Tempe Ikan Bilis Sira Pedas

Saturday, 13 October 2018

Tempe Ikan Bilis Sira Pedas


Assalamualaikum wbt...salam sejahtera semua...



Saya nak buat pengakuan jujur.

Saya dan hubby peminat tegar tempe. Kalau beli barang di pasar atau pasar raya, tempe mesti masuk dalam list sekali. Pernah satu ketika tu, masa tu kami tengah kemaruk berdiet tak makan carbs, jadi bila beli barang penuh la satu troli tu dengan segala nika sumber protein dan sayur, termasuk lah tempe. Hubby pernah ambik tempe yang dalam plastik tu sampai 10 keping sekali gus, sampai ada la sorang makcik ni yang kebetulan berada dekat-dekat dia tersengih je nampak dia sibuk ambik tempe. Mesti makcik tu heran Cina pun pandai makan tempe. Haha... Kelakar betul insiden tu bila fikir-fikir balik.

Tempe ni salah satu menu wajib orang Jawa sebenarnya. Selalu kalau kat kampung, bonda masak tempe sambal cili padi. Sedap jugak. Tak pun buat sambal goreng. Kalau masuk dalam kuah lodeh atau lontong pun sedap. Tapi hidangan tempe yang paling senang ialah tempe goreng cicah sambal kicap. Itu memang menu tempe yang paling win. Hehe..

So, nak dijadikan cerita, walau pun sekarang kami dah tak 100% diet rendah carbs, tapi stok tempe mesti kena ada. Kalau saya malas nak masak ayam, ikan atau daging, selalunya saya akan masak menu berasaskan tempe.

Resepi yang saya nak kongsikan kali ni ialah menu ringkas berasaskan tempe yang orang selalu buat iaitu tempe ikan bilis sira pedas. Ada jugak orang panggil menu ni ialah sambal tempe ikan bilis. Dua-dua pun boleh, asalkan sedap! Saya jarang masak tempe sira ni, sebab selalunya tak teringat nak masak menu ni. Saya tak lah suka sangat tempe sira ni. Tapi setiap kali makan di gerai makan, hubby mesti ambik lauk tempe ni kalau ada. Tu yang buat saya tergerak hati nak masak sendiri je. Bahan-bahannya pun mudah dan cara membuatnya pun tak susah.

Jom kita semak resepinya.

Tempe Ikan Bilis Sira Pedas

Bahan-bahan yang diperlukan:

1 keping tempe dalam plastik (potong panjang dan nipis)
1 genggam ikan bilis
1 genggam kacang tanah (optional)
1 atau 2 ulas bawang kecil *
1 ulas bawang putih *
4 sudu besar cili kering kisar
1/2 atau beberapa hiris bawang besar *
1/6 ketul gula Melaka (atau ikut citarasa)
1/2 sudu teh garam
minyak untuk menggoreng dan menumis

Langkah penyediaannya:

  1. Tumbuk halus bahan bertanda *.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng tempe, ikan bilis dan kacang tanah hingga garing. Angkat dan toskan.
  3. Kurangkan sedikit minyak jika perlu. Menggunakan kuali dan minyak yang sama, tumis cili kering dan bahan tumbuk sebentar. Kemudian masukkan gula Melaka dan garam. Tumis hingga pecah minyak.
  4. Bila bahan tumis dah garing baru masukkan tempe, kacang tanah dan ikan bilis yang dah digoreng tadi. Padamkan api dan gaul kesemua bahan hingga rata.
Sedia dihidang.



Mudah je kan nak membuatnya. Ni kali kedua saya buat tempe sira ni. Semalam saya masak tempe ni jugak sebagai lauk bekalan hubby ke office, hari ni dia request lagi nak makan tempe sira ni. Sedap sangat katanya. Saya pulak suka meratah macam tu je tempe sira ni, rasanya lebih kurang macam makan popia sira pedas tu.

Lepas ni boleh la buat tempe sira pedas banyak-banyak, lepas tu simpan dalam tupperware kedap udara, boleh buat snek sambil tengok tv. Yea!

Selamat mencuba!

0 comments :

Post a Comment