Kacang Panjang Goreng dengan Suhun Sangat Mudah

Sunday, 30 December 2018

Kacang Panjang Goreng dengan Suhun Sangat Mudah


Assalamualaikum wbt..


Sape peminat kacang panjang? 

Setiap kali membeli barang pasar, saya tak pernah lupa untuk membeli kacang panjang.  Ada pelbagai menu yang boleh dimasak dengan menggunakan kacang panjang ni, untuk buat sebagai ulam pun sedap, makan cicah dengan sambal belacan pun jadi!  Selain tu, kacang panjang ni saya suka campurkan dalam masakan ayam goreng kunyit, kacang panjang tumis berlada dengan terung, masak lemak sayur dan sebagai bahan campuran untuk nasi goreng.

Tapi untuk kali ni, saya nak kongsi satu resepi berasaskan kacang panjang yang sangat mudah tetapi sedap!  Ianya dipanggil kacang panjang goreng dengan suhun! Yea!  Hihi..sebenarnya kacang panjang goreng dengan suhun ni ala-ala menu sambal goreng Jawa tu cuma yang ni versi putih, takde kicap.  Bahan campurannya pun cuma kacang panjang dan suhun.  Sambal goreng merupakan menu yang sinonim dengan masyarakat Jawa.  dalam majlis kenduri kendara menu sambal goreng Jawa pasti tidak ketinggalan!  Sambal goreng Jawa ni bukan saja sesuai dihidangkan bersama Nasi Ambeng, tetapi juga amatlah sesuai dijadikan lauk nasi putih untuk dipadankan sama ada dengan ayam masak lemak, kari, kurma atau sambal tumis udang atau ayam. 

Macam yang saya cakap tadi, sambal goreng saya kali ni cuma hanya mengandungi dua bahan, iaitu kacang panjang dan suhun dan dimasak dengan bawang, cili dan ikan bilis.  Menepati dengan konsep masakan ringkas, saya padankan sambal goreng simple saya ni dengan sambal tumis telur pecah untuk bekalan hubby ke pejabat.

Sebenarnya untuk memasak sambal goreng ala Jawa ni, bahan campuran asas yang perlu ada ialah suhun, tak kiralah sambal goreng Jawa yang berkicap atau yang putih plain je.  Bahan sampingan lain macam tempe, kentang, tauhu, tauhu kering, kacang panjang, udang, hati dan pedal ayam,lobak merah dan sayuran lain boleh dipelbagaikan sesuai dengan kehendak dan citarasa.  Lagi banyak suhun lagi best! Hehe.. Cuma satu je nak kena pastikan..suhun jangan masak terlampau lama dan suhun ni dimasukkan last bila bahan-bahan lain dah dimasukkan.  Lagi satu, penting juga ni...air jangan letak banyak sangat, nanti kang elok-elok nak masak sambal goreng akhirnya jadi sayur tumis air pulak.. 😜😜😜

Resepi Kacang Panjang Goreng Dengan Suhun Mudah

Bahan-bahan:

4 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih*
4 biji cili padi*
secubit ikan bilis*
10 batang kacang panjang (potong serong nipis)
segenggam suhun (rendam dalam air sebentar)
2 sudu besar minyak untuk menumis
Sedikit air
Garam
Gula

Langkah Penyediaan:

  1. Tumbuk halus semua bahan bertanda *.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk sehingga agak garing dan naik bau.
  3. Masukkan sedikit air.  Masukkan kacang panjang, garam dan gula.  Gaul sebentar.
  4. Akhir sekali, bila air dan agak kering masukkan suhun.  Gaul rata sehingga suhun bercampur rata dan terlerai.
#TIPS#

Kalau nak sedap, sila guna kacang panjang muda, yang masih segar dan crunchy.  Kalau nak tau kacang panjang muda ke tua, cuba picit kacang panjang tu.  Kalau ada banyak ruang kosong dan timbul biji-biji kacang tu bermakna kacang panjang anda sudah senja usianya okay.  Hehe...

Suhun tu kalau agak panjang boleh gunting bagi pendek sikit.  Air make sure jangan letak banyak, cukup sekadar untuk melembutkan sedikit kacang panjang.  Kena pandai agak sukatan air okay.

Resepi ni dapat menghasilkan semangkuk kacang panjang goreng dengan suhun bersaiz sederhana.  Cukuplah untuk 2 orang makan.



Selamat mencuba!

0 comments :

Post a Comment