Ikan Tengiri Asam Pedas Ala Johor

Thursday, 13 September 2018

Ikan Tengiri Asam Pedas Ala Johor





Asam pedas memang menjadi makanan kegemaran bonda. Saya memasak asam pedas ikan tengiri ni kerana memenuhi keinginan bonda saya yang dah lama tak merasa asam pedas air tangan saya. Hehehe..

Bonda saya pernah cakap, dulu mereka orang Jawa memang tak reti buat asam pedas, sebab asam pedas merupakan makanan Melayu bukan Jawa. Tu yang orang Jawa asalnya tak reti buat. Orang Melayu buat asam pedas pakai cili kering, orang Jawa pulak hentam pakai cili padi..hehehe..mane la nak jadik kan...

Tapi sekarang zaman dah berubah, asam pedas menjadi makanan signature bukan hanya pada bangsa Melayu, tapi juga Jawa dan Nyonya..Semua bangsa pun kenal ape tu asam pedas, dan tau cara nak masak asam pedas mengikut citarasa tersendiri.

Apa yang menbuatkan asam pedas ni istimewa ialah keenakan rasanya. Rasa pedas cili kering dan masam asam jawa dan buah tomato dilengkapkan dengan gula dan garam yang memberi rasa manis dan masin pada asam pedas. Ianya sebuah sajian istimewa yang tak lekang dek panas tak lapuk pula dek hujan. :)

Bahan asas asam pedas ni semua hampir sama cuma isinya boleh diganti dengan pilihan masing-masing. Kalau suka ikan letak la ikan, kalau suka ayam dan daging letak la ayam dan daging. Terpulang pada citarasa.

Resepi asam pedas agak berlainan mengikut negeri. Tapi yang akan saya kongsikan kali ni ialah asam pedas dari tanah air saya, iaitu asam pedas Johor. Yang ni memang copycat resepi bonda betul ni, saya takde ubah sikit pun. :)

Bahan-bahannya:

4 kelar ikan tengiri
5 senduk pes cili kering atau 20 tangkai cili kering (rebus dan blender)
1 biji bawang besar *
4 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1 cm halia *
1 cm kunyit hidup *
sedikit belacan *
sedikit ikan bilis *
air asam jawa
air secukupnya (dalam 1 1/2 liter)
6 batang kacang bendi 
1 biji tomato (belah 4)
sedikit daun kesum - optional
1/2 batang bunga kantan - optional
garam
gula
minyak untuk menumis

Langkah penyediannya:


  1. Kisar halus semua bahan bertanda *.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan cili kering sebentar, kemudian masukkan bahan blender dan tumis sampai pecah minyak.
  3. Masukkan air dan biarkan mendidih sekejap. Kemudian masukkan ikan, daun kesum dan kacang bendi. Perasakan dengan garam dan gula.
  4. Masukkan air asam jawa dan tomato.




Sedia dijamu dengan nasi putih dan ulam-ulaman cicah sambal belacan. Memang terbaik!


0 comments :

Post a Comment