Menu Lunch Box 3 : Kari Daging Korban Istimewa
Tiba-tiba hari semalam saya teringat nak membuat kari daging memandangkan stok daging korban Raya Haji yang dibekalkan oleh keluarga saya di kampung masih ada lagi.
Kali ni kari daging yang saya buat lain sikit sebab saya campur sekali dengan tulang nya! Asalnya tulang lembu tu saya nak simpan untuk buat sup tulang, tapi tak jadik sebab bila fikir balik kalau buat sup susah pulak nak bekalkan suami ke pejabat, baik buat kari lebih multi purpose sikit. Yeah!! Jadi tukang masak ni kena pandai rancang masakan yang kita nak masak tu supaya lebih praktikal. Boleh padankan dengan pelbagai menu!
Kari daging untuk bekalan suami hari ni sebenarnya lebihan kari daging yang saya buat semalam untuk makan dengan roti jala. Biasanya lauk pauk yang memerlukan masa untuk disediakan saya dah masak pada malam hari terus, jadi esok pagi-pagi tinggal panaskan dan masak sayur pulak. Saya pulak bukan jenis yang boleh buat kerja last minute, boleh jadi haru -biru dibuatnya, nanti last-last jadi stress pulak!
Apa kata kita semak dulu resepi kari daging korban istimewa ni.
Bahan-bahannya:
700 gm daging bersama tulang lembu (potong kecil)
1 1/2 ulas bawang besar *
5 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
2 cm halia *
3 sudu besar pes cili kering
3 sudu besar rempah kari daging (jadikan pes)
1 biji bunga lawang
sedikit kulit kayu manis (1 batang belah kecil)
4 biji buah pelaga
4 biji cengkih
daun kari
1 ulas bawang merah (hiris nipis)
1 ulas bawang putih (hiris nipis)
1 batang serai (diketuk)
1/2 kotak kecil santan KARA
air
4 biji kentang (potong kecil)
1 keping asam keping (kalau besar letak separuh)
minyak untuk menumis
gula
garam
- Kisar halus bahan bertanda *
- Panaskan minyak. Tumis 4 sekawan, daun kari, bawang putih dan bawang merah yang telah dihiris nipis sampai naik bau. Masukkan pes cili kering dan bahan kisar. Tumis hingga agak kering airnya.
- Masukkan pes rempah kari dan tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan air secukupnya untuk mereneh daging, daging dan serai. Masukkan garam. Tutup periuk dan biarkan daging empuk.
- Masukkan kentang dan biarkan kentang lembut.Masukkan asam keping dan santan. Perasakan garam dan gula.
Untuk sayur pulak, saya masak sambal goreng kacang dan su'un. (orang putih cakap glass noodle
>.<)
Bahan-bahan :
10 batang kacang panjang (potong serong)
segenggam su'un (rendam dan toskan)
3 ulas bawang merah *
1 ulas bawang putih *
3 biji cili padi *
5-6 ekor ikan bilis *
sedikit air
minyak untuk menumis
garam
Cara membuat:
- Tumbuk halus bahan bertanda *.
- Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk.
- Masukkan sedikit air, kacang panjang, garam,
- Akhir sekali masukkan su'un.
0 comments :
Post a Comment