Sambal Ikan Bilis

Friday, 12 October 2018

Sambal Ikan Bilis




Sambal ikan bilis merupakan menu yang sangat common dalam masakan Melayu. Apa taknya, pelbagai hidangan Melayu memerlukan sambal ikan bilis sebagai menu sampingan. Contohnya yang paling jelas ialah nasi lemak. Tak lengkap kan nasi lemak kalau dimakan tanpa ada sambal.

Antara contoh lain, lontong dan pau sambal.. (setakat tu je yang saya terfikir) Hehe...Ada lagi, sambal ikan bilis kalau makan dengan nasi putih kosong, ubi kayu rebus, cekodok dan roti putih pun sangat sedap. Bak kata orang, "layan jer.."

Kesimpulannya, sambal ikan bilis pelengkap segala menu. Kihkih..

Dulu, masa saya kecil, bonda jarang masak sambal ikan bilis ni kecuali kalau nak masak nasi lemak, baru lah nampak bayang ikan bilis ni kat dapur.  Disebabkan kami orang Jawa, jadi di rumah kami lebih kerap ada sambal tumis cili padi berbanding sambal tumis ikan bilis ni yang menggunakan cili kering.

Tips nak menyedapkan sambal ikan bilis ni ialah penggunaan cili tu sendiri. Kalau boleh, jangan la guna cili boh atau cili yang dah siap kisar tu sebab rasa dia lain, tak sama. Kalau nak sambal ikan bilis asli wajib pakai cili kering kisar sendiri jugak. Baru sedap. Lepas tu, pilih cili kering yang berkedut sikit dan tak berapa kilat, kalau pilih yang kilat tu nanti sambal anda akan sangat pedas walau pun biji cili kering dah dibuang. Boleh tercabut telinga nanti sebab pedas yang amat! >.<

Kalau nak lebih mengenali jenis-jenis cili kering boleh rujuk di website Maria Firdz (link). Lepas ni kalau nak beli cili kering di pasaraya tengok dulu jenisnya, jangan man sapu je, nanti kalau terpedas sangat bersilat pulak kang kat dapur nanti. Hehehe.

Sembang punya sembang, apa kata kita jengah resepinya.

Resepi Sambal Tumis Ikan Bilis

8 senduk besar cili kering yang dah diblender (dalam 25-30 tangkai)
2 biji bawang besar *
2 biji bawang merah *
1 ulas bawang putih (kalau kecil letak 2 ulas)*
sejemput ikan bilis *
segenggam ikan bilis
1/2 biji bawang besar hiris nipis
air asam jawa
1/2 buku gula melaka atau 1 buku kalau yang jenis kecil
garam
gula pasir (kalau perlu)
minyak yang banyak untuk menumis

Cara penyediannya:

  1. Kisar kesemua bahan bertanda *.
  2. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing atau separuh garing (ikut suka) dan goreng sebentar bawang besar hiris tadi. Angkat dan ketepikan.
  3. Tumis cili kering hingga agak garing. Kemudian masukkan bahan kisar. Tumis sebentar dan masukkan garam dan gula putih dan gula melaka. Tumis hingga betul-betul garing dan pecah minyak.
  4. Masukkan air asam jawa. Bila sambal dah agak kering baru masukkan ikan bilis dan bawang besar hiris.


TIPS:

# Pastikan bahan tumis betul-betul garing baru masukkan air/air asam jawa.
# Sambal hendaklah selalu dikacau untuk mengelak dari hangus.
#Penggunaan gula melaka akan mencantikkan lagi warna sambal tumis dan menambah keenakan rasanya.
# Gula hendaklah dimasukkan awal supaya gula boleh caramelized.
# Buang biji cili kering untuk mengurangkan rasa pedas.
# Sambal tumis rasanya ialah pedas-pedas manis, jadi penggunaan gula memang akan banyak mengikut tahap kepedasan cili kering yang digunakan.


Semoga tips yang saya berikan dapat membantu anda menghasilkan sambal tumis yang sedap. Saya sendiri pun beberapa kali membuat eksperimen macam mana nak buat sambal tumis yang sedap. Ada juga yang mengatakan tak perlu letak bawang putih dan bawang kecil. Saya pernah cuba tapi rasanya sedikit tawar. Jadi, saya letak sedikit untuk imbangkan rasanya. Jangan banyak sangat nanti akan terjejas pulak rasa sambal tu. Dulu, saya letak gula lepas saya masukkan air, rasanya pun kurang menyerlah. Mungkin sebab gula belum sempat sebati dan caramelized.

Selamat mencuba!




0 comments :

Post a Comment