kari ayam je sebab kacang dhal takde kalau nak buat dalca. Untuk resepi kari ayam boleh rujuk kat bawah ni.
Resepi Kari Ayam Mudah
4 ketul ayam (potong kecil)
3 biji kentang (potong kecil)
1/4 biji lobak merah (potong wedges)
1/2 labu bawang besar *
4 ulas bawang kecil *
2 ulas bawang putih *
1cm halia *
4 sudu besar cili kisar
sudu besar rempah kari (campur dengan air jadikan pes)
1 ulas bawang kecil (hiris nipis)
1 ulas bawang putih (hiris nipis)
1 kuntum bunga lawang
sedikit kulit kayu manis
3 biji cengkih
3 biji buah pelaga
daun kari (kalau ada)
1 keping asam keping
1 1/2 liter air
1/2 kotak santan
Cara Penyediaannya:
- Kisar halus bahan bertanda *
- Panaskan minyak, tumis bawang putih hiris,bawang merah hiris, cengkih,buah pelaga,bunga lawang, kayu manis dan daun kari hingga naik bau.
- Masukkan cili kisar, diikuti dengan bahan kisar dan tumis hingga agak kering. Masukkan pes kari dan tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan ketulan ayam, air dan garam. Masukkan kentang dan lobak merah bila ayam dah agak lembut.
- Apabila kesemua bahan telah lembut, masukkan asam keping dan santan. Perasakan garam dan gula.
0 comments :
Post a Comment