Bubur Lambuk Udang

Sunday, 30 December 2018

Bubur Lambuk Udang


Assalamualaikum wbt semua...


Kali ni saya nak berkongsi resepi bubur lambuk yang saya masak hari Rabu minggu lepas.  Resepi ni lebih kurang sama je dengan resepi bubur asyura yang saya pernah kongsikan sebelum ni, cuma bezanya untuk bubur lambuk ni saya menggunakan udang basah dan saya tak letak udang kering dalam resepi bubur lambuk udang ni.

Sebenarnya, saya dan hubby sangat suka makan bubur lambuk.  Jadi bubur lambuk ni kalau kat rumah kami bukan saja akan wujud waktu meraikan Hari Asyura, bila-bila je rasa tekak ni nak makan bubur lambuk terus on je projek memasak bubur lambuk ni. 😋😋😋

Dulu masa saya kecil, bila tiba je Hari Asyura bonda saya pasti akan menyediakan bubur lambuk.  Bubur lambuk tu kemudiannya kami akan agih-agihkan kat jiran tetangga dan saudara terdekat.  Lepas tu jiran-jiran dan saudara terdekat pun akan "munjung" bubur lambuk juga kat kami.  ("Munjung" tu bahasa Jawa, maksudnya menghadiahkan makanan.  Saya cakap "menghadiahkan" sebab perkataan ni lebih sesuai dari perkataan "sedekah".  Sebab kalau sedekah tu lebih tepat kalau kita hadiahkan makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan.  Betul tak? Hehe...Okay, nak sambung balik cerita pasal bubur lambuk yang bonda saya masak tu.  Selalunya bubur lambuk versi bonda saya diletakkan rempah kari dan kerisik.  Memang boleh katakan wajiblah dua bahan tu.  Kiranya bubur lambuk berperisa kari la.  Sedap juga..kepada peminat kari boleh cuba bubur lambuk perisa kari ni okay? Hihi..

Tapi bila dah membuat sendiri bubur lambuk ni, belum pernah lagi saya letak rempah kari.  Saya lebih suka bubur lambuk biasa atau yang berperisa seakan sup atau biryani.  Rasa rempah tapi ringan saja.  😆😆😆

Waktu saya buat bubur lambuk ni minggu lepas sebenarnya ialah keranan hubby kurang sihat. Incik hubby saya diserang penyakit ulser mulut yang agak teruk! Dah la tu, siap ada dua bijik ulser lagi!  Tu yang seksa je bila nak makan dan mengunyah makanan tu. Kesian pula saya tengok.  Muram je muka tu.  Itu yang teringat nak masak bubur lambuk ni, senang sikit nak makan, tak pedas dan tak perlu nak mengunyah sangat.  Saya pun hanya menggunakan ketulan daging ayam bahagian isi tu je, tak guna daging pun.  Lagi pun, bubur ni kan memang makanan yang sinonim dengan orang sakit.  Asal sakit je bende pertama nak masak mesti bubur.  Betul tak? 😅😅😅.  Alhamdulillah, selepas menjamu selera beberapa mangkuk bubur lambuk udang ni keadaan ulser mulutnya kian membaik.  Hahaha...Hebat betul kan penangan bubur lambuk udang ni.  😁😁😁

Tanpa membuang masa, jom kita tengok resepi untuk mebuat bubur lambuk udang yang istimewa ni.  Orang sakit boleh makan, orang sihat lagilah boleh makan.  Hehe..

Bubur Lambuk Udang

Bahan Kisar:

1 biji bawang besar (kalau besar pakai 1/2 je)
7 ulas bawang merah
3 ke 4 ulas bawang putih
2 cm halia
2 1/2 sudu besar ketumbar (rendam dulu)
1 sudu besar jintan manis (rendam dulu)
3 sudu besar rempah sup

Bahan untuk Bubur:

2 cawan beras (basuh bersih)
2 ketul isi ayam (potong kiub)
1/2 kg udang basah (buang kepala dan ekor)
2 helai daun pandan
4 sekawan (cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga)
Minyak untuk menumis
Air secukupnya
1 kotak kecil santan (saya pakai santan KARA)
Garam secukupnya
1 sudu kecil lada hitam (tumbuk halus)
1/3 kiub pati ayam
2 biji kentang (potong kiub) - optional
1/3 cawan kacang tanah - optional
1/4 batang lobak merah (potong kiub) - optional
1/3 cawan jagung biji - optional

Bahan Sampingan:

Bawang goreng
Hirisan daun sup dan daun bawang
Hirisan cili merah
Sambal kicap

Cara Penyediaan:

  1. Kisar halus kesemua bahan kisar.
  2. Panaskan minyak dalam periuk yang agak besar, tumiskan 4 sekawan dan bahan kisar sebentar hingga agak garing dan naik bau.
  3. Masukkan beras, air, daun pandan, garam dan kiub pati ayam.  Reneh hingga beras agak kembang dengan menggunakan api sederhana.  Kacau selalu supaya tak hangus bahagian bawahnya.
  4. Masukkan ayam, udang, kentang dan kacang tanah bila beras dan mengembang dan agak lembut.
  5. Masukkan potongan lobak merah, jagung biji dan lada hitam tumbuk.  Tambah air jika perlu kerana beras akan mengembang.
  6. Bila beras dan menjadi agak halus dan lembut, masukkan santan.  Sedia dinikmati!

TIPS##

Walaupun bubur lambuk ni takde kerisik, tapi rasanya cukup lengkap.  Kalau nak lebih sedap boleh tumis bahan kisar dengan menggunakan minyak sapi.  Daun pandan tu kena letak untuk mengharumkan bubur lambuk ni.

Kami memang akan makan bubur lambuk ni dengan sambal kicap.  Tak lengkap kalau sambal kicap takde.  Tambahan pula, rasa bubur lambuk seakan-akan rasa sup, jadi memang sesuai sangatlah kalau santap bersama sambal kicap.

Untuk sukatan beras, saya menggunakan cawan standard untuk baking tu, jadi kejadiannya bubur lambuk udang ni agak banyak.  Boleh makan untuk 5 ke 6 orang.

Untuk lada hitam tu, kaau suka pedas boleh tambah lagi.  Kalau pada saya dah okay dah kepedasan tu sebab kami makan bubur lambuk udang ni dengan sambal kicap.  Jadi memang saya buat bubur ni tak pedas sangat.


Selamat mencuba! 😀😀😀

0 comments :

Post a Comment