Onde-onde @ Kuih Bijan

Monday, 27 March 2017

Onde-onde @ Kuih Bijan





Sudah lama rasanya saya tidak menyediakan kuih bijan. Kali terakhir saya membuat kuih tradisional ni waktu kenduri di kampung pada tahun lepas. Tapi pada masa tu saya hanya menggunakan tepung pulut saja memandangkan tiada stok keledek yang boleh digunakan. Tapi resepi yang akan saya kongsikan hari ni ialah onde-onde bijan menggunakan keledek yang berwarna oren tu.  Resepi ni ringkas dan sangat mudah original dari ibu saya sendiri.  Inti kelapa yang saya gunakan telah pun saya siapkan beberapa hari yang lepas.

Resepi Onde-onde Bijan Keledek

Bahan- bahan:

4 biji keledek oren saiz sederhana 
Garam
Tepung pulut secukupnya
Sedikit air
Bijan untuk menyalut secukupnya
Inti kelapa

Cara membuatnya:

1. Sediakan inti kelapa (boleh semak resepi di bawah). Pastikan inti sudah sejuk ketika hendak digunakan supaya kuih tak cepat basi.

2. Rebus atau kukus keledek oren sehingga lembut (boleh check dengan mencucuk keledek menggunakan batang lidi atau garfu).  Letak garam sedikit ketika merebus keledek.

3. Lecek keledek yang dah direbus/kukus tadi. Kalau keledeknya dikukus, letakkan sedikit garam pada adunan keledek yang dah dilecek tadi.

4. Campurkan tepung pulut dalam keledek yang dah dilecek sedikit demi sedikit. Jangan masukkan banyak sekali gus. Uli dengan tangan sampai adunan boleh dibentuk dan tak melekat pada tangan.

5. Buat bebola kecil, leperkan dan masukkan inti kelapa. Tutup adunan dengan kemas supaya intinya tak terkeluar.

6. Celup atau basahkan bebola yang dah dimasukkan inti tadi ke dalam air dan salut dengan bijan sampai menyaluti keseluruhan permukaan onde-onde. Tekan-tekan sedikit supaya bijannya melekat.

7. Panaskan minyak dan goreng dengan api sederhana sampai bertukar ke warna keemasan.  Untuk frozen, boleh gorengkan sedikit sahaja sekadar mengelakkan doh onde-onde dari melekat antara satu sama lain.



Untuk adunan sebanyak itu saya berjaya menghasilkan 18 biji onde-onde bijan saiz sederhana.

Untuk membuat inti kelapa pula inilah resepi yang selalu saya gunakan:

1 biji kelapa parut halus dan ambil putihnya sahaja
3 helai daun pandan disimpul
setengah cawan gula merah (direbus sebentar dengan air kemudian ditapis)
2 ketul gula melaka saiz kecil setengah ketul gula melaka
sedikit garam
2  sudu besar tepung gandum/ tepung ubi untuk memekatkan
secawan air
2 sudu besar gula pasir (optional sekiranya kurang manis)

Cara membuatnya:

1. Campurkan kelapa parut, garam, gula melaka, air, daun pandan dan gula merah yang sudah direbus dan ditapis ke dalam periuk/ kuali.

2. Masak dengan api sederhana sehingga gula sudah larut dan air agak kering. Boleh tambah gula pasir sekiranya kurang manis.

3. Taburkan tepung gandum /tepung ubi ke dalam inti tadi. Masak sehingga inti agak kering. Sedia untuk digunakan.



0 comments :

Post a Comment