Peria Goreng Telur Simple

Thursday, 13 September 2018

Peria Goreng Telur Simple








Masa saya kecik, saya memang kurang suka makan peria sebab rasanya pahit. Bila makan, pahitnya terasa je dekat lidah, macam makan ubat. Bila bonda masak peria, saya langsung tak jamah.

Tapi bila usia menginjak dewasa ni, selera dah bertukar pula. Dari tak suka menjadi suka :)
Tambahan pula bila saya dah mengetahui khasiat buah peria ni saya pun memaksakan diri untuk suka makan peria. 

Khasiat peria yang paling umum diketahui ialah boleh mengawal dan menurunkan paras gula dalam darah. Buah peria mengandungi sekurang-kurangnya 3 agen aktif yang bertindak sebagai anti-diabetes iaitu charantin. Charantin ialah agen anti-diabetes yang mempunyai efek penurun paras gula dalam darah. Dua lagi ialah vicine dan polypeptide-p, sejenis compound menyerupai insulin.(12)

Selain tu, peria juga diperkaya dengan pelbagai jenis vitamin, mineral dan juga merupakan salah satu agen antioksida yang baik untuk tubuh badan kita.  Kesimpulannya, pahit itu memang ubat .Hehehe...

Resepi peria goreng telur memang dah berzaman dah, sejak zaman Tok Kaduk lagi...tapi takpelah, saya selitkan juga bagi sesiapa yang ingin merujuknya.

Jom kita semak resepi peria goreng telur yang simple ni:


Bahan-bahannya:

1 biji peria saiz sederhana (hiris nipis dan rendam sekejap dalam air garam)
3 ulas bawang merah *
1 ulas bawang putih *
3 biji cili padi *
5 atau 6 ekor ikan bilis *
1 batang cili merah (hiris nipis )- optional
2 biji telur
sedikit air
garam
minyak untuk menumis


Langkah Penyediaannya:


  1. Tumbuk halus bahan bertanda *.
  2. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk sampai naik bau.
  3. Masukkan sedikit air, peria dan cili merah. Goreng sekejap.
  4. Pecahkan telur dan masukkan dalam kuali tadi. Kacau rata.
  5. Masak hingga telur agak garing dan perasakan dengan garam.  Sedia dihidang!

Memang sedap kalau makan peria goreng telur ni dengan nasi panas dan ikan masin. Tak pandang dah lauk lain >.<


NOTA#

Kalau nak lagi sedap guna lah telur ayam kampung. Dulu saya pernah makan peria goreng telur ni di rumah arwah guru agama saya, beliau masak guna telur ayam kampung rasanya memang lain dan special.


Selamat mencuba!

0 comments :

Post a Comment