Nasi Goreng Daging Dengan Jagung Menu Sarapan Ringkas
Assalamualaikum wbt
Selamat pagi semua!
Sejak malam tadi saya dah plan nak masak menu yang ringkas saja untuk bekalan dan sarapan pagi hubby saya untuk hari ni. Disebabkan beras perang ni kalau nak menanaknya agak mengambil masa berbanding beras putih, jadi hari ni saya tak bekalkan nasi berlauk untuk bekalan hubby ke pejabat.
Fikir punya fikir nak masak ape, teringat pula dalam freezer masih ada stok daging cincang dan jagung biji frozen, terus terfikir nak masak nasi goreng. Senang, boleh buat sarapan dan bekalan sekali gus! Nasi dah masak siap-siap malam tadi, daging cincang dan jagung pun dah keluarkan dari freezer malam tadi. Saya masak 1 pot beras perang, pot tu saya saya pakai breadmaker pot, jadi saiznya lebih besar berbanding pot untuk rice cooker tu. Jadi, nasi yang terhasil lebih banyak.
Ringkas saja penyediaan nasi goreng daging dengan jagung ni. Ala-ala nasi goreng cina tu, cuma saya tak letak lada sulah.
Jom tengok resepinya dulu.
Nasi Goreng Daging Dengan Jagung
Bahan-bahan:
3 cawan nasi
1/2 cawan daging cincang
segenggam jagung biji
1/2 labu bawang Holland - hiris nipis
2 ulas bawang putih - ketuk dan cincang
3 biji cili padi - ketuk
1 biji cili merah - hiris nipis
1 biji telur
sedikit kiub ayam
garam
2 sudu besar kicap cair
minyak untuk menumis
hirisan daun bawang untuk hiasan
Langkah Penyediaannya:
- Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang putih cincang dan bawang Holland hiris sebentar hingga agak garing.
- Masukkan daging cincang,jagung biji, cili padi ketuk dan cili merah hiris. Goreng sebentar hingga daging masak.
- Kuak bahan goreng ke tepi dan pecahkan sebiji telur di bahagian kuali yang gosong supaya tak bercampur dengan bahan goreng dalam kuali tadi. Biarkan telur agak masak dan bila telur dan hampir masak, pecah- pecahkan dengan sudip dan gaul rata dengan bahan goreng biar sebati.
- Masukkan kiub ayam, nasi dan kicap cair. Gaul rata.
- Akhir sekali tambah garam secukupnya.
- Sedia dihidang. Taburkan sedikit hirisan daun bawang sebagai hiasan.
Kalau nak mengurangkan penggunaan minyak, boleh guna kuali non-stick, jadi minyak tak perlu letak banyak. Nasi goreng daging ni walau dah sejuk rasanya pun masih juga sedap. Tak rugi mencuba, sebab penyediaannya sangat mudah.
Kalau anda ada stok lobak merah, kacang panjang, kacang peas dalam tin dan sawi boleh campurkan ke dalam nasi goreng daging anda. Lebih banyak sayur lebih baik. Kalau suka, boleh juga letak sedikit sos tiram sebagai penambah rasa. Saya tak letak sos tiram sebab rasa nasi goreng akan jadi kurang sedap kalau dimakan waktu ianya dah sejuk.
Resepi ni boleh makan untuk 2 ke 3 orang. Boleh gandakan bahan-bahan untuk portion hidangan yang lebih besar.
Selamat mencuba!
0 comments :
Post a Comment