Bubur Asyura Ala-ala Kampung Baru

Tuesday, 25 September 2018

Bubur Asyura Ala-ala Kampung Baru





Bubur Asyura aka bubur lambuk merupakan menu wajib yang saya sediakan tiap-tiap kali menjelangknya Hari Asyura pada tanggal 10hb Muharram setiap tahun hijrah. Memang dah jadi kebiasaan, dulu sewaktu di bangku sekolah lagi setiap tahun para cikgu dan kakitangan sekolah sibuk menyiapkan  bubur lambuk seperiuk besar untuk anak-anak murid. Time tu cikgu suruh bawak bekas untuk isi bubur lambuk masing-masing. Ada yang bawak bekas kecik dan ade jugak yang bawak bekas besar. So, yang bawak bekas besar untung ler sikit kan sebab banyak bubur lambuk yang boleh disumbat. Hehehe.. Tapi lepas tu dah takde lagi dah cikgu nak suruh murid-murid bawak bekas sendiri, sekarang pihak sekolah dah prepare bubur lambuk siap-siap dalam tupperware yang standard size, so semua murid dapat bubur yang sama banyak. :)

Dari mana asal-usul timbulnya idea nak buat bubur Asyura ni sebenarnya? Sejarah bubur Ayura ni dibuat ialah bersempena memperingati hari Nabi Nuh AS yang telah selamat berlabuh setelah 40 hari mengharungi banjir besar yang melanda dunia waktu tu. Waktu itu, bahtera Nabi Nuh AS berlabuh di bukit Jundi pada 10hb Muharram. Diceritakan bahawa Nabi Nuh AS telah bertanya kepada umatnya sekiranya terdapat lagi bekalan makanan dan menyuruh umatnya menghimpunkan segala bekalan makanan yang tinggal untuk djadikan sajian yang dipanggil Bubur Asyura. Bubur ini kemudiaannya diagih-agihkan kepada semuaa yang ada.

Berdasarkan peristiwa tersebut, maka bubur Asyura menjadi simbolik kesejahteraan dan lambang kesyukuran yang dimasak dan diagih-agihkan kepada orang ramai.

Setakat yang saya tau, bubur Asyura ni memang berlainan mengikut negeri. Bagi saya yang merupakan anak jati kelahiran Johor ni, bubur Asyura yang saya kenal ialah yang berwarna putih atau kekelabuan, berperisa kari dan kurma dengan beras dan daging lembu atau daging tetel sebagai bahan perisa utama.

Tapi lain pulak bubur Asyura versi negeri di sebelah utara  seperti di Penang yang mana bubur Asyura mereka saya kira rasanya manis sebab mereka menggunakan gula melaka/gula kabung dan mewah dengan kekacang. Ok, bubur Asyura versi utara ni saya memang belum pernah merasa lagi. Pendek kata, bubur Asyura di setiap negeri ada trademark mereka tersendiri.

So, bubur Asyura yang saya nak kongsikan hari ni ialah versi Johor dan saya modify sikit bahan-bahannya ala-ala bubur lambuk terkenal Kampung Baru. payah sangat nak merasa bubur lambuk kampung baru ni last-last buat aje lah sendiri kat rumah. Lagi puas dapat makan. Hehehe..

Bahan-bahan Bubur Asyura:

500 gm daging lembu (potong kiub) atau daging tetel
3 cawan beras
300 gm udang
1 bunjut rempah sup
2 kotak kecil santan KARA
air secukupnya
garam secukup rasa
minyak untuk menumis
4 sekawan - saya tak letak
lobak merah (potong dadu)
1/3 cawan kacang tanah
1/3 cawan kacang kuda (rebus dulu) - saya tak letak
2 biji kentang (didadu)
1 sudu besar serbuk lada hitam
3 helai daun pandan (disimpul)
kerisik (optional)- saya tak letak

Bahan kisar :

1 labu bawang besar *
6 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1 inci halia *
2 sudu membukit udang kering * (rendam dulu)
segenggam kecil ikan bilis *

Bahan tumbuk :

2 sudu besar ketumbar (rendam dulu)
1 sudu besar jintan manis (rendam dulu)

Bahan tabur :

bawang goreng
daun sup dan daun bawang
cili merah potong serong
ikan kering kurau (digoreng dan disiat kecil)
telur dadar

Bahan sampingan:

sambal kicap

Langkah Penyediaan:


  1. Tumbuk halus dan kisar halus bahan tumbuk dan bahan kisar.
  2. Panaskan minyak dalam periuk agak besar. Tumiskan bahan kisar dan bahan tumbuk sampai naik bau dan agak garing, Masukkan daging lembu dan air secukupnya. Masukkan sup bunjut, daun pandan dan garam.
  3. Bila daging dah empuk, masukkan beras yang dah dicuci, tambah air jika perlu dan masak hingga beras dah kembang dan pecah. Kacau selalu supaya bubur masak dengan sekata dan halus.
  4. Masukkan kacang tanah, kentang, udang dan lobak merah dan biarkan lembut.
  5. Akhir sekali masukkan santan.



Saya memang sangat berpuas hati dengan kejadian bubur Asyura yang saya buat kali ni. Rasanya sangat lemak dan lazat ditambah dengan bau harum dari daun pandan. Next time kalau nak buat lagi saya nak cuba guna tetel pulak. Susah nak cari tetel tu melainkan di pasar basah.

Bubur ni saya padankan dengan sambal kicap. Kami berdua memang hantu sambal kicap. Memang bertambah sedap bila makan bubur Asyura versi ni dengan sambal kicap. 

Bubur Asyura saya kali ni memang saya tak letak 4 sekawan (cengkih, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang) tapi rasanya dah cukup sedap bagi saya. Jiran dan hubby pun sangat suka rasa bubur Asyura ni. Hubby saya siap bagitau saya bubur Asyura versi ni yang dia paling suka. Kalau tahun lepas saya buat bubur Asyura perisa kari dan tambah sedikit kerisik. Yang ni pun sedap jugak. Mungkin saya akan kongsikan resepinya dalam entry yang lain kalau berkesempatan nak membuatnya. 









0 comments :

Post a Comment