Ayam Masak Halia Simple

Tuesday, 20 November 2018

Ayam Masak Halia Simple



Assalamualaikum semua...Salam Maulidul rasul 1440H. Seperti yang diketahui, tema sambutan Maulidul rasul tahun ialah Menyantuni Ummat, Membawa Rahmat. Tarikh 12 Rabiulawal merupakan tarikh penting dalam kalendar seluruh umat Islam kerana pada tarikh tersebutlah junjungan kita para umat Islam Nabi Muhammad SAW dilahirkan.  Jadi,marilah kita sama-sama memperbanyak selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW sempena hari keputeraan baginda Rasullallah.

Lama juga rasanya saya tak jengah blog saya ni.  Sibuk dengan urusan lain sejak dua menjak ni.  Banyak dah menu waiting in list yang perlu di update dalam blog.  Harap-harap masih ingat lagi la resepinya.  Hehe..

Ayam masak halia ni saya masak untuk lauk makan tengah hari tadi dan juga untuk bekalan hubby ke pejabatnya. Hari ni kesihatan saya kurang baik, jadi hanya mampu sediakan menu yang ringkas saja.  Yang penting mesti sedap! Hehe..Menu ni antara menu kegemaran kami selain ayam masak paprik dan ayam masak kunyit.  Masak sejenis lauk dan masukkan je sekali sayur.  Senang kerja!

Terkenang kisah pertama kali masa saya buat ayam masak halia ni.  Saya lupa nak goreng dulu ayamnya.  Jadi kejadian ayam masak halia saya tu dah jadi lebih kurang macam ayam kukus halia ala-ala Chinese style! Tapi sebenarnya terpulang pada citarasa masing-masinglah nak buat cara mana ayam masak halia tu kan.  Asalkan sedap dan kena dengan tekak.  Tapi saya lebih suka kalau ayamnya digoreng sebentar bagi garing sikit, macam nak masak ayam masak merah tu.

Saya masak ayam halia ni pun dengan menggunakan saki baki bahan-bahan masak yang ada dalam peti sejuk je.  Ayamnya pula saya guna yang bahagian dada kerana bahagian tu je yang tinggal dalam freezer. Hehe..Untuk ayam tu, boleh je kalau tak potong kecil-kecil, terpulang ya..Kacang panjang yang saya campurkan dalam ayam masak halia ni pun dah agak tua. Sayang kalau dibuang macam tu je.  Lagipun belum busuk lagi.  Hmm...takpe lah kan dari membazir.  >.<

Jom kita semak resepinya.

Resepi Ayam Masak Halia Simple

Bahan-bahan:

4 ketul ayam
garam secukup rasa
1/2 labu bawang Holland (potong nipis)
2 ulas bawang putih (cincang)- kalau besar pakai 1 ulas je
1 cm halia (cincang atau potong nipis memanjang)
3 biji cili padi (ketuk)
1 biji lada merah (hiris nipis)
2 batang kacang panjang (potong pendek)
1/4 lada benggala (potong kecil)
sedikit air
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
1 sudu besar tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
garam secukup rasa
Daun bawang untuk hiasan

Cara Penyediaan:

  1. Basuh bersih ayam dan gaul dengan sedikit garam.  Boleh potong kecil ayam kalau suka.  Goreng hingga separuh garing.  Angkat dan ketepikan.
  2. Dengan menggunakan minyak dan kuali yang sama, tumis bawang Holland, bawang putih dan halia sebentar hingga naik bau dan layu.
  3. Masukkan air, sos tiram, kicap, cili padi ketuk, lada merah, kacang panjang dan lada benggala.  Kacau sebentar.
  4. Masukkan ayam yang dah digoreng tadi dan tambah garam.  
  5. Akhir sekali masukkan air bancuhan tepung jagung.  Kacau sebentar dan angkat.
  6. Sedia dihidang!  Taburkan hirisan daun bawang.

Mudah je kan cara membuatnya.  Saya suka ayam masak halia saya gelap sikit warna kuahnya jadi saya tambahkan kicap.  Kalau tak suka kuih jadi likat tak perlu tambah tepung jagung.  Memang sedap makan panas-panas dengan nasi panas.

Selamat mencuba!


0 comments :

Post a Comment