Resepi Laksam Mudah

Wednesday, 7 November 2018

Resepi Laksam Mudah


Assalamualaikum wbt.
Salam sejahtera semua...


Laksa merupakan antara makanan signature orang Malaysia.  Yang uniknya, boleh dikatakan hampir setiap megeri mempunyai trademark laksa tersendiri.  Contohnya, negeri Johor terkenal dengan laksa johornya.  Laksanya berperisa kari dan kuahnya bersantan dan dimakan dengan mee spageti.  Manakala Pulau Pinang berbangga dengan laksa Penang mereka yang hampir serupa dengan laksa negeri Kedah yang dipanggil laksa kedah dengan kuah yang masam-masam pedas.  Kelantan pula terkenal dengan laksamnya dengan kuah yang berwarna putih bersantan dan dimakan dengan mee tepung beras yang bergulung seperti mee Chee Chor Fun, menu sarapan pagi masyarakat Cina.  Bezanya mee tepung beras untuk laksam agak kenyal dan teksturnya sedikit keras berbanding mee tepung beras untuk Chee Chor Fun.  Selain itu, kita juga ada laksa Sarawak yang menggunakan bihun.  Persamaan ketara antara kesemua laksa ini ialah penggunaan ikan sebagai bahan utama kuahnya.  Tapi topik yang saya nak celotehkan dalam entry ni ialah laksam.

Dulu saya tak pernah kenal pun makanan yang dipanggil laksam ni.  Tak tau pun macam mana rupa laksam ni.  Dulu, sewaktu bekerja di pejabat lama di PJ, saya ada juga ternampak mee yang digulung seperti mee Chee Chor Fun dalam bungkusan bersama kuah berwarna putih setiap kali singgah membeli nasi kerabu di sebuah gerai di pasar pagi.  Tapi tak pernah terfikir pula yang itu laksam.  Tapi semenjak merasa laksam yang dibuat oleh kakak seorang kawan sepejabat, saya dan hubby terus jatuh cinta pula dengan keenakan rasa laksam ni.  Semenjak dari itu, saya pun belajar untuk membuat laksam sendiri di rumah.  Pembuatan kuahnya mudah saja, cuba yang agak melecehkan ialah nak membuat mee tepung beras tu sebab untuk membuatnya memang memerlukan semangat dan kegigihan yang jitu untuk melapis, mengukus dan seterusnya menggulung satu per satu mee nya.  Tambahan pula, saya cuma pakai satu tudung periuk saja.  Jadi kerja menyudahkan pembuatan meenya agak mengambil masa.

Tapi nak buat macam mana, dah teringin sangat nak makan jadi merajinkan diri juga untuk membuatnya. Hehe.. Kuah laksam boleh disediakan awal, cuma mee tepung beras tu je yang tak boleh tahan lama, kecuali kalau simpan dalam peti sejuk.  Tapi bila dah simpan dalam peti sejuk meenya akan jadi sedikit keras dan kurang sedap.  Jadi lebih baik adjust sukatan meenya tu supaya tak terlebih dan tak terkurang. Hehe..

Jom kita tengok resepinya.

Resepi Laksam Mudah

Untuk Kuah:

Bahan-bahan:

3 ekor ikan kembung saiz sederhana (rebus dengan sedikit garam dan asingkan tulang)
6 ulas bawang merah (yang saiz agak besar tu) *
1 labu bawang besar *
3 ulas bawang putih *
1 sudu teh serbuk lada hitam
2 kotak santan saiz kecil (saya pakai KARA)
2 batang serai (diketuk)
1 atau 2 keping asam keping
garam
2 1/2 liter air

Cara-cara:

  1. Jerang air dalam periuk.
  2. Kisar halus kesemua bahan bertanda *. Campurkan ke dalam air
  3. Kisar isi ikan yang dah diasingkan tulangnya.  Campurkan ke dalam periuk tadi.
  4. Masukkan lada hitam, serai, asam keping dan garam
  5. Apabila kuah telah mendidih masukkan santan.
Untuk mee tepung beras, resepi asal saya ambil dari blog Kak LinaPG, tapi saya lebihkan sedikit air untuk mee yang lebih lembut.

Mee Tepung Beras.

Bahan-bahan:

3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh garam
5 cawan air suam (saya letak 5 1/2 cawan)
Minyak secukupnya untuk melenser tudung periuk
1 tudung periuk
1 spatula untuk menggulung mee

Cara-cara:
  1. Didihkan air dalam pengukus.
  2. Sementara, campurkan kesemua bahan di atas.
  3. Lenserkan tudung periuk dengan minyak, tuangkan sesenduk adunan tepung beras ke atasnya.  Kukus menggunakan api besar.  Keluarkan tudung periuk dari kukusan apabila gelembung-gelembung dah terbentuk di permukaan mee tepung beras anda.
  4. Terus gulung dengan menggunakan spatula.
  5. Ulang langkah 3 dan 4 hingga adunan habis.
Disebabkan kuah laksam tak diletak cili, makanya lebih lengkap kalau ianya disantap bersama sambal cili merah.  Untuk penyediaan sambal cili, anda boleh sesuaikan dengan citarasa anda. Kalau anda penggemar makanan pedas, boleh lah menggunakan cili padi yang berwarna merah tu.  Saya hanya menggunakan cili merah besar sepenuhnya kerana hubby saya tak tahan pedas sangat.

Resepi Sambal Cili

8 biji cili merah besar
1 inci belacan dibakar
garam
gula
air asam jawa
sedikit air

Kisar kesemua bahan di atas.  Supaya sambal cili anda tahan lama, masak sebentar di atas api hingga agak pekat.

Untuk ulam-ulaman laksam ni pula, bahan-bahannya ialah:

Timun (hiris nipis memanjang)
Kacang panjang (hiris nipis)
Bunga kantan (racik halus)
Taugeh (buang ekor)
Kobis (hiris halus)
Limau sambal/ limau nipis


Resepi ni boleh makan untuk 4 ke 5 orang.  Disebabkan tudung periuk yang saya gunakan bersaiz kecil, untuk resepi mee beras dengan sukatan di atas saya dapat menghasilkan dalam 18 batang mee.  
Sampai ke esok paginya kami makan laksam ni.  Memang puas makan kalau buat sendiri.

Selamat mencuba!

0 comments :

Post a Comment