Biskut Nestum Blackcurrant Enak

Friday, 14 December 2018

Biskut Nestum Blackcurrant Enak


Assalamualaikum wbt semua..
Selamat bersua kembali. Hihi..


Hari entah kenapa mood membuat biskut melanda pula.  Padahal raya jauh lagi kan? Hehe.. Terasa teringin betul nak mengunyah biskut sambil ngadap drama kat tv.. 😋😋😋

Setiap kali pergi bershopping barang dapur di pasar raya, saya asyik mundar-mandir je kat bahagian snek dan biskut tapi tak juga beli akhirnya sebab buntu nak pilih yang mana.  Dah la kebanyakan biskut kilang tu kan sangat lah manis.  Aduhai, risau pulak bila tengok kandungan gula yang terpampang kat bahagian nutrition fact tu kan?  Nanti kalau beli jugak akhirnya saya sorang le kene ngadap untuk habiskan sebab hubby saya alah pulak dengan makanan yang manis sangat macam tu.  Tu yang tak beli tu.

Mula-mula rasa nak abaikan je rase ngidam nak makan biskut ni, tapi semangat tak cukup kuatlah. Haha..mula-mula macam nak buat biskut dahlia, tapi akhirnya tukar plan untuk buat biskut nestum ni pula.  Semalam saya dah beli nestum dan Buttercup sebuku untuk buat biskut nestum ni. (Semangat betul!) 😝😝😝


Resepi biskut nestum ni olahan saya sendiri dengan menggunakan bahan-bahan tambahan yang ada kat rumah.  Saya kurangkan sukatan gula sebab kami memang tak suka makan biskut yang manis sangat.  So, resepi biskut nestum ni memang amat sesuai untuk sesiapa yang teringin nak mengunyah biskut tapi tak nak consume banyak sangat gula, okay? Hehe..tapi harus diingat gula merupakan salah satu faktor untuk merangupkan biskut selain emplex, tepung jagung, tepung beras dan tepung ubi tau.  Jadi, semakin kurang kandungan gulanya, semakin kuranglah kerangupan biskut tersebut.  Contohnya, kuih tart nenas tu, kan tak rangup sebab gulanya sikit kan dalam dohnya, betul tak? Lebih kurang macam tu la..

Kebetulan kat rumah saya ada stok blackcurrant yang saya guna untuk buat chocolate loaf bulan lepas.  Hmm..malangnya hubby kurang suka pula makan roti coklat jadi akhirnya loaf yang lebih tu saya jadikan puding roti coklat..Hamboi,licin terus tau!

Sedap pula kombinasi nestum dan blackcurrant ni tau, rasa lemak-lemak masam gitew!

Baiklah, tanpa membuang masa, jom kita semak dulu bahan-bahan dan cara membuat biskut yang awesome ni.

Biskut Nestum Blackcurrant Enak

Bahan-bahan:

250 gm mentega
130 gm gula (kisar halus)
50 gm susu pekat manis
secubit garam
2 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanila
2 sudu besar serbuk badam
80 gm Nestum original (kisar halus)
100 gm blackcurrant
50 gm cip coklat
100 gm tepung jagung
250 gm tepung gandum
2 sudu teh baking powder
Nestum secukupnya untuk menyalut (tak perlu kisar)
Blackcurrant/cip coklat/ceri untuk hiasan
Sedikit putih telur sebagai agen pelekat

Cara Penyediannya:

  1. Pukul mentega, garam,gula dan susu pekat manis hingga gebu dan kembang menggunakan kelajuan maximum.
  2. Masukkan kuning telur sebiji demi sebiji dan esen vanila.  Pukul hingga sebati.
  3. Ayak tepung bersama baking powder, dan campurkan kesemua bahan kering (tepung, cip coklat,nestum dan blackcurrant)
  4. Masukkan bahan kering ke dalam adunan mentega sedikit demi sedikit.  Gunakan spatula atau tangan dan gaul hingga sebati.
  5. Bungkus doh dalam cling wrap dan rehatkan doh dalam peti sejuk minimum 30 minit. Doh boleh disimpan dalam peti sejuk selama beberapa hari sehingga anda telah bersedia untuk membuatnya.
  6. Bulat-bulatkan doh menjadi bebola kecil dan golek-golekkan bebola ke dalam mangkuk berisi nestum.
  7. Susun dalam dulang pembakar yang dah dialas dengan baking paper dengan jarak lebih kurang 2 cm.  Dengan menggunakan hujung jari telunjuk atau ibu jari, tekan sedikit bahagian tengahnya untuk membuat kolam.  Hiaskan dengan ceri/cip coklat/blackcurrant yang dicelup sedikit dalam putih telur supaya ianya tak tertanggal selepas dibakar.
  8. Bakar dengan suhu 180oC  selama 20 ke 25 minit.
  9. Simpan dalam bekas kedap udara apabila biskut dah betul-betul sejuk.


Saya lupa nak kira berapa keping biskut yang terhasil.  Tapi bila susun dalam balang tu dapat la tiga bekas, 1 bekas yang saiz sederhana tu, dua lagi bekas saiz kecil.  Puas la dapat makan.  Kos membuatnya pun tak la mahal sangat.

TIPS ##

Kalau nak sedap biskut tu tambahlah serbuk badam sikit, bertambah sedap nanti kejadian biskut anda.

Kalau nak lagi sedap lagi, boleh tambah susu tepung juga, saya ada stok tapi bila dah jadi doh baru saya teringat. Hehehe..



0 comments :

Post a Comment